Wednesday, February 23, 2011

10 tip jadi ayah

SEBAIK mendapat cahaya mata, inilah masanya bagi suami membuktikan rasa tanggungjawab dan kasih sayang kepada isteri. Bukan sekadar menjaga isteri dan si manja, sebagai bapa, anda harus melakukan lebih daripada itu.

Anda perlu mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga selain belajar membancuh susu, memandikan bayi, memakaikan lampin dan paling mustahak, berkorban masa tidur anda.

Berikut tip bagi si bakal bapa...

1. Biasa berjaga malam

TIADA alasan untuk tidur nyenyak dan berdengkur sepanjang malam. Jangan mengharapkan isteri saja untuk berjaga, sebaliknya tunjukkan kesungguhan anda untuk bangun bersama dan beri perhatian kepada si comel.

2. Kejutan kasih sayang


INILAH detik terbaik untuk melakukan kejutan terbesar buat isteri tersayang. Apa kata anda pula yang mengambil peranannya ketika isteri dalam berpantang.

Mungkin anda boleh mulakan dengan menyediakan sarapan, membantu isteri menguruskan dirinya, menyediakan keperluan si comel dan sesekali hadiahkan bunga tanda kasih sayang.

3. Ringan tulang

JIKA sebelum lahirnya si kecil, anda dimanjakan oleh isteri. Kali ini, anda harus beralah dan mengambil alih peranan menjaga isteri dan anak. Memadailah membantu menyediakan makanan, membasuh pinggan atau mengasuh si kecil.

4. Sedia untuk kotorkan diri

GELI najis bayi? Akurlah hakikat di mana anda harus membersihkan najis bayi dan belajar memakai lampin bayi. Fikirkan bapa anda juga pernah melakukan perkara yang sama ketika anda masih kecil dulu. Mungkin agak kekok pada permulaan...

5. Dapatkan petua orang tua

KETEPIKAN ego serta sikap tahu serba-serbi. Sebagai bapa muda, anda perlu mendapat banyak nasihat dan petua daripada orang yang lebih berpengalaman.

Guru terbaik untuk mendapatkan maklumat ialah ibu bapa serta saudara- mara atau kenalan yang lebih arif mengenai soal penjagaan kanak-kanak. Tidak perlu malu kerana maklumat yang diberi akan memudahkan urusan menjaga si kecil.

6. Buku panduan dan internet

ZAMAN sudah berubah. Sebagai bapa moden, anda harus menguasai ilmu penjagaan awal bayi melalui bahan bacaan serta informasi di internet. Walaupun belum lagi memiliki cahaya mata, tidak salah andai memulakan pembacaan awal.

7. Sediakan pengasuh

JIKA mampu, dapatkan pengasuh untuk meringankan tugas anda dan isteri di rumah. Pengasuh bukan saja boleh menguruskan isteri yang sedang berpantang, pada masa yang sama boleh menjaga si comel yang memerlukan perhatian 24 jam.

8. Belajar untuk berdepan tekanan

BOHONGLAH jika anda tidak tertekan terutama apabila tiba saat si comel menangis tanpa henti. Jika waktu siang, mungkin anda tidak terasa, tetapi kala tengah malam, tentu haru dibuatnya.

Usah panik, uruskan saat itu dengan tenang dan penuh motivasi. Selidik punca bayi menangis, mungkin kerana kembung perut atau berasa panas. Belajarlah untuk bersabar!

9. Kawal nafsu

SUDAH namanya lelaki, tidak dapat tidak nafsu selalu bergelora. Jangan gelojoh dan akurlah pada detik yang sesuai untuk bersama. Fikirkan anda kini ada orang ketiga yang harus diutamakan.

10. Pastikan tabungan cukup

BAPA muda perlu pastikan tabungan sentiasa mencukup bagi menghadapi saat-saat kecemasan terutama membabitkan si kecil yang mungkin diserang demam serta perlu mendapatkan rawatan segera di hospital. Peruntukan sebahagian daripada pendapatan bulanan untuk memenuhi keperluan kecemasan si kecil dan isteri. Selama, menjadi bapa!

No comments: