Tuesday, February 22, 2011

Petua biak mawar



APA saja gelarannya - ros, mawar dan rosa adalah merujuk kepada sejenis bunga yang sangat popular, cantik dan menarik. Ia terkenal sebagai bunga lambang (simbolik) cinta, kasih dan sayang. Orang Inggeris mengenalinya sebagai rose manakala masyarakat Melayu pula memanggilnya sebagai bunga mawar atau ros. Namun nama saintifiknya ialah Rosa dan ia tergolong dalam famili tumbuhan Rosaceae.

Ros senang ditanam menggunakan keratan batang atau rantingnya yang matang. Pokok berbunga cantik dan menarik ini sudah lama popular dan ditanam sejak beratus-ratus tahun dulu lagi. Ada pelbagai bentuk dan warna bunga ros seperti putih, merah terang, merah tua, merah muda, oren serta pelbagai warna baru dan unik hasil kacukan.

Hasil kacukan atau hibrid ini juga menghasilkan banyak pokok renek yang senang dijaga untuk dijadikan pokok spesimen sebagai tanaman dalam pasu, pokok sempadan, pokok pagaran dan pemanjat untuk dilatih memanjat dinding, tembok, pergola, parapara (trellis) dan sebagainya. Pokok ros senang ditanam dan dijaga serta tidak cerewet dari segi penjagaannya.

Siram anak pokok dan jangan biarkan medium semaiannya kering. Apabila tunasnya sudah tumbuh kira kira tiga inci, pindah dan tanam dalam medium tanaman kekalnya seperti di bawah.

Ia juga boleh dibiakkan menggunakan biji benih yang diimport dan boleh dibeli dari pusat tanaman dan sebagainya. Namun begitu untuk mendapatkan pokok yang cantik dan segera, beli saja dari pusat tanaman yang banyak menjualnya.

* Medium tanaman: Pokok ros memerlukan medium tanaman berasaskan tanah yang subur, lembap tetapi mempunyai saliran yang baik supaya air siraman senang mengalir keluar. Campuran tanah untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3:2:1 (tanah peroi: baja kandang: pasir sungai) adalah sesuai untuk penanaman.

* Air: Siram dua kali sehari pada hari panas iaitu pada waktu pagi dan petang. Siram bila perlu pada hari hujan dan elakkan air bertakung di dalam medium tanamannya.

* Cahaya: Pokok bunga ros suka kepada banyak cahaya matahari bagi pengeluaran bunga yang banyak dan cantik warnanya.

* Pembajaan: Sebaiknya gunakan baja yang dikhususkan untuk pokok ros. Namun baja organik seperti najis ayam atau kelawar dan baja kimia juga sesuai untuknya. Gunakan baja kimia berwarna hijau untuk daun dan pertumbuhan pokok yang subur manakala baja merah untuk pengeluaran bunganya. Gunakan baja seperti arahan yang tertera pada pek baja yang digunakan bagi mendapatkan pertumbuhan bunga yang cantik.

Info

Penjagaan

* Gunakan sungkupan seperti sabut kelapa untuk menutupi medium tanamannya agar lembap sentiasa.

* Bagi mengekalkan kelembapan di persekitarannya sembur dengan air keseluruhan pokoknya.

* Pokok ros yang dijual secara komersial adalah kebanyakannya didatangkan dari Cameron Highlands dan perlukan semburan air untuk mengekalkan kesuburannya.

Ikuti langkah menanamnya seperti berikut:

1. Pilih ranting atau batang yang matang kemudian potong secara menyerong kira-kira 4 inci panjang

2. Celupkan bahagian bawah keratan tadi dalam hormon penggalak akar untuk mempercepatkan pertumbuhan akarnya.

3. Semai keratan tadi dalam medium pasir sungai atau tanah campuran untuk pokok berpasu kemudian siram.

4. Letakkan bekas semaian dalam beg plastik supaya lembap dan menggalakkan akar. Tanggalkan plastik selepas tunas muncul.

Idea Pameran: Peminat bunga ros boleh membina sebuah taman yang ditanam dengan pelbagai jenis pokok bunga ros bagi membuat koleksinya. Pokok bunga ros cantik ditanam dalam pasu sebagai pokok spesimen. Ikuti paparan mengenai idea pamerannya dalam keluaran dua minggu akan datang.

Sumber:Berita Minggu - Feb 20, 2011 - BM Dua - Oleh Abubakr As - Siddiq

No comments: