Wednesday, December 15, 2010

Rancang teliti bina siling


KEADAAN siling mempengaruhi penataan ruang secara keseluruhannya dan perancangan teliti berupaya mengubah suasana kediaman anda.

Pelbagai cara boleh dilakukan supaya kemasan siling tampil sempurna tidak kira sama ada siling rendah atau tinggi.

* Penggunaan kertas dinding

Bagi kediaman mempunyai siling rendah, penggunaan kertas dinding masih boleh diketengahkan bergantung kepada kreativiti dan kesesuaian anda.

Pilih corak jalur dan warna terang kerana kaedah berkenaan boleh membuatkan ruang lebih luas dan rumah seolah-olah mempunyai siling tinggi.

Dari segi motif pula, pilihan floral penuh dan letakkan pada satu dinding saja sudah memadai untuk mewujudkan kelainan pada ruang.

Sementara cat rona putih pula sering dipilih untuk kemasan siling kerana ia dianggap selamat dan mudah disesuaikan dengan pelbagai konsep dekorasi.

* Cat pilihan rona terang

Putih juga menjadi pilihan kerana tidak mengganggu pandangan dan lebih menonjolkan warna dinding serta perabot.

Malah, corak dinding yang turut diselarikan dengan rona putih siling menampakkan ruang kelihatan lapang dan tinggi.

Siling putih juga mewujudkan suasana cerah, luas dan selesa untuk bilik yang kurang terdedah dengan cahaya matahari.

Ia juga turut mengimbangi kehadiran perabot kayu, langsir dan permaidani.

Aspek ketelitian siling rona putih perlu juga mengambil kira kesesuaiannya kerana dikhuatiri menampakkan ruang kaku atau kurang berseri.


* Kombinasi cetus kelainan

Rona gelap biasanya membangkitkan suasana sempit dan terhad.

Bagaimanapun, kreativiti anda dalam padanan warna untuk siling boleh menjadikan rona gelap untuk mengilhamkan suasana lebih selesa dan mesra. Siling berwarna menambah watak ruang, tetapi pemilihan ruang perlu tepat dan lebih sesuai seperti di ruang tamu supaya tidak sakit mata memandang.

Penggunaan rona bertentangan antara siling dan dinding semestinya menyuntik gaya dramatik mengikut cita rasa anda.

* Penataan cahaya

Pantulan cahaya daripada siling keseluruhan ruang, sekali gus mengilhamkan ragam suasana segar dan penuh makna.

Kombinasi warna sedondon antara siling dan dinding, ia bukan sesuatu yang janggal, tetapi perlu sesuai dengan konsep pilihan anda.

Anda perlu bijak memberikan sentuhan berbeza pada dinding atau siling supaya keadaan tidak tampil serabut.

Kekuatan penataan cahaya pula perlu diambil kira dahulu sebelum rona siling dipilih.

Langkah pertama ialah perhatikan cahaya semula jadi yang masuk ke ruang berkenaan dan simbahan cahaya petang supaya rona siling dan cahaya lampu sesuai diketengahkan.

Penggunaan lilin atau mentol rona merah mampu mewujudkan suasana hangat sementara cahaya siang yang memantulkan rona merah muda atau biru langit pada siling mencipta suasana segar dan tersendiri.

Sumber: Harian Metro - Sat, Dec 11, 2010  - Variasi

No comments: