Tuesday, January 25, 2011

Unik Neoregelia



TANAMAN hiasan dari genus Neoregelia ini adalah tergolong dalam famili tumbuhan Bromiliaceae. Pokoknya berbatang kecil dan pendek saja. Daunnya yang panjang seperti daun nanas itu tumbuh dari bahagian bawah perdunya. Ada juga duri halus apabila daunnya meningkat tua atau matang. Permukaan atas daunnya juga agak berkilat seakan diselaputi dengan selapis lilin.

Ciri Unik Neoregelia


Ada beberapa ciri unik mengenai spesies dari genus Neoregelia ini:

* Kebanyakannya ditanam  kerana berdaun unik, cantik dan menarik berbanding bunganya.

* Ada spesies yang mana daun di bahagian tengah pokoknya yang tersusun itu akan bertukar warna menjadi merah atau ungu. Apabila tiba masanya pokok yang dewasa itu akan berbunga.

Daun-daun ini bertindak sebagai brakta (bract) atau pengasuh bunga. Pada masa ini juga tumbuh anak pokok atau `offset'dari sisi batang pokok induknya. Ada juga spesies di mana hujung daunnya juga bertukar warna menjadi merah.

* Bunganya kecil saja berwarna ungu kebiruan tumbuh tersorok di bahagian tengah susunan daun pokoknya itu.

Kebanyakan pokok dari genus ini dikatakan berasal dari hutan tropika di Amerika Selatan seperti Brazil dan sebagainya.

Spesies Neoregelia

Ada beberapa spesies pokok asli dan juga kacukan atau hibrid. Di antara spesies yang boleh dipilih untuk ditanam termasuklah:

1) Neoregelia `Royal Burgandy'

2) Neoregelia carolinae

3) Neoregelia carolinae `Tricolor'

4) Neoregelia concentrica

5) Neoregelia spectabilis

Penjagaan

Cahaya

Ia sesuai tumbuh subur di bawah dedahan kepada cahaya matahari yang terlindung.

Air

Ia sukakan medium tanaman yang lembap, oleh itu siram dua kali sehari pada hari panas iaitu di waktu pagi dan petang.

Pembajaan

Pokok ini tidak memerlukan pembajaan jika ditanam di luar kediaman terdedah kepada titisan hujan. Kotoran yang terperangkap dalam air hujan sudah memadai sebagai makanannya.

Namun jika ditanam dalam kediaman dan sebagainya berikan sedikit baja organik seperti najis ayam atau cacing atau kelawar yang dilarutkan ke dalam air siraman.

Sila berikan separuh dari sukatan dan kurangkan kekerapan seperti arahannya yang tertulis pada setiap pek baja organik yang digunakan.

Awas! Pokok ini kurang sesuai diberikan baja kimia terutama jenis biji kerana ditakuti daunnya akan melecur jika terkena.

Info

Serikan Neoregelia


* Sembur daunnya serta masukkan air ke dalam ruang tengah susunan daun untuk mendapatkan pameran pokok segar sentiasa.

* Cuci daunnya dengan tuala lembap dan sapukan cecair pengilat daun atau `leaf gloss' untuk mendapatkan pameran daunnya yang cantik dan berkilat.

Idea pameran:

* Ia boleh ditanam sebagai pokok spesimen dalam pasu yang cantik.

* Pokok ini juga sesuai ditanam atas kayu mati seperti di alam semula jadinya.

Penanaman

Ia mudah ditanam menggunakan keratan anak pokok yang tumbuh dari sisi pokok induknya yang dikenali sebagai `offset' dalam istilah Inggerisnya. Untuk penanaman ikuti kaedah seperti berikut:

1. Kerat batang anak pokok yang tersambung dengan pokok induknya.

2. Anak pokok selepas dipotong.

Ia sesuai ditanam dalam medium tanaman di mana air senang mengalir keluar dan tidak bertakung. Medium tanaman untuk pokok berpasu iaitu campuran 3:2:1 (Tanah peroi:Tanah gambut atau baja kandang (najis ayam):Pasir sungai) perlu dicampurkan dengan lumut `Sphagnum moss' agar pokok dapat hidup subur.

3. Tanam keratan tadi dalam medium tamannya.

4. Siram dan letakkan di tempat teduh.

No comments: