JIKA puasa membantu anda mengurangkan berat badan ke timbangan ideal, apa kata teruskan usaha itu dengan memilih makanan sihat dan seimbang selepas berpuasa? Selain banyak minum air kosong dan banyak mengambil buah-buahan serta sayur-sayuran, beberapa cara boleh membantu.
* Kurangkan memakan kuih-muih yang manis. Tidak salah mengambilnya tetapi pastikan dalam kuantiti yang kecil atau sederhana.
* Jika membuat kek atau biskut raya sendiri, kurangkan penggunaan gula dalam resipi. Contohnya, kandungan gula dalam kek boleh dikurangkan kepada separuh tanpa menjejaskan rasa atau kualitinya.
* Ketika berkunjung ke rumah sanak saudara atau menghadiri rumah terbuka, boleh saja jika anda memilih untuk mengambil minuman manis, tetapi ketika di rumah, cukuplah sekadar minum air kosong.
* Pilih buah-buahan segar sebagai pencuci mulut. Kalau menggunakan buah dalam tin, pastikan memilih buah-buahan dalam tin yang menggunakan air atau jus semula jadi.
* Pastikan tidak menggunakan garam secara berlebihan kerana garam tidak baik untuk kesihatan.
* Kurangkan penggunaan minyak dalam masakan. Minyak berlebihan dalam masakan boleh mengundang penyakit. Jika untuk membuat rendang, cuba elakkan menggunakan minyak masak. Cukuplah hanya menggunakan santan kerana santan boleh bertindak sebagai minyak. Jadi, apabila minyak dan santan digunakan sekali, ia menyebabkan minyak berlebihan.
* Sayur-sayuran penting untuk kesihatan. Tetapi ketika lebaran kebanyakan juadah lebih menjurus kepada daging dan ayam. Jika tidak dihidangkan, anda boleh menjamahnya, tetapi apabila pulang ke rumah, banyakkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran sebagai ganti.
No comments:
Post a Comment