Thursday, January 13, 2011
Etika tempah baju kemeja
BAGAIKAN tiada pilihan muktamad bagi sesetengah lelaki apabila memilih kemeja mengikut saiz badan mereka. Selain faktor saiz S, M, L, XL atau yang lebih besar daripada itu, jejaka tidak berpeluang untuk mendapatkan saiz yang betul-betul menepati bentuk badan masing-masing.
Mungkin bagi yang memiliki bentuk badan bersaiz ideal, faktor itu bukanlah masalah besar kerana ada saiz baju yang mewakili bentuk badan sempurna. Malah, kalau dipadankan dengan seluar dan tali leher bersesuaian, tentu saja kemeja pilihan akan kelihatan cantik terletak pada badan.
Namun, bagaimana pula kalau bentuk badan lelaki yang tidak memenuhi piawaian sempurna saiz kemeja yang berada di pasaran? Tentulah sukar untuk menentukan saiz pilihan yang tepat sama ada kemeja kecil ataupun yang bersaiz besar. Andai memilih saiz S, nanti bimbang pula akan kecil pada bahagian dada, namun kalau memilih saiz lebih besar pula akan longgar di bahagian lengan.
Kegagalan lelaki dalam memilih saiz kemeja yang bersesuaian dengan bentuk badan mengakibatkan penggayaan pakaian rasmi itu tidak sempurna dan agak polos. Lebih-lebih lagi kalau jejaka kurang mengambil peduli soal padanan kemeja dengan seluar, kemeja dengan tali leher serta kemeja digandingkan bersama jaket.
Bagi jejaka yang menghadapi masalah bentuk badan, pemilihan kemeja tidak harus dipandang mudah terutama dalam soal penggayaan di majlis rasmi. Nampak seakan urusan remeh, penggayaan kemeja yang sempurna pada badan memperlihatkan cita rasa serta etika profesional dalam penataan gaya itu sendiri.
Lantas, sesekali lelaki harus memikir di luar kotak persepsi fesyen itu sendiri dengan mengambil kira faktor elemen fesyen serta padanan saiz kemeja bersama dengan saiz badannya. Meskipun dalam lambakan koleksi kemeja yang ada, sebagai seorang profesional dan menitikberatkan soal penggayaan, jejaka perlu memiliki kemeja yang mengikut potongan badan.
Pendek cerita, sesekali jejaka harus menempah kemeja di tukang jahit profesional terutama kalau berkait rapat soal majlis rasmi dan mesyuarat yang menjanjikan prospek terpenting dalam membina karier.
Walaupun harga dan caj jahitan kemeja tempahan khas lebih mahal berbanding kemeja sedia ada di pasaran, kualiti serta kesempurnaan tatkala disarungkan pada badan membezakan penggayaan itu sendiri.
Jom kongsi tip sebelum tempah kemeja custom made...
1 PILIH TUKANG JAHIT BERKUALITI
TIDAK saja tertumpu pada nama tukang jahit semata-mata, pastikan reputasi tukang jahit diambil kira dalam menghasilkan kemeja berpotongan cantik. Kalau baru pertama kali ingin menempah kemeja custom made, seeloknya tanya kepada teman-teman lelaki yang lebih arif soal kredibiliti tukang jahit. Kata orang biarlah berbelanja sedikit, asalkan hasil jahitan serta kemasan benar-benar berbaloi dengan harga dibayar. Tukang jahit yang berpengalaman tidak saja cuba menzahirkan rekaan kemeja yang kreatif, pada masa yang sama turut mengambil kira latar belakang kedudukan, saiz badan dan bentuk fizikal termasuk bentuk muka untuk memastikan kemeja benar- benar padan bersama tuan empunya diri.
2 PILIH FABRIK BERSESUAIAN
WALAUPUN sekadar kain, jangan salah sangka dengan impak di sebalik lembaran kain itu apabila sudah menjadi persalinan kemeja. Penting bagi jejaka memilih fabrik dan corak bersesuaian untuk dijadikan kemeja. Faktor cuaca juga harus diambil kira terutama kepada mereka yang banyak bekerja luar. Tidak semestinya jejaka hanya bekerja di dalam pejabat, memandangkan sesekali perlu juga bertugas di luar. Pilihan kain kapas antara idea terbaik, selain kain sutera bagi yang memilih untuk ke acara malam.
3 WARNA MENGIKUT KAREKTOR DIRI
SIAPA kata jejaka tidak boleh berfantasi dengan warna. Asalkan pilihan warna berpadanan dengan karektor serta kesesuaian acara, rasanya perlu untuk jejaka memilih warna yang benar-benar menonjolkan karektor diri. Jangan pula memandai menggandingkan tali leher bercorak dengan kemeja bercorak sama sehingga membuatkan penampilan kelihatan lucu. Pilihan warna kontras dengan aksesori mampu membentuk personaliti membanggakan.
4 UKURAN TEPAT
SIA-SIALAH menempah kemeja kalau tidak mendapatkan ukuran pakaian yang sepatutnya. Kemeja yang ditempah seharusnya mengambil ukuran mengikut bentuk badan jejaka itu sendiri. Kalau bentuk saiz badan kecil, maka kecillah saiz kemeja itu. Begitulah sebaliknya. Jika perlu membeli kemeja tempahan khas secara online, pastikan anda terlebih dulu mendapatkan ukuran tepat saiz badan sebelum dilanjutkan dengan tempahan pakaian.
5 TAMBAH AKSESORI
ALANG-ALANG menempah kemeja, pastikan anda bertindak sebagai pereka kepada kemeja itu dengan mengambil kira cita rasa mengikut kehendak hati. Sama ada ingin menambah kocek, warna kolar, ataupun menjahit nama pada kemeja, itu semua haruslah dilakukan tukang jahit. Biarlah nampak kemeja itu berbeza daripada kemeja sedia ada di pasaran.
Sumber: Berita Harian - Sabtu - Oleh Fairuz Zaidan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment