RAMAI yang sudah maklum dengan bandar Klang - antara destinasi popular yang sudah sinonim dengan Selangor. Namun, tidak ramai yang mengenali keistimewaan bandar diraja ini, jauh sekali berkesempatan bertandang ke sini dan mengenali pelbagai tarikannya.
Menyedari kegemilangan sejarah bandar Klang yang sudah berusia 120 tahun, satu produk pelancongan `Klang Heritage Walk' dihasilkan bagi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara menerokai serta merasai keindahan warisan yang ditinggalkan.
Sebanyak 18 lokasi pelancongan pula terpilih melalui program Jejak Warisan Klang termasuk Gedung Raja Abdullah, Kota Raja Mahadi, Jambatan Kota, Jalan Tengku Kelana, Masjid Diraja Sultan Suleiman, Istana Alam Shah, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Stesen Keretapi Klang dan Balai Bomba Klang Selatan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Mislan Tugiu, berkata matlamat utama Jejak Warisan Klang adalah memperkenalkan Klang sebagai bandar diraja yang sarat dengan peninggalan sejarah di samping mengekalkan bangunan lama untuk generasi akan datang.
"Selain itu, ia dapat menjadikan Klang sebagai satu destinasi pelancongan di Selangor yang kini giat menjalankan kempen memperkenalkan produk baru bagi tatapan pengunjung," katanya.
Gedung Raja Abdullah, misalnya, adalah bekas kediaman dan gudang milik Raja Abdullah Raja Jaafar yang dilantik oleh Sultan Selangor pada 1854 sebelum pihak British menjadikannya pejabat kerajaan mereka 20 tahun kemudian.
Pada 1895 gedung itu dijadikan muzium yang banyak menyimpan khazanah lama dan digunakan untuk menyimpan bijih timah serta hasil dagangan lain yang diangkut melalui Pangkalan Batu di pinggir Sungai Klang. Kini, bangunan itu dijadikan muzium timah.
Kota Raja Mahadi pula dibina pada 1866 oleh Raja Mahadi Raja Sulaiman ketika Perang Klang yang pertama pada 1866.
Jambatan Kota Klang pula dibina pada Mei 1957 oleh sebuah Syarikat British Dorman Long Bridge and Engineering Ltd. Jambatan dua tingkat sepanjang 500 meter itu dibina menggunakan struktur besi merentasi Sungai Klang. Ia ditutup pada 21 Januari 1992.
Masjid Diraja Sultan Suleiman adalah hadiah daripada Kerajaan Inggeris kepada Sultan Suleiman pada abad ke-19. Pada awalnya, nama sebenar masjid itu ialah Masjid Suleiman Jamiur Rahman dan masjid ini boleh memuatkan sekurang-kurangnya 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Istana Alam Shah, dibina pada 1905, mempunyai 15 bilik dan istana ini direka menggunakan kayu dan marmar di samping segala kos pembinaan dan reka bentuk istana ditanggung sendiri oleh baginda.
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah mula dibina pada 2002. Galeri itu dibina oleh Sultan Selangor kesembilan, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memperingati jasa ayahandanya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Antara koleksi di situ ialah mahkota bertatahkan berlian Sultan Selangor, cap mohor Diraja Sultan Sir Abdul Samad (Sultan Selangor keempat) dan pedang negeri bertatahkan permata Burma dan digunakan oleh Sultan Selangor kelima.
Jalan Tengku Kelana yang diberi jolokan Little India adalah destinasi tumpuan beli-belah bagi masyarakat India.
Stesen Kereta Api Klang dibina sekitar 1890 adalah landasan yang pada mulanya menghubungkan Klang dengan Bukit Kuda. Ia dibina menggantikan perhentian Bukit Kuda yang tidak sesuai lagi dijadikan sebagai perhentian di Klang kerana terletak agak jauh iaitu kira-kira tiga batu dari bandar Klang.
Jambatan kereta api dibina menyeberangi Sungai Klang dengan kos RM94,600 dan perhentian Bandar Klang dibuka secara rasminya pada Ogos 1890. Lima tahun kemudian, pelabuhan di Klang didapati tidak lagi memadai kerana jumlah import dan eksport pesat meningkat.
Balai Bomba Klang Selatan yang terletak di Jalan Gedung Raja Abdullah pula dibina pada 1890 dengan gaya zaman Victoria bagi menjaga keselamatan bandar Klang.
Lokasi lain dalam program Jejak Warisan Klang ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Klang, Old Chartered Bank Building, Pejabat Agama Islam, Sekolah Kebangsaan Klang, Kolej Islam Sultan Alam Shah dan rumah kedai sebelum dan selepas perang.
Semua bangunan tinggalan sejarah itu mempunyai nilai estetika yang tersendiri dan bakal menjadi tarikan terbaru bagi pelancong asing ke Klang untuk menerokai keindahan bangunan peninggalan sejarah di samping ia dilihat menjadi titik permulaan kegemilangan pelancongan di bandar diraja itu.
Sumber: Berita Minggu - BM Dua - Oleh Noor Syahidatool Aqma Mohd Noor
No comments:
Post a Comment