Saturday, January 22, 2011
Pemeriksaan berkala penting
USIA dan prestasi kenderaan bergantung kepada penjagaan serta penyelenggaraan pemiliknya. Sikap ambil mudah aspek itu merugikan kita kerana kenderaan yang dimiliki bukan hanya untuk kegunaan harian, malah menjamin keselamatan kita dan keluarga serta pengguna lain ketika di jalan raya.
Penjagaan rapi dan teratur juga membolehkan kita memandu dalam keadaan selesa walaupun untuk perjalanan jauh.
Sama ada anda membeli kereta terpakai atau baru, aspek penting yang perlu diambil berat adalah prestasi serta aspek keselamatannya dan anda dinasihatkan melakukan penyelenggaraan berkala, sama ada oleh pusat servis atau anda sendiri jika berkemahiran.
Rutin penjagaan berkala membolehkan kita mengetahui keadaan kenderaan, termasuk mengesan bahagian atau komponen yang haus, rosak dan perlu diganti.
Berikut beberapa langkah boleh dilakukan:
* Panaskan enjin selama 10 minit sebelum memulakan perjalanan.
* Biasakan diri mendengar bunyi enjin. Ia melatih anda mengesan bunyi ganjil pada enjin dan ia membantu mengesan masalah pada bahagian itu.
* Setiap minggu luangkan masa memeriksa bahagian keselamatan kenderaan seperti sistem brek dengan menguji pelapik brek supaya ia tidak haus.
* Anda juga boleh memeriksa sistem penyaman udara serta cecair pada enjin kenderaan seperti minyak pelincir, air radiator, minyak brek dan pencuci cermin.
* Untuk memastikan cat kenderaan tidak pudar, basuh dan dikilatkan supaya cat kenderaan tidak pudar.
* Setiap bulan periksa tekanan udara pada tayar anda. Ia penting bagi memastikan kenderaan dipandu stabil dengan penggunaan tekanan yang betul. Tayar kekurangan tekanan udara menyebabkan kenderaan berat pada bahagian stereng atau boleh mengakibatkan kebocoran. Ia juga boleh memberi kesan terhadap bunga tayar jika kekurangan tekanan udara. Anda juga boleh menguji sistem brek dan membersihkan penapis udara kenderaan supaya sentiasa bersih.
* Setiap tiga bulan ganti minyak pelincir kereta anda., sebaiknya setiap 5,000 kilometer perjalanan. Jika anda menggunakan minyak pelincir yang mahal anda perlu menukar penapis minyak pada setiap 5,000 kilometer walaupun minyak berkenaan masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukar.
* Setiap tahun periksa sistem gantungan (suspensi) kenderaan. Langkah itu bertujuan memastikan ia masih baik atau periksa bahagian perlu ditukar. Kerosakan sistem gantuangan boleh dirasai pemandu, terutama apabila membawa penumpang. Lakukan pemeriksaan di bengkel atau pusat servis.
* Pastikan penjajaran (alignment) dan imbangan tayar berada dalam keadaan yang baik.
Periksa minyak pada bahagian kotak gear atau ditukar dengan minyak yang baru terutamanya bagi kenderaan menggunakan gear manual.
Anda juga boleh menilai ketebalan bunga tayar, sama ada perlu ditukar dengan yang baru atau tidak.
Panduan di atas adalah sebahagian daripada asas penyelenggaraan yang boleh anda lakukan sendiri. Ia dapat memberi maklumat kepada pemilik mahupun pengguna kenderaan supaya sentiasa mengambil berat status kenderaan mereka.
Penyelengaraan berterusan adalah langkah bijak menjaga usia kenderaan supaya sentiasa bertenaga dan selamat di jalan raya, malah suatu kelebihan apabila anda mahu menjual kereta berkenaan.
Sumber: Harian Metro - Thu, Jan 20, 2011 - 014 - 1Klassifieds -
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment