Monday, November 22, 2010
Pesona ati-ati
POKOK yang dikenali masyarakat tempatan sebagai pokok ati-ati yang berdaun cantik ini adalah tanaman hiasan yang diminati sejak zaman dulu lagi. Namun, ia seakan tenggelam seketika sebelum diminati semula berikutan pelbagai kacukan yang menghasilkan dedaun sebegitu cantik. Tidak hairanlah, ati-ati ini dianggap antara pokok berdaun paling cantik berikutan kepelbagaian warna dan coraknya.
Biarpun popular sebagai ati-ati, nama saintifiknya adalah coleus blumei tetapi kini ditukar pula kepada solenostemon scutellarioides. Ia dikategorikan dalam famili tumbuhan labiatae dan pokok yang mudah ditanam serta dijaga ini dikatakan berasal dari kepulauan Jawa.
Daunnya pelbagai bentuk, bercorak menarik dengan pelbagai campuran atau kombinasi banyak warna seakan akan warna pelangi. Tepatlah dengan nama gelarannya iaitu pokok pelangi (rainbow plant). Bunganya agak kurang menarik bersaiz kecil berwarna ungu atau biru tumbuh dalam gugusan pada pokok yang sudah matang.
Keratan batang ini juga senang berakar apabila diletakkan dalam air takungan. Apabila berakar pindah untuk ditanam dalam medium tanaman kekalnya.
Kaedah lain ialah dengan menanam terus keratan batang tadi dalam medium tanaman kekalnya. Campuran medium tanaman yang disyorkan ialah 3:2:1 (tanah peroi:tanah gambut/baja kandang : pasir sungai).
Anda juga boleh menggunakan medium tanaman yang telah siap dicampur untuk pokok berpasu yang boleh dibeli dari pusat tanaman dan sebagainya.
* Pembiakan
Ia senang dibiakkan dengan cara keratan batang matang. Ia juga boleh dibiakkan menggunakan biji benih yang boleh dibeli dari pusat tanaman atau pasar raya dan sebagainya.
* Penanaman
Ikuti langkah penanaman seperti berikut:
1. Kerat beberapa hujung batang berdaun yang sudah matang kira kira 10.16 sm panjang dan tanggalkan beberapa helai daun yang paling bawah.
2. Celupkan bahagian keratan dalam serbuk hormon penggalak akar
3. Semai dalam medium pasir sungai.
4. Siram dan letakkan dalam beg plastik agar keratan batang ini cepat berakar.
* Penjagaan Air:
- Medium tanamannya perlulah lembap sentiasa oleh itu pokok ini memerlukan banyak siraman air untuknya cepat membesar dengan corak serta warna daunnya yang terang dan menarik. Siram dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang pada hari panas. Siram apabila perlu saja pada hari hujan.
- Cahaya matahari: Ia sesuai didedahkan kepada cahaya matahari untuk mendapatkan corak dan warna daunnya yang terang dan menarik.
Jika diletakkan di tempat teduh warna daunnya akan menjadi pudar dan tidak banyak corak serta kurang menarik .
- Pembajaan: Gunakan baja kandang seperti najis ayam atau kelawar yang telah diproses atau baja kimia cecair atau baja garam larutan untuk membaja. Berhati hati jika menggunakan baja bijian kerana bahagian pokok seperti batang atau daunnya akan melecur apabila terkena butir baja jenis ini.
* Idea pameran
- Ia cantik ditanam di dalam pasu secara solo atau digubah bersama dengan tanaman lain sebagai satu gubahan menarik.
- Ia juga sesuai ditanam di tanah secara solo atau sebagai gubahan bersama dengan tanaman lain.
Ikuti idea menarik serta kaedah pameran yang boleh dilakukan sendiri menggunakan pokok ati-ati ini dalam keluaran dua minggu akan datang.
Tip
Cara tanam
- Potong hujung batang yang berpucuk untuk menggalakkan pertumbuhan ranting dan seterusnya merimbun pokok.
- Rebahkan batang pokok untuk menggalakkan pertumbuhan banyak ranting.
- Potong bunganya bagi menggalakkan pertumbuhan daun bagi membentuk rumpun pokoknya yang lebih sihat dan cantik.
- Gembur medium tanamannya agar pokok tumbuh lebih subur dan membentuk rumpun yang menarik.
Sumber: Berita Minggu - BM Dua - Oleh Abubakr As-Siddiq
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment