Wednesday, January 26, 2011
DNA warna
WARNA dan tekstur memainkan peranan penting dalam penataan ruang.
Setiap ruang mempunyai pendekatan gaya tertentu bergantung kepada jenis, kategori serta konsep reka bentuknya manakala pilihan skim warna berperanan penting menentukan sesuatu konsep reka bentuk yang cuba ditonjolkan.
Psikologi warna
Pemahaman psikologi warna adalah medium penting dalam aplikasi penggunaan warna. Walaupun tanggapan dan pemahaman kita berkenaan warna tidak berbeza bagaimana penilaian atau perasaan terhadapnya berbeza ditentukan menerusi pengalaman peribadi, pengetahuan selain budaya yang berkaitan dengan warna itu.
Warna panas serta sejuk secara tradisional digunakan untuk menentukan kesan psikologi warna. Warna panas secara visual dan psikologi dipercayai mampu memanaskan ruang.
Ia juga dikatakan bersifat mengalu-alukan, menanam optimistik selain membangkitkan selera. Selain itu, ia juga membuatkan ruang nampak kecil, dekat dan sempit.
Warna sejuk pula pula secara amnya melahirkan rasa tenang serta merehatkan minda dan anggota badan.
Ia turut membantu mengurangkan tekanan iaitu minda akan merasakan tiada apa yang perlu dikejarkan.
Dari segi visual, ia boleh membuatkan ruang menjadi luas dan sebab itu ia sesuai untuk kediaman kecil.
Persepsi warna
Banyak faktor menentukan penggunaan warna dalam hiasan dalaman. Cahaya juga kadang kala memberi kesan serta pengaruh besar terhadap warna misalnya, cahaya semula jadi matahari yang memancar pada waktu berbeza akan memberi kesan berlainan kepada warna. Kesan ekstrem sinaran matahari berpanjangan menyebabkan warna pudar lalu menyebabkan kesan tidak sekata. Justeru, sebaiknya sediakan bahan penapis cahaya agar terik cahaya itu dapat dikurangkan.
Kesan persepsi warna juga kadang kala mengelirukan kerana ia bergantung kepada cara penglihatan seseorang. Sesuatu warna dilihat berbeza kerana dilihat pada waktu serta suasana berbeza. Maka, ketika melihat contoh warna, kenal pasti sama ada ia dilihat pada waktu malam atau siang dan dengan bantuan cahaya semula jadi atau lampu.
Selain itu, orientasi ruang perlu diambil kira tatkala memilih warna. Pengetahuan mengenai jumlah cahaya yang memasuki ruang dan juga melalui sinaran lampu perlu diambil tahu bagi mengimbangi kesan keduaduanya.
Syarat teknikal yang digunakan dalam masalah penyesuaian warna dipanggil `metamerism'. Seperti dijelaskan, perkara utama menyebabkan berlaku masalah penyesuaian warna adalah pertama, kerana perbezaan jenis cahaya serta kualitinya dan kedua; disebabkan sudut pandangan serta jarak pandangan dari mana warna itu dilihat. Ini sebenarnya menentukan perubahan warna berkenaan selain punca cara penglihatan antara lelaki dan perempuan kadang kala berbeza.
Gandingan warna di ruang tamu
Ruang ini seharusnya kaya dengan konsep mengalu-alukan kehadiran tetamu.
Selaras fungsinya itu, penggunaan warna sesuai berupaya menarik perhatian tetamu sekali gus menyajikan keselesaan dan ketenangan kepada mereka.
Kombinasi warna semula jadi
Warna semula jadi mengambil inspirasi tanah seperti warna coklat, perang muda dan gabungan warna kelabu menimbulkan kesan santai.
Warna pilihan sebaiknya menunjukkan penyatuan dengan alam semula jadi. Bagi menimbulkan kesan penampilan berbeza, ia boleh digabungkan dengan warna prima seperti warna merah, kuning atau hijau.
Warna prima adalah warna penekanan yang menjadikan ruang nampak terserlah dan suasana ini tidak dapat diberikan warna semula jadi yang asasnya berunsur mendatar serta membosankan.
Kombinasi warna retro
Warna retro boleh dianggap keterlaluan untuk sebuah kediaman keluarga, sebaliknya, dilihat kombinasi hangat bagi ruang tamu rumah bujang atau keluarga muda. Warna pastel adalah pilihan asas bagi kelompok warna berkenaan. Kombinasi garang seperti warna prima merah, biru, ungu pekat dan hijau muda menarik digabungkan bersama corak dinamik berupa polka dot, jalur, garisan berombak, kekotak di samping motif abstrak lain. Sementara motif lain turut boleh digandingkan dengan gaya retro termasuk imej `funky' serta `pop art.'
Kombinasi warna moden
Ringkas dan kebersihan adalah kombinasi asas warna moden. Warna putih lambang kebersihan namun warna prima yang lain boleh digunakan bagi menyerlahkan suasana ruang tamu. Penggunaan bahan lain seperti kaca dan besi menunjukkan kesan minimalis yang mempunyai rekaan reka bentuk sederhana bagi perabot serta struktur bangunan. Putih memberikan inspirasi ketenteraman baik diketengahkan secara tunggal mahupun digandingkan dengan warna semula jadi lagi redup. Meskipun, ia biasanya bersifat mendominasi khususnya bagi keseluruhan ruang tamu namun jangan sekat kebebasan anda untuk memilih serta mencuba warna lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment