Monday, November 15, 2010

Panduan kanak-kanak di jalan raya



KANAK-kanak yang berjalan kaki Ramai kanak-kanak melintas jalan berseorangan dan mereka ini bernasib baik kerana tidak terlibat dalam kemalangan. Kanak-kanak mesti diiringi semasa melintas jalan. Ini adalah kerana mereka tidak dapat mengenal bahaya di jalan raya. Oleh sebab bentuk badan mereka kecil, pemandu kenderaan kerapkali tidak nampak mereka. Kanak-kanak tidak dapat menentukan kelajuan lalu-lintas dan kadang-kadang tidak dapat mengesan dari mana datangnya bunyi kereta. Oleh itu, ibu bapa mesti memastikan bahawa:

* Kanak-kanak berumur kurang daripada 12 tahun diiringi semasa berjalan di tepi jalan atau semasa melintasinya. Ketika berjalan dengan anak, pastikan anak berjalan di sebelah yang berjauhan dari perjalanan kenderaan iaitu di sebelah luar jalan raya.

* Kanak-kanak tidak dibiarkan bermain di tepi jalan.

* Beritahu anak supaya menggunakan jejantas, lintasan "zebra" dan lintasan di lampu isyarat untuk melintas jalan.

* Ajar anak cara melintas jalan seperti memandang ke kanan, ke kiri dan ke kanan semula sebelum melintas.

* Apabila berjalan pada waktu malam anak mesti dipakaikan baju yang berwarna cerah supaya dapat dilihat oleh pemandu kenderaan.

* Beritahu anak supaya jangan melintas di antara dua buah kereta kerana pemandu tidak akan nampak anak melintas.

* Beritahu anak supaya jangan melintas jalan di belakang sebuah kereta yang sedang berundur.

Kanak-kanak Yang Menunggang Basikal

Tiap-tiap tahun kanak-kanak cedera parah akibat menunggang basikal di jalan raya. Separuh daripada kecederaan ini dapat dielakkan. Ibu bapa mesti memahami bahawa basikal itu sebuah kenderaan dan menunggangnya mempunyai risiko tertentu. (Basikal bukannya alat permainan walaupun di kalangan keluarga yang tinggal di kawasan Bandar dan bandaraya, ibu bapa membelikan basikal untuk anak mereka sebagai permainan.) Oleh itu:

* Pilih basikal yang seimbang dengan penunggangnya (apabila anak duduk di tempat duduk basikal dan kedua-dua tangannya memegang palang basikal, tapak kaki anak mesti menjejak ke tanah.).

* Anak di bawah umur 8 tahun tidak boleh menunggang basikal di jalan raya. Pastikan anak faham tatatertib jalan raya sebelum diberi kebenaran menunggang basikal.

* Belilah dan pakaikan anak dengan topi keledar basikal.

* Jangan biarkan anak menunggang basikal terlampau laju atau berlumba-lumba.

* Ajar anak supaya menunggang basikal berbarisan di tepi jalan raya.

* Pakaikan anak baju berwarna cerah semasa ia menunggang basikal.

* Pastikan basikal sentiasa dalam keadaan yang baik.

Penumpang Kereta

Tiap-tiap tahun kemalangan kereta dan kecederaan terhadap penumpangnya mengakibatkan kematian dan kesengsaraan kepada keluarga. Tali pinggang keledar dan kerusi keselamatan anak merupakan satu cara untuk menyelamatkan nyawa anak sekiranya kereta ibu bapa terlibat dalam kemalangan. Biasakan anak menggunakan kerusi keselamatan dan tali pinggang keledar kerana kemalangan hanya berlaku sekali dan kecederaan berpanjangan. Ibu bapa bertanggungjawab memastikan:

* Semua penumpang kereta mesti memakai tali pinggang keledar. Anak anda tidak selamat di dalam pelukan ibu kerana kemalangan akan menyebabkan anak dilepaskn daripada pelukan.

* Gunakan tali pinggang keledar walaupun untuk perjalanan dekat.

* Sekiranya tali pinggang keledar mencekik di kawasan leher anak, gunakan tali pinggang keledar di pinggang sahaja.

* Anak yang kecil harus diletakkan di kerusi keselamatan anak. Kerusi keselamatan anak boleh digunakan sehingga anak berumur 4 tahun. Anak yang berumur di antara 4 hingga 10 tahun boleh menggunakan "booster seat" dengan tali pinggang keledar biasa.

* Anak harus duduk di tempat duduk belakang. Walau bagaimana nakal sekalipun, anak boleh duduk di kerusi keselamatannya di belakang.

* Jangan benarkan anak duduk atau berdiri di atas tempat duduk penumpang di hadapan.

Jika kereta berhenti, anak akan terhumban ke hadapan dan melibatkan kecederaan kepala.

Penunggang Motosikal

Ramai anak dibawa menunggang motosikal bersama-sama ibu dan bapa. Keadaan ini boleh menyebabkan kemalangan kerana anak tidak dapat dipegang dan diawasi dengan sempurna.

* Jangan bawa anak bersama sekiranya tidak diperlukan.

* Jangan memandu motosikal terlalu laju.

* Pakai baju berwarna cerah.

* Pastikan motosikal berada dalam keadaan yang baik.

* Pastikan anak memakai topi keledar yang sesuai untuknya.

* Pakai topi keledar dengan sempurna supaya tidak terjatuh apabila ditimpa kemalangan.

* Jangan bawa barang-barang lain sehingga motosikal tidak dapat dikawal.

Bab ini dipetik daripada buku Penyakit Kanak-kanak A-Z - Panduan untuk ibubapa oleh Dr Iean Hamzah Sendut & Prof. Dr Zulkifli Ismail ISBN 981-204-584-8 (tahun 1996).

1 comment:

abigemok said...

info yg baik ni. menjadi tgjawab parents memastikan keselamatan anak kan? huhu

Blogger 20 Sen