Ada pelbagai faktor yang menyebabkan sakit tumit ini. Antara punca yang paling biasa adalah plantar fasciitis yang membabitkan kesakitan dan radang pada tisu yang dikenali plantar fascia.
Jika dilihat, plantar fascia merangkumi sejenis tisu panjang yang ada di bawah tapak kaki yang bermula dari ibu jari kaki sehinggalah ke tumit. Antara fungsi utama tisu ini adalah untuk menyerap hentakan pada kaki dan juga untuk mengekalkan bentuk gerbang atau arch di kaki.
Dalam kes-kes tertentu, tisu ini mengalami keradangan. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan keradangan ini tetapi ia mungkin berkait rapat dengan proses penuaan selain trauma mikro yang berlaku berulang kali.
Selalunya, masalah ini dirasai dengan tanda-tanda seperti sakit tumit terutama pada waktu pagi, khususnya sejurus turun dari katil dan menjejakkan kaki di lantai. Ia juga berlaku selepas lama berjalan terutama dalam pekerjaan yang memerlukan individu banyak berjalan seperti jururawat.
Rawatan sendiri
ADA beberapa cara mudah yang boleh digunakan untuk mengurangkan masalah ini. Pesakit dinasihati supaya sentiasa memakai kasut yang sesuai seperti kasut yang mempunyai tapak lembut diperbuat daripada getah atau foam (seperti ada dalam kasut sukan).
Satu lagi cara ialah dengan menggunakan insole atau pelapik tambahan di bahagian tumit. Ia lazimnya diperbuat daripada silikon yang diletakkan dalam kasut untuk mengurangkan tekanan pada tumit dan melegakan kesakitan.
Pesakit juga boleh cuba meletakkan ketulan ais yang dibungkus dengan plastik dan kain ke atas tumit yang sakit. Kaedah ini berupaya mengurangkan kesan radang dan seterusnya sakit di tumit.
Senaman untuk meregangkan tisu plantar boleh dibuat beberapa kali sehari (disyorkan tiga kali sehari). Kajian menunjukkan senaman ini lebih berkesan jika ia dimulakan dalam masa enam minggu bermulanya sakit tumit. Seeloknya senaman untuk regangan ini dibuat pada waktu pagi dan juga sebelum berdiri, setelah duduk pada waktu yang lama. Ahli fisioterapi boleh mengajar teknikteknik senaman ini.
Rawatan doktor
SEBELUM memulakan rawatan, doktor mungkin akan menasihati anda supaya menjalani pemeriksaan imbasan sinar-X ke atas tumit untuk melihat tanda- tanda ketumbuhan tulang di tumit. Imbasan sinar-X boleh menunjukkan kesan klasifikasi tisu plantar itu.
Dalam kes-kes tertentu, doktor pakar mungkin juga mengambil keputusan membuat imbasan MRI yang dapat menunjukkan kesan inflamasi di tumit. Disebabkan tisu plantar fascia mengalami proses keradangan, doktor boleh memberi pesakit ubat antiradang selama beberapa hari untuk mengurangkan keradangan ini. Sesi fisioterapi dengan ultrasound juga dapat mengurangkan proses ini.
Selain daripada terapi ultrasound, satu lagi jenis terapi yang bukan invasif adalah penggunaan Extracorporeal shockwave therapy (ESWT). ESWT seakan ultrasound dan gelombang ditujukan kepada tisu plantar fascia untuk merangsang proses pemulihan.
Selain itu, untuk mempercepatkan proses mengurangkan keradangan ini, suntikan steroid mungkin juga dapat dilakukan di sekitar plantar fascia ini. Walaupun begitu, pesakit dinasihatkan supaya tidak mendapat suntikan ini terlalu kerap kerana ini mungkin menyebabkan komplikasi.
Kebanyakan penghidap masalah plantar fasciitis ini boleh sembuh dengan cara yang disebutkan di atas, walaupun ia mengambil masa beberapa bulan untuk sembuh. B agi segelintir kecil pesakit masalah ini tidak sembuh walaupun beberapa kaedah rawatan dilakukan. Doktor pakar mungkin harus membuat kajian dengan lebih teliti untuk memastikan sakit tumit pesakit bukan berpunca daripada masalah selain plantar fasciitis.
Pembedahan boleh juga ditawarkan bagi segelintir pesakit yang tidak sembuh selepas menjalani rawatan biasa. Rawatan baru bernama Radiofrequency microtenotomy boleh digunakan untuk mempercepatkan proses penyembuhan ini. Dalam prosedur ini, keratan dibuat di tumit pesakit dan plantar fascia yang sakit itu ditebuk supaya proses penyembuhan dapat berlaku.
Info
Golongan berisiko
* Disebabkan masalah ini berpunca daripada masalah penuaan, selalunya ia membabitkan pesakit di lingkungan pertengahan umur.
* Obesiti.
* Ahli sukan seperti pelari.
* Golongan pekerja yang memerlukan banyak pergerakan seperti jururawat n Kaki dengan bentuk gerbang tinggi.
* Tapak kaki yang leper.
* Mereka yang alami masalah otot betis yang tegang juga berisiko alami masalah ini.
Sumber: Berita Minggu - Sun, Jan 23, 2011 - BM Dua - Oleh Suzan Ahmad
No comments:
Post a Comment