BAYI boleh mati akibat tidak menerima belaian dan sentuhan. Mungkin bunyinya keras, tetapi itulah hakikat kehidupan manusia yang memerlukan orang dewasa, terutama ibunya sendiri untuk menyusu atau memandikan. Belaian dan sentuhan bertindak bagaikan magis, membantu bayi untuk lebih bersemangat melalui tempoh tumbesarannya.
Kajian dijalankan pada 1915 di beberapa rumah anak yatim di Amerika Syarikat mendapati, kadar kematian bayi berusia bawah satu tahun mencapai angka 100 peratus. Ia bukan disebabkan kekurangan khasiat makanan atau keadaan kurang bersih, tetapi menghidapi marasmus, sejenis penyakit misteri, mengakibatkan kehilangan selera makan, seterusnya tidak bermaya.
Marasmus, dipercayai berlaku akibat kurang sentuhan dan belaian. Kajian di Hospital Bellevue New York pada 1938 pula, mendapati kadar kematian bayi di bawah usia setahun, menurun daripada 30 peratus kepada kurang 10 peratus, apabila jururawat memulakan rutin harian menyentuh dan membelai bayi berkenaan.
Tidak dapat disangkal lagi, susu ibu membekalkan antibodi penting untuk melindungi dan membantu bayi membesar. Namun, urutan yang dilakukan ke atas bayi membantu merangsang perkembangan fizikal dan mental secara semula jadi. Komunikasi mesra antara ibu dengan anak, seperti percakapan dan hubungan mata mengeratkan lagi hubungan itu.
Perunding Pediatrik dan Kardiologi, Datuk Dr Zulkifli Ismail, menjelaskan mengurut adalah cara asuhan dan penyembuhan diamalkan pelbagai budaya di seluruh dunia sejak berabad lalu.
Pengamal kesihatan terdahulu cuba memahami bagaimana sentuhan dan urutan boleh memberikan kesan ajaib, tetapi tiada penemuan ketara yang diperoleh sehinggalah pada kurun sekarang.
"Dr Tiffany Field, seorang profesor di University of Miami School of Medicine, yang mengetuai Institut Kajian Sentuhan menemui perhubungan istimewa terapi sentuhan terhadap manusia. Ia mendatangkan banyak kebaikan, bukan saja kepada bayi, malah orang dewasa," katanya yang bertemu Dr Field pada satu persidangan kesihatan di luar negara, lantas diundang untuk mempelajari teknik berkenaan secara lebih mendalam. Dr Zulkifli menjadi pelopor teknik berkenaan di negara ini.
Dr Field mendapati sentuhan bagi bayi, sama penting seperti makan dan tidur. Ini kerana pada asasnya, terapi sentuhan atau urutan boleh merangsang saraf otak dalam proses penyerapan zat makanan, seterusnya membantu penambahan berat badan lebih baik. Ia turut membantu mengurangkan tahap hormon tekanan dan hasilnya, mempertingkatkan fungsi imuniti.
Kata Dr Zulkifli, urutan juga mampu mengurangkan tahap dan tempoh kolik pada bayi, selain memperbaiki masalah tidur. Urutan dapat membantu bayi tidur lebih cepat dan kurang terjaga malam.
Dalam satu kajian membabitkan 72 bayi jaundis atau `penyakit kuning' oleh Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 2000 dan 2001, mendapati bayi yang diurut mengalami peningkatan berat badan berbanding bayi yang tidak diurut. Keadaan itu dikaitkan dengan manfaat nutrisi lebih baik bagi bayi yang diurut.
Penemuan itu konsisten dengan kajian klinikal dibentangkan Dr Field pada 1997, yang menunjukkan terapi sentuhan juga membantu bayi pramatang menambah berat badan lebih cepat, memperbaiki fungsi pernafasan kanak-kanak yang menghidapi asma, manakala bagi kanak-kanak diabetes ia mampu bertindak balas positif terhadap rawatan.
Dr Zulkifli ditemui pada majlis perasmian siri bengkel urutan bayi, Touch atau sentuh, anjuran Johnson's Baby dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad. Program itu yang akan dilaksanakan di lapan negeri seluruh negara, selama tiga bulan bermula Mei, bertujuan mendidik ibu atau bakal ibu mengenai teknik urutan bayi berkesan.
Ibu bapa yang berminat untuk menyertai mana-mana bengkel boleh menghubungi talian bebas tol di 1-300-88-0566 pada waktu pejabat atau mendaftar di laman www.babycenter.com.my/johnsonsbaby/touch.
Sumber: BH - Mar 8, 2011
No comments:
Post a Comment