Monday, September 13, 2010
Kawal nafsu makan
AIDILFITRI menjadi kemuncak kepada pesta makanan yang berlangsung sepanjang Ramadan. Di sana sini orang menghidangkan lemang, rendang, kuah kacang dan pelbagai jenis sajian mewah berkalori tinggi.
Itu belum masuk kuih muih, aneka biskut dan air manis, terutama minuman berkarbonat. Malah tetamu boleh memilih perisa mana digemari.
Biasanya pada hari raya, semua kempen dan langkah berjimat cermat; bukan saja daripada segi penggunaan bahan, tetapi pengambilan kumpulan makanan, sering diketepikan dengan alasan 'rehat' untuk sehari dua.
Namun tanpa kita sedari, `berehat sehari dua' ini boleh berlanjutan hingga seminggu kerana sukar untuk menolak makanan enak, apatah lagi jika ia terhidang di depan mata.
Pada ketika ini pengambilan gula (pada kanak-kanak dan orang dewasa) sangat tinggi. Cuba anda ingat semula ketika Aidilfitri tahun lalu, berapa banyak air kosong yang anda minum pada hari raya pertama, kedua dan ketiga?
Lihat pada anak anda, berapa banyak minuman berkarbonat yang masuk ke perutnya? Pada kanak-kanak, tarikan air manis, khususnya minuman berkarbonat, sangat kuat dan mereka boleh menghabiskan beberapa tin minuman ringan dalam satu hari jika tidak dikawal.
Apabila berkumpul beramai-ramai, semua hidangan terasa enak dan ketika ini kita akan terdorong untuk makan lebih banyak. Bukan tidak boleh menjamu selera, tetapi biarlah makan secara sederhana.
Tidak kira hidangan apa disajikan, ambil sekadar untuk rasa supaya tidak timbul masalah sakit perut atau peningkatan paras gula yang mendadak, terutama pada pesakit kencing manis.
Untuk hari raya ini, kurangkan penggunaan gula sama ada dalam masakan atau minuman. Jika membancuh teh atau kopi, biar ia sekadar `manis buah' saja. Ketika sarapan pagi, sediakan segelas air suam bagi setiap orang untuk diminum selepas habis menikmati juadah.
Pastikan anak anda menghabiskan air suam mereka. Untuk makan tengah hari dan malam, sediakan air kosong saja. Jadikan minuman manis sebagai `larangan' ketika makan tengah hari atau malam.
Bawa bekal air kosong ketika mengunjungi sanak saudara dan letakkan di dalam kereta. Minta anak anda minum air kosong terlebih dulu sebelum turun dari kereta. Ini untuk menambah pengambilan air di kalangan kanak-kanak.
Bahkan, tidak keterlaluan jika meminta tuan rumah menghidangkan air masak untuk anda sekeluarga sebagai minuman tambahan. Beritahu anak, setiap gelas air manis yang mereka minum perlu diseimbangkan dengan air masak.
Jika anda membancuh minuman manis, kongsi dengan ahli keluarga lain. Jangan minum semuanya sendirian kerana ia tidak membantu mengurangkan pengambilan gula harian.
Namun cara paling baik ialah tidak membeli minuman berkarbonat pada musim perayaan ini kerana sukar untuk anda memantau pengambilan minuman manis di kalangan ahli keluarga.
Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil yang gemuk, pantau pengambilan minuman manis. Pengurangan setiap satu peratus pengambilan minuman ringan bersamaan penurunan sekurang-kurangnya enam kalori.
Kajian Universiti California Selatan mendapati kanak-kanak yang mengurangkan 47 gram gula (bersamaan satu tin minuman berkarbonat) mempunyai paras gula dalam darah yang lebih baik.
Jika anda diserang selsema atau demam, kurangkan pengambilan air manis. Ini kerana gula putih menyekat sistem imun.
Kajian mendapati gula putih boleh mengurangkan jangka hayat dan jumlah sel darah putih yang menjadi ejen utama kepada sistem imun kita untuk menghalang jangkitan atau kemasukan benda asing ke dalam badan.
Ada yang mengatakan gula juga membuatkan badan kita bersifat asidik, yang menyebabkan kita lebih mudah diserang bakteria dan virus. Gula juga menjadi makanan utama kepada bakteria dan fungus jika berlaku jangkitan.
Ingat, badan kita sebenarnya tidak memerlukan gula tambahan kerana makanan seperti nasi, ketupat, lemang, roti, mi, mihun, pasta dan semua sumber karbohidrat mengandungi gula secara semula jadi.
Karbohidrat daripada makanan ini dipecahkan kepada gula untuk digunakan sebagai tenaga. Jika mahukan manis, ambillah buah-buahan dan bukan kuih muih atau snek manis.
Gula hanya untuk menyedapkan makanan dan memuaskan selera tetapi tiada khasiat. Ia dikategorikan sebagai kumpulan makanan berkalori kosong iaitu hanya ada kalori tetapi tiada khasiat.
Jadi ia menyumbang kepada jumlah kalori harian kita dan jika tidak dibakar (digunakan) akan disimpan sebagai lemak dan lama-kelamaan menyebabkan peningkatan berat badan.
Sediakan buah-buahan sebagai penambah sumber serat anak kerana kebanyakannya tidak suka makan sayur. Kanak-kanak yang mengambil banyak makanan berserat (lima gram serat sehari) menunjukkan pengurangan 10 peratus lemak viseral iaitu lemak berbahaya yang berkumpul pada organ.
Kerap berulang ke tandas juga adalah perkara biasa pada musim perayaan. Sekali lagi, amalkan pemakanan sederhana. Usah memenuhkan pinggan dengan makanan kerana ia bukan saja menunjukkan anda tamak dan kalah pada godaan makanan; tetapi ia juga dapat mengelak kita daripada membazir. Ambil satu atau dua jenis makanan saja dulu dalam kuantiti kecil. Jika sedap, boleh tambah sedikit lagi.
Kunyah makanan perlahan-lahan untuk merangsang pengeluaran lebih banyak air liur. Air liur kita mengandungi enzim emilase yang membantu menghancurkan dan menghadamkan makanan.
Makan perlahan-lahan boleh membantu memperbaiki proses penghadaman di dalam usus kecil, oleh itu penyerapan zat daripada makanan menjadi lebih baik. Ia juga dapat mengelak masalah ketidakhadaman seperti sakit perut.
Bagi yang makan cepat, mereka mengambil banyak makanan untuk berasa kenyang dan ketika itu jumlah kalori yang masuk ke dalam badan mungkin dua kali ganda daripada diperlukan.
Perlahankan rentak anda, ia dapat membantu anda mengawal jumlah makanan yang masuk ke perut. Ini penting bagi mereka yang hendak mengurangkan berat badan.
Selain itu makan perlahan-lahan membolehkan kita menikmati keenakan, keharuman dan tekstur makanan dengan lebih baik. Makanan yang dinikmati dalam keadaan tenang terasa lebih enak.
Dalam pada kita bergembira, usah abaikan soal kesihatan. Usah sabotaj usaha penjagaan pemakanan yang kita amalkan sebulan Ramadan. Harapnya Aidilfitri ini jangan ada yang alami masalah berat badan bertambah mendadak pula!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment