Monday, November 15, 2010

Corak jenayah siber sentiasa berubah



Antara kaedah digunakan penjenayah siber

1. Berkenalan menerusi laman sembang. Ada dua cara untuk memerangkap mangsa, sama ada menerusi Internet atau berdasarkan janji temu yang diatur kemudian.

i) Menerusi Internet, penjenayah akan mensasarkan mangsa, biasanya wanita yang ingin mencari teman lelaki serta kesunyian. Bermodalkan perasaan mengambil berat mengenai mangsa selain penyamaran identiti lain yang lebih menarik, penjenayah mengatur masa lama bagi membolehkan mangsa termakan kata-kata. Berdasarkan perbualan laman sembang itu, ia kemudian bertukar kepada perbualan melalui telefon di mana akhirnya kepada perbualan unsur lucah dan penukaran gambar peribadi dalam keadaan bogel atau separuh bogel. Gambar bogel ini kemudian digunakan untuk menggugut mangsa, umpamanya memberi wang bagi mengelak ia disebar.

ii) Menerusi janji temu yang diatur kemudian. Penjenayah biasanya tidak menukar identiti sewaktu menjerat mangsa dalam laman sembang. Namun apabila membuat janji temu di luar, penjenayah terlebih dulu merancang tempat dan cara sesuai untuk memerangkap mangsa. Dalam situasi ini, mangsa mungkin dirogol atau diculik bagi tujuan mendapatkan wang daripada keluarga mangsa.

2. Phishing website (laman web palsu). Pelaku menggunakan laman web palsu menyerupai sesuatu organisasi perbankan untuk mendapatkan maklumat akaun serta kata laluan perbankan mangsa. Kebiasaannya orang ramai dihubungi menerusi e-mel yang meminta supaya membuka alamat pautan (link address) bagi tujuan mengemas kini akaun 'perbankan on-line' mereka. Menerusi data dimasukkan oleh mangsa, pelaku membuka akaun milik mangsa secara talian dan memindahkan wang kepada akaun pihak ketiga sebelum mengeluarkan wang berkenaan.

3. Aplikasi Internet. Merujuk kepada peraduan berbentuk uji minda atau tawaran yang menyatakan seseorang itu memenangi hadiah. Sistem ini meminta pengguna memasukkan nombor telefon mudah alih bagi melihat jawapan atau menawarkan hadiah kerana berjaya menjawab tepat semua soalan berkenaan. Kemudian, satu kiriman SMS dihantar kepada pemilik nombor terbabit yang meminta supaya membalas SMS berkenaan dengan menaip 'AKTIF' atau 'ON'. Apabila dilakukan, pemilik sebenarnya tidak menyedari mereka melanggan khidmat yang dikenakan caj mengikut kadar berbeza dan hanya boleh dihentikan sebaik mereka menamatkan langganan dengan menghantar 'STOP' atau 'OFF' kepada perkhidmatan tadi. Biasanya cara ini dilakukan menerusi aplikasi dalam laman sosial seperti Facebook.

4. Telefon. Pelaku menyamar sebagai kakitangan perbankan dengan menyatakan pihak perbankan melakukan kerja naik taraf akaun. Orang ramai diminta memberi nombor akaun perbankan bagi membolehkan proses naik taraf dilakukan. Sebaik memiliki nombor akaun berkenaan, pelaku berpura-pura menyatakan akaun tidak dapat diakses dan memerlukan kata laluan. Mangsa yang tidak menyedari selalunya memberi kata laluan, sekali gus membolehkan pelaku mengakses akaun perbankannya.

5. Urus niaga atas talian. Membabitkan urusan jual-beli barangan yang diiklan dalam sesebuah laman web. Pelaku menawarkan barangan paling laris dalam pasaran dengan tawaran harga murah. Sebaik pembeli mencapai persetujuan, pelaku berpura-pura menyatakan penghantaran berkenaan dilakukan seperti dijanjikan dan sebagai syarat, pembeli diminta memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun penjual dan bakinya sebaik barangan berkenaan sampai ke tangan pembeli.

Dalam situasi ini, pelaku selalunya menggunakan akaun pihak ketiga yang turut ditipu sebelum mengeluarkan wang berkenaan.

6. Muat turun haram. Menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak untuk muat turun atau muat naik sebarang perisian, maklumat, lagu, video tanpa kebenaran rasmi pemilik.

7. Hasutan. Ini dilakukan penjenayah dengan menyebarkan fitnah atau penulisan, rakaman yang menghina seseorang.

8. Penggunaan Identiti. Pelaku menyamar sebagai individu lain dengan menggunakan segala maklumat, termasuk gambar seseorang itu.

9. Penghantaran virus dan cecacing bagi memusnahkan sistem perisian. Situasi ini digunakan oleh individu tertentu bagi merosakkan sistem komputer orang lain.

Sumber: Metro Ahad - Informasi Elektif

No comments: