Friday, December 17, 2010

Pelbagai jenis lidah jin



ADA menganggap lidah jin atau nama saintifiknya, sansevieria hanyalah tanaman biasa untuk melengkapkan taman.

Pokok yang tidak mempunyai batang dan berasal dari Afrika itu mudah ditanam. Ia boleh dimanfaatkan sebagai tanaman sempadan atau pagaran, selain reka letak dalam pasu atau ditanam bersama pokok lain.

Lidah jin lebih senang hidup di kawasan redup atau suhu 10 darjah celsius dengan dedahan cahaya yang cukup selain bertahan untuk tempoh lama.

Ia juga sesuai ditanam dalam rumah tetapi perlu diletak berhampiran tingkap bagi mendapat cahaya matahari untuk proses fotosintesis dan tumbesarannya.

Sanseveria yang turut dikenali dengan nama lidah ibu mentua (mother-in-law's-tongue) di negara Barat.

Pokok itu memerlukan tanah yang sesuai dan menggunakan kaedah penyediaan tanah campuran membabitkan kandungan kompos.

Proses berkenaan penting untuk menggalak pertumbuhan akar dan meningkatkan kesuburan. Media tanaman selain tanah ialah longgokan batu sungai bersaiz kecil dengan sedikit air yang diletakkan di dalam balang kaca bersaiz besar atau sederhana, sesuai ditempatkan di meja hiasan atau almari.

Penanaman dalam rumah memerlukan sedikit pengurusan iaitu semburan halus air pada daunnya dan gunakan kapas untuk menyapu habuk serta membantu menyerlahkan daunnya yang berkilat.

Spesies sansevieria:

1. Sansevieria cylindrica bojer:

*  Memiliki daun berbentuk silinder, tegak panjang dan tajam hujung puncak daun dalam ukuran dua hingga tiga sentimeter lebar.

*  Daunnya berwarna hijau tua berbelang-belang kelabu.

*  Daun boleh menyimpan sedikit air walaupun keras.

*  Bunganya kurang menarik dan wujud dalam kuntuman kecil dan berjambak.

*  Tangkai bunga keluar secara memanjang daripada celahan daun tengahnya.

2. Sansevieria hahnii:

*  Spesies paling diminati kerana bentuknya yang padat dan rendah.

*  Ukuran panjang daun hingga enam sentimeter.

* Sesuai ditanam dalam pasu kecil dan kebanyakannya digunakan untuk menyerikan dekorasi taman batu.

3. Sansevieria trifasciata prain:

*  Mempunyai daun panjang yang tajam, tebal dan keras.

* Warnanya kelabu berbelang-belang hijau tua.

* Pertumbuhan yang subur berupaya menyerlahkan bentuk daunnya yang berpintal-pintal.

4. Sansevieria trifasciata:

*  Pokoknya kelihatan lebih tegap dengan keindahan warna daun kelabu berbelang-belang hijau tua yang diserikan dengan jalur kuning muda pada keseluruhan tepi daun.

Cara menanam dan membiak:

* Lidah Jin mudah dibiakkan sama ada menggunakan kaedah belahan rumpun dengan pemasuan semula, memisahkan anak daripada pokok atau kaedah keratan daun.

* Ia mudah berakar jika menggunakan pasir sebagai media tanaman.

* Daunnya yang panjang boleh dipotong dengan membuat tanda khas pada bahagian bawah bagi memudahkan proses penyemaian.

* Penggunaan pasir yang boleh mengalirkan air keluar daripada bekas semaian disyorkan kerana bekalan air berlebihan boleh menyebabkan daun menjadi reput.

* Keadaan itu boleh mengganggu proses pengakaran dan pertumbuhan anak benih baru.

*   Anak semaian perlu ditempatkan di kawasan yang redup atau terlindung daripada cahaya terbuka atau hujan lebat.

* Penjagaan itu perlu dilakukan dalam tempoh sebulan hingga anak benih baru mampu berdikari dan tahan lasak sebagaimana induknya.

No comments: