Monday, May 30, 2011

Vaksin empat dalam satu

CUBA anda ingat kembali, adakah ketika kecil dulu anda pernah demam campak, cacar air atau beguk? Jika sudah anda adalah orang yang bertuah. Tahukah anda bahawa orang dewasa juga mempunyai risiko mendapat penyakit yang biasanya berlaku pada kanak-kanak dan berita kurang baiknya, pada orang dewasa ia akan lebih teruk.

Antara cara mudah untuk mengelakkan jangkitan penyakit kanak-kanak ialah dengan mengambil suntikan vaksin. Mungkin ada yang menganggap suntikan vaksin hanya diperlukan ketika bayi atau jika bagi orang dewasa - untuk mereka yang mahu ke luar negara seperti mengerjakan umrah dan haji.

Sebenarnya suntikan vaksin juga diperlukan bagi individu yang tidak pernah mendapat penyakit kanak-kanak seperti disebut di atas. Namun kaedah pencegahan paling baik ialah memberikan perlindungan ketika kecil selaras program imunisasi kebangsaan.

Tidak kira berapa sibuk pun anda, pastikan anda meluangkan masa membawa anak mendapatkan suntikan vaksin kerana penyakit yang dianggap biasa untuk kanak-kanak ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi, kata Perunding Neonatal Pediatrik, Datuk Dr Musa Nordin.

Memang tidak dapat dinafikan ramai ibu bapa terpaksa 'menahan perasaan' kerana kasihan melihat lengan bayi mereka dicucuk dan diikuti demam ringan setiap kali selepas menerima suntikan vaksin. Namun kini kekerapan disuntik boleh dikurangkan dengan adanya vaksin baru empat dalam satu yang memberi perlindungan daripada empat penyakit iaitu demam campak, beguk, rubela dan cacar air (MMRV).

Apa beza dengan vaksin tiga dalam satu (MMR) yang ada sekarang? Tiada beza cuma ia ada perlindungan tambahan iaitu kepada cacar air (varisela) yang masih belum dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan.

Demam campak masih boleh membunuh pesakit kecil. Ia disebabkan paramyxovirus1 di dalam percikan air liur yang tersebar melalui udara (akibat batuk, bersin atau sentuhan pada hidung dan mulut pesakit) dan sangat mudah berjangkit.

Virus ini kekal aktif di luar badan manusia sehingga dua jam dan boleh 'dipindahkan' daripada individu dijangkiti kepada orang lain dalam masa empat hari sebelum pesakit menunjukkan gejala seperti ruam atau empat hari selepas ruam ini pecah.

Demam campak masih menjadi ancaman kepada penduduk dunia terutama kanak-kanak dan dianggarkan 20 juta orang menghidap penyakit ini setiap tahun. Meskipun vaksin terbukti dapat mengurangkan 78 peratus kematian (dari 2001 hingga 2008) tetapi pada 2008 sendiri sebanyak 164,000 kes kematian akibat demam campak dicatatkan di seluruh dunia.

Kebanyakan kanak-kanak yang mendapat demam campak akan sembuh dengan baik tetapi ada juga yang mengalami komplikasi seperti jangkitan telinga, pneumonia (jangkitan paru-paru), ensefalitis (jangkitan pada otak) dan cirit birit.

Paramyxovirus1 juga boleh menyebabkan beguk iaitu jangkitan pada kelenjar liur yang membuatkan muka pesakit kanak-kanak menjadi bengkak sebelah. Beguk juga boleh berlaku pada orang dewasa tetapi biasanya keadaan akan menjadi lebih teruk berbanding jika ia 'diperoleh' ketica kecil.

Beguk juga sangat mudah berjangkit, terutama dalam tempoh dua hari selepas kelenjar liur bengkak dan berlarutan sehingga sembilan hari. Kematian akibat beguk jarang dilaporkan tetapi ia boleh menyebabkan seseorang mengalami demam, sakit kepala, hilang selera makan, mulut menjadi kering, sakit untuk membuka mulut ketika makan, lesu dan muka bengkak.  Dalam kes yang serius, beguk boleh mengakibatkan beberapa komplikasi seperti keradangan pada otak, selaput otak, pankreas dan zakar serta pekak.

"Manakala rubela pula dianggap jangkitan sederhana yang sangat mudah berjangkit dan biasanya membabitkan kanak-kanak sekolah serta remaja. Pada kanak-kanak ia mungkin hanya menyebabkan demam, kelenjar di belakang telinga bengkak atau ruam yang bermula pada muka dan kemudiannya merebak ke leher, dada dan seluruh badan tetapi jika ia menjangkiti wanita terutama pada awal kehamilan, rubela boleh mengakibatkan kecacatan pada janin termasuklah buta, pekak, terencat akal (Sindrom Kongenital Rubela) atau kematian.

"Di negara sedang membangun sebanyak 100,000 kes rubela dicatatkan setahun (sumber Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 2001) yang menyebabkan wanita terpaksa menggugurkan anak, keguguran, bayi meninggal ketika dilahirkan atau pelbagai kecacatan Sindrom Kongenital Rubela (CRS)," kata Dr Musa.

Menurutnya, cacar air yang disebabkan virus Varicella zoster juga sangat mudah berjangkit dan jika berlaku pada orang dewasa, ia boleh mendatangkan kesan yang teruk sehingga perlu dimasukkan ke hospital atau berakhir dengan kematian. Setiap orang mempunyai peluang sebanyak 15 peratus untuk mendapat cacar air sepanjang hayatnya dan kadar jangkitan meningkat dengan pertambahan umur.

Jika jangkitan pada orang dewasa lebih teruk, mengapa suntikan vaksin ini tidak diberikan saja kepada mereka dan membenarkan kanak-kanak mendapat perlindungan secara semula jadi (dengan mendapat jangkitan ketika kecil)?

"Suntikan vaksin perlu diberikan untuk melindungi kanak-kanak daripada mendapat jangkitan kerana 60 peratus kemasukan ke hospital dan 40 peratus kematian berlaku pada kanak-kanak di bawah 10 tahun. Ini perkara menyedihkan kerana ia boleh dicegah dengan vaksinasi.

"Selain itu vaksinasi juga dapat mengurangkan beban pada kanak-kanak dan ibu bapa mereka serta kos rawatan. Secara purata kanak-kanak yang sakit tidak dapat hadir ke sekolah selama lima hingga enam hari dan ibu bapa pula terpaksa mengambil cuti antara tiga hingga empat hari setiap kali anak sakit.

"Malah orang dewasa yang tidak pernah mendapat penyakit kanak-kanak ini ketika kecil atau mereka yang tidak sesuai menerima vaksin (disebabkan masalah kesihatan) berisiko tinggi mengalami jangkitan daripada kanak-kanak yang tidak diberikan suntikan vaksin.

"Memberikan vaksin kepada kanak-kanak yang sihat secara tidak langsung akan melindungi orang dewasa, golongan tua dan kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin akibat masalah kesihatan," katanya pada pelancaran vaksin Priorix Tetra anjuran GlaxoSmithKline.

Sumber: Metro Ahad - Sihat - Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

No comments: