Monday, December 13, 2010

Susun barang biar ikut fungsinya

RUANG penyimpanan kini direka dalam pelbagai bentuk dan saiz bergantung kepada kesesuaian ruang.

Perkara paling penting adalah jenis barangan yang hendak disimpan dan aspek keseimbangan antara keperluan serta kesempurnaan untuk tujuan pindah alih.

Pastikan ukuran asas barangan yang hendak disimpan dapat memenuhi ruang penyimpanan bagi mengelakkan kepadatan.

Ruang penyimpanan juga mestilah praktikal digunakan dengan ketinggian rak juga perlu diambil kira bagi memudahkan ia dicapai.

Barangan yang berat seharusnya diletakkan pada ketinggian paras pinggang bagi mengelak kesukaran mengalih.

Elakkan meletak barangan yang berat di bahagian atas atau melebihi ketinggian pengguna kerana ia boleh mengundang bahaya dan dikhuatiri ia terjatuh.

Seterusnya, cara bukaan pintu atau penutup ruang penyimpanan juga perlu diambil kira bagi memudahkan ruang penyimpanan berfungsi.

Pintu berlipat, pintu pusing, pintu gelongsor adalah antara yang biasa digunakan.

Reka bentuk ruang penyimpanan yang menarik dengan susunan barangan sempurna boleh berfungsi sebagai perhiasan ruang.

Ruang kediaman kurang sempurna jika tempat penyimpanan tidak tersusun rapi terutama membabitkan barangan dan perhiasan.

Tanpa perancangan teliti boleh mengakibatkan ruang kediaman yang penuh dengan almari, tetapi tetap kelihatan kurang menarik.

Beberapa perkara perlu diambil kira apabila merancang dan mengatur barangan di dalam rumah.

Ini termasuk kekerapan penggunaan barang, berat sesuatu barangan yang disimpan serta ukuran dan saiz sesuatu barang yang mahu disimpan.

Kedudukan tempat barang yang hendak disimpan serta kesesuaian cara ruang simpanan yang disediakan juga perlu diberi perhatian.

Rak buku umpamanya perlu dipastikan jarak antara rak bergantung kepada ketinggian buku.

Buku seharusnya disimpan mengikut ketinggiannya untuk memaksimumkan ruang simpanan kelihatan sempurna.

Jarakkan ruang sekurang-kurangnya antara 25 hingga 30 sentimeter (sm) ruang simpanan pada bahagian sisi dan atas buku bagi memudahkan pengambilannya.

Seterusnya, ruang penyimpanan lebih bermanfaat jika barangan yang disimpan berada dalam keadaan kemas dan selamat.

Jika barangan yang disimpan itu bernilai, anda seharusnya menyediakan ruang penyimpanan yang berkunci dan kukuh.

Barangan yang boleh mengundang kecederaan seperti ubat-ubatan atau beracun sebaik-baiknya diletakkan di tempat tinggi yang tidak mudah dicapai kanak-kanak atau dilabelkan.

Sumber: Harian Metro - Sat, Dec 11, 2010 - Variasi

No comments: