Friday, May 6, 2011

Serai tambah perisa


Serai

* Pokok serai adalah sejenis tumbuhan yang hidup meliar, namun ada juga yang ditanam oleh sesetengah orang di kebun. Nama saintifik bagi serai ialah Cymbopogon citratus (D.C) Stapf dan ia termasuk dalam keluarga Gramineae.

* Masyarakat Melayu, sering menggunakan serai untuk menambahkan perisa di dalam sesetengah makanan bagi menambahkan keharuman dan kelazatannya.

* Bagi tujuan perubatan tradisional pula, ada tiga bahagian utama yang boleh dimanfaatkan iaitu akar, daun dan batangnya. Ia digunakan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit seperti sakit kepala, sengal-sengal (rheumatism), sakit perut dan masalah buang air kecil.

* Bermula daripada daunnya, serai boleh digunakan merawat sakit kepala dan sengal-sengal dengan cara menumbuknya sehingga lumat dan diletakkan di dahi bagi menghilangkan sakit kepala atau bahagian lain tubuh yang terasa sengal.

* Begitu juga jika mengalami sakit perut dan masalah membuang air kecil, daun dan akar serai haruslah direbus dan diminum air rebusan itu.

* Bagaimanapun batang serai pula boleh digunakan untuk menambahkan keharuman dalam makanan. Di samping itu ekstrak daripada akar serai juga boleh digunakan sebagai pewangi dalam syampu dan minyak wangi. Ia juga boleh digunakan di dalam air mandian bagi menyegarkan tubuh badan.

* Kajian saintifik pula mendapati pokok serai juga mengandungi pelbagai jenis minyak yang diperlukan tubuh badan manusia. Minyak ini mengandungi beberapa campuran seperti citral, limonena dan methyl heptonen.

* Kajian juga menunjukkan haruman dan aroma yang terhasil daripada pokok serai ini sebenarnya disebabkan oleh limonena dan campuran citral yang terkandung di dalamnya.

Sumber: BH, May 6, 2011, oleh Nor Hazwani Hamat

No comments: