SELEPAS sebulan berpuasa, pasti kita ingin merayakan Aidilfitri dengan meriah. Tapi, kita tidak perlu berbelanja besar kerana sebenarnya kita boleh berjimat dengan menggunakan barang terpakai yang ada di rumah bagi mencantikkan lagi kediaman menjelang perayaan itu.
Apa yang penting, sedikit kreativiti dan kesedaran sudah memadai bagi mengelakkan kita membazir, sekali gus dapat membantu menjaga alam sekitar dengan mengurangkan bahan buangan harian.
Berikut beberapa tip yang boleh dicuba untuk mengelakkan pembaziran dalam berbelanja dan pada masa sama, dapat menghangatkan lagi suasana Aidilfitri kali ini.
* Rancang barangan yang ingin dibeli sebelum keluar rumah. Catatkan barang yang diperlukan lalu bawa kertas catatan itu ke mana-mana dan patuhi apa yang sudah anda tetapkan dalam kertas itu.
* Sebelum keluar rumah, bawa wang tunai saja mengikut jumlah harga barangan yang ditetapkan dalam kertas catatan itu. Tinggalkan kad kredit di rumah atau minta pasangan anda menyimpannya.
* Elakkan membawa anak-anak ketika membeli-belah kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barangan yang tidak sepatutnya.
* Jika ingin membeli barangan di luar perancangan, berhenti seketika dan berikan masa untuk berfikir. Jangan terus membelinya. Lebih baik pulang dan memikirkannya di rumah selama beberapa hari. Andai anda memerlukannya, barulah dibeli.
* Beli secara pukal. Ia jauh lebih murah berbanding jika membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang sama ada untuk stok seminggu atau sebulan kecuali barangan segar seperti sayuran, ayam dan ikan.
* Bekas makanan lama boleh digunakan untuk menyimpan barangan kecil di rumah. Caranya, balut bekas itu dengan kertas berwarna atau cat dengan warna kegemaran anda.
* Kertas dan kadbod lama sesuai digunakan untuk melapik serta menyimpan permainan. Kertas yang sudah digunakan pula boleh dijadikan kertas conteng untuk anak-anak. Jangan lupa mengitar semula jika ia tidak boleh digunakan lagi.
* Baju lama boleh dijadikan alas kusyen, alas meja atau kain perca. Ia memang sesuai sebagai alas kaki.
* Gantikan langsir di ruang tamu dengan langsir di dalam bilik dan lakukan sebaliknya. Begitu juga perabot. Susun atur semula kerana ia mampu mencetuskan suasana baru di ruang itu.
* Kayu lama boleh dijadikan sebagai bahan kraftangan misalnya bekas bunga plastik dan kotak menyimpan majalah.
Sumber: Harian Metro/Variasi
No comments:
Post a Comment