Wednesday, January 12, 2011

Awas rawatan estetika

HANYA kerana terpengaruh dengan tawaran kos rawatan murah, segelintir wanita yang kemaruk untuk kelihatan cantik sanggup berdepan risiko dengan mendapatkan rawatan di pusat perubatan estetika tidak berdaftar mahupun dikendalikan doktor luar negara secara haram tanpa menyedari ia mendatangkan masalah kesihatan.

Akibatnya, ada antara mereka terpaksa mengeluarkan kos berganda bagi mendapatkan rawatan susulan di pusat perubatan berdaftar lain apabila masalah kesihatan dialami bertambah serius.

Doktor Rawatan Estetika, Dr Ungku Mohd Shahrin Ungku Mohd Zaman berkata, penampilan fizikal menarik dianggap satu kelebihan dalam pelbagai aspek pada masa kini dan kerana itu wanita sanggup melakukan pelbagai perkara untuk mendapatkannya.

"Tuntutan persekitaran dan tempat kerja menjadikan industri kecantikan berkembang pesat seiring dengan kehendak masyarakat yang sanggup berbelanja tinggi bagi mencapai impian memiliki penampilan juga fizikal menarik.

"Satu daripada cabang yang berkait rapat dengan industri kecantikan adalah perubatan estetika, ia menjadi pilihan ramai kerana membantu merawat masalah kulit seperti parut, bintik atau tompok, lebihan kulit, garis halus, bentuk wajah juga badan atau mengurangkan lemak," katanya.

Menurut Dr Shahrin, hampir sedekad istilah perubatan estetika diguna pakai di negara ini, malangnya sebahagian besar masyarakat masih keliru dengan perkhidmatan perubatan yang dianggap berlawanan dengan kaedah konvensional.

"Bermula di Paris, Perancis pada 1973, Dr JJ Lengard mengilhamkan perubatan estetika di mana beliau beranggapan keharmonian fizikal dan fisiologikal adalah penting untuk setiap individu dan ia mampu dicapai dengan penggunaan kaedah perubatan moden.

"Manakala pada awal 1980-an, Dr Fourneir pula berjaya memperkenalkan kaedah Mesoterapi iaitu suntikan menggunakan bahan organik atau kimia ke lapisan kulit bermasalah," katanya.

Berbeza dengan rawatan bedah plastik, Shahrin mengatakan, perubatan estetika yang diperkenalkan pada masa itu hanya membabitkan rawatan kecantikan untuk menjadikan tekstur kulit wajah tampak lebih berseri dan segar.

"Bermula dengan kaedah Mesoterapi, pelbagai kaedah rawatan perubatan estetika dicipta seperti pengelupasan kimia, 'fillers' dan pelbagai penggunaan aparatus laser untuk kulit," katanya.

Namun sebelum mendapatkan rawatan estetika, perkara yang harus diketahui umum adalah semua rawatan perubatan itu seharusnya mempunyai ciri-ciri berikut:

* Tidak invasif atau minimali invasif (kurang risiko atau tidak berisiko)

* Dilakukan oleh doktor perubatan bertauliah

* Premis berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

* Dilakukan ke atas individu sihat dan tidak memudaratkan kesihatan

* Bersandarkan kajian saintifik yang terperinci, bukan secara testimonial

a. Tidak invasif atau minimal invasif

Yang dimaksudkan di sini adalah, setiap prosedur dilakukan tidak membabitkan atau mendatangkan bahaya, contohnya individu berkaitan tidak diberi bius am tetapi hanya memerlukan ubat bius setempat atau topikal (krim).

Apa juga prosedur membabitkan individu itu dibius am dianggap sebagai prosedur rawatan invasif dan tidak dikategorikan dalam rawatan perubatan estetika. Prosedur atau kaedah digunakan juga tidak harus membabitkan bahagian kulit yang melebihi lapisan subdermal (tidak menjejaskan lapisan di otot dan bahagian organ dalaman individu).

Jika potongan pada kulit dilakukan, ia hanya sederhana dan bukan potongan besar atau terlalu dalam. Individu  juga tidak perlu dimasukkan ke wad perubatan selepas menjalani rawatan, sebaliknya mereka seharusnya dibenarkan pulang ke rumah selesai rawatan.

Risiko komplikasi daripada kaedah rawatan tidak invasif atau minimal invasif ini juga kurang, semua kaedah rawatan invasif hanya boleh dilakukan di hospital berbanding rawatan tidak invasif yang boleh dilakukan di klinik perubatan berdaftar.

Antara rawatan yang dimaksudkan adalah suntikan Botulinum Toxin Type-A (BTA), Fillers, Chemical Peel, Intense Pulse Light dan lain-lain.

b. Doktor perubatan bertauliah

Hanya doktor yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dianggap layak melakukan prosedur itu. Kebiasaannya, doktor berkenaan mendapatkan latihan sebelum memberi perkhidmatan perubatan estetika. Setiap individu yang ingin mendapatkan rawatan perubatan estetika mempunyai hak untuk bertanyakan kelayakan dan pengalaman doktor yang merawat.

Selain itu, mereka boleh melakukan semakan di laman web kementerian (www.moh.gov.my). Kita seharusnya berwaspada dengan segelintir premis yang menggunakan perkhidmatan doktor luar negara tidak berdaftar. Kegiatan itu dijalankan secara haram hingga ia mendatangkan alahan dan memudaratkan pelanggan.

c. Premis berdaftar dengan Kementerian Kesihatan

Setiap rawatan perubatan estetik hanya boleh dilakukan di premis yang berdaftar sebagai klinik perubatan oleh Kementerian Kesihatan. Lesen hanya diberi selepas memastikan premis itu memenuhi syarat ditetapkan.

Antara rasionalnya adalah memastikan setiap individu yang menerima rawatan berada di tempat yang mampu menangani komplikasi perubatan jika ia berlaku.

Begitu juga untuk memberi keyakinan pada pesakit berkaitan integriti premis itu sebagai klinik perubatan yang sempurna. Aspek kebersihan dan alat pembedahan turut dititikberatkan sebelum menjalani rawatan.

Rawatan perubatan estetik tidak mungkin dilakukan di pusat rawatan kecantikan dan menjadi kesalahan jika dilakukan di luar klinik berdaftar seperti di bilik hotel dan sebagainya. Pelanggan seharusnya tidak terpengaruh dengan tawaran harga murah bagi menjalani rawatan itu.

Mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Swasta 1998 Kementerian Kesihatan, setiap premis klinik atau pusat perubatan akan diberi sijil pengesahan bernombor siri yang wajib dipamerkan di premis masing-masing.

d. Pelanggan mestilah sihat dan tidak mengalami masalah kesihatan

Aspek paling penting dalam perkhidmatan perubatan estetik adalah pelanggan atau pesakit. Individu berkenaan seharusnya bebas daripada sebarang penyakit kronik. Doktor seharusnya memeriksa individu secara menyeluruh terlebih dulu dan memastikan dia dalam keadaan sihat sebelum memulakan rawatan.

Sesetengah penyakit seperti Herpes (penyakit berpunca daripada virus, yang menyebabkan lepuh kecil berair pada kulit) akan berulang jika rawatan laser dilakukan.

Begitu juga dengan pesakit epilepsi (sawan) mungkin akan mendapat serangan jika menjalani rawatan Intense Pulse Light (IPL).

Harus diingat bahawa setiap individu yang mendapatkan rawatan perubatan estetik hanya mahu mencantikkan penampilan, bukan memudaratkan kesihatan.

Rawatan estetik seharusnya dimulakan dengan penerangan menyeluruh berkaitan prosedur yang akan dijalankan.

Kesan sampingan dan risiko yang mungkin wujud juga perlu dimaklumkan, selepas berpuas hati dengan penjelasan doktor, individu itu dikehendaki menandatangani borang persetujuan atau keizinan.

e. Berdasarkan kajian saintifik, bukan secara testimoni (pengakuan bertulis pelanggan)

Antara perkara pokok yang perlu diambil kira dalam membezakan rawatan perubatan estetik berbanding rawatan kecantikan biasa ialah kesahihan rawatan itu.

Menjadi tanggungjawab doktor untuk memastikan rawatan ditawarkan berdasarkan kajian saintifik dan bukan bersandarkan kepada testimonl individu lain.

Individu yang menerima rawatan sewajarnya menerima penjelasan daripada doktor secara ilmiah berkaitan keseluruhan prosedur rawatan. Ubat digunakan, komplikasi dan kesan sampingan antara perkara yang harus diberi perhatian dan difahami sebelum rawatan diberi.

Jika individu berkaitan was-was dengan rawatan ditawarkan, mereka boleh mendapatkan penjelasan daripada doktor terlebih dulu.

Semua harus faham bahawa setiap hasil daripada rawatan perubatan estetik dilakukan terhadap setiap individu adalah berbeza, sebahagian akan mengalami kesan positif dalam waktu singkat manakala segelintir pula mengambil masa.

Oleh itu, penjelasan secara testimoni tidak seharusnya dijadikan batu pengukur dalam menilai keberkesanan sesuatu rawatan perubatan estetik kerana testimonial individu yang dipaparkan pada iklan lebih bersifat gimik dan untuk tujuan promosi.

Sumber: Metro Ahad - Sihat - Oleh Mary Victoria Dass

No comments: