Thursday, December 16, 2010

Suami malu beli kondom

APABILA bercakap mengenai perancangan keluarga, tumpuan dan perbincangan biasanya lebih menjurus kepada wanita, sedangkan sebenarnya ia turut memerlukan kerjasama suami supaya kaedah diamalkan lebih berkesan.


Bagi sesetengah kes, ada suami menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab memahami konsep perancangan keluarga kepada isteri.

Malah, ada lelaki malu untuk membeli kondom dan isteri yang terpaksa menebalkan muka mendapatkan perlindungan untuk mereka. Lebih buruk, ada juga ibu bapa meminta bantuan anak baru belasan tahun membelinya!

Apabila mendapatkan bantuan pakar perubatan pun, isteri biasanya datang sendirian.

Bagaimanapun, keberkesanan perancangan keluarga dianggap akan lebih baik jika wanita ada kefahaman mengenai kaedah diamalkan, kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Harlina Halizah Siraj.

Ketika ini ada pelbagai kaedah perancangan keluarga boleh dipilih mengikut kesesuaian dan keselesaan pengguna.

Antara kaedah yang ada kini ialah pil perancang, kondom, suntikan, sistem intra uterin (IUS) dan alat intra uterin (IUD - yang diletakkan di pangkal rahim), implan (disisip di bawah kulit), tampalan pada kulit, pemandulan lelaki dan wanita serta yang terbaru ialah gelang vagina untuk perempuan.

Namun kaedah paling popular ialah pil perancang meskipun ia perlu diambil setiap hari diikuti penggunaan kondom, suntikan, implan dan IUS atau IUD. Pun begitu, ramai wanita masih ragu-ragu dan bimbang menggunakan kaedah perancangan keluarga kerana kurang pendedahan dan kefahaman.

Antara kebimbangan paling lazim membabitkan gangguan kitaran haid (sama ada terlalu lama dan banyak, kitaran tidak teratur atau pendarahan tidak tetap); masalah jerawat dan sakit kepala.

Lebih ramai wanita bimbang penggunaan kaedah perancangan keluarga, khususnya pil perancang, menyebabkan pertambahan berat badan.

"Ini antara salah faham pengguna menyebabkan ramai tidak mengamalkan perancangan keluarga. Memang, penggunaan kaedah perancangan keluarga membuatkan berat badan bertambah sedikit disebabkan kehadiran hormon tertentu - mengikut kaedah dipilih. Bagaimanapun, pertambahan berat badan akibat hormon sepatutnya tidak melebihi dua kilogram.

"Masalah pertambahan berat badan berlebihan dialami kebanyakan wanita bukan disebabkan hormon, tetapi selera makan. Ini kerana apabila menggunakan kaedah perancangan keluarga, fikiran wanita lebih tenang dan tidak lagi risau memikirkan kemungkinan hamil. Dalam keadaan tenang dan gembira, ramai orang tidak sedar mereka makan banyak yang akhirnya berat badan bertambah," katanya.

Bagi masalah pendarahan haid yang banyak dan lama, ia biasanya berkurang selepas satu setengah tahun. Sebaliknya ada juga yang takut apabila kaedah perancangan dipilih menyebabkan haid menjadi sikit dan pendek iaitu hanya tiga atau empat hari. Ada yang beranggapan darah haid mereka 'tertinggal' di dalam rahim dan boleh mendatangkan penyakit pada masa depan.

Ini juga anggapan salah kerana hormon yang dilepaskan daripada alat perancangan keluarga itu membuatkan badan menghasilkan sedikit darah haid dan tempoh haid juga menjadi pendek. Kitaran haid kembali seperti sediakala apabila alat perancangan keluarga dikeluarkan.

"Salah tanggapan ini berlaku kerana kurang perbincangan dengan doktor mengenai kelebihan atau kekurangan setiap kaedah. Perbincangan juga boleh menyingkirkan rasa takut atau bimbang yang tidak berasas. Ini juga sebabnya lebih baik jika suami isteri dapat datang bersama berjumpa pakar.

"Apabila faham, suami boleh menjadi faktor penguat sama ada mahu mengamalkan perancangan keluarga atau tidak. Malah bagi wanita mengambil pil perancang, suami boleh bertindak sebagai pengingat supaya isteri tidak lupa makan pil setiap hari," katanya pada Persidangan Obstetrik dan Ginekologi anjuran Persatuan Menopaus Malaysia.

Menurut Dr Harlina, meskipun pil perancang menjadi kaedah paling popular, kadar kepatuhan pengambilan pil masih kurang memuaskan.

Kajian menunjukkan 42 peratus wanita yang menggunakan kaedah ini berhenti tanpa berbincang dengan doktor terlebih dulu. Sementara 19 peratus berhenti terus tanpa beralih kepada kaedah lain dan 69 peratus lagi memilih kaedah perancangan keluarga yang kurang berkesan.

Biasanya kaedah perancangan keluarga yang memberi perlindungan jangka panjang memberi kesan lebih baik. Ini kerana alat perancang keluarga itu hanya dimasukkan sekali untuk tempoh tiga hingga lima tahun. Antara kaedah perancangan keluarga jangka panjang ini ialah implan, IUS dan IUD.
Wanita tidak perlu bimbang soal kesuburan kerana ia kembali normal apabila alat ini dikeluarkan. Kesuburan pulih seperti sediakala selepas satu atau dua bulan dan wanita boleh mempunyai anak jika mahu.

Kaedah pemandulan tidak disaran bagai pasangan muda kerana tidak boleh dikembalikan seperti asal. Ia sepatutnya menjadi pilihan terakhir bagi mengelak masalah tidak diingini pada masa akan datang.

No comments: