Monday, August 30, 2010

Elak boros ketika bercuti

BERCUTI peluang anda merehatkan diri dan minda. Namun, selepas balik bercuti, fikiran yang tenang kembali kusut dek masalah kewangan selama bercuti.

Situasi seperti ini sememangnya sering berlaku, tetapi ia boleh dielakkan.

Berikut beberapa petua bagaimana anda boleh bercuti dengan tenang tanpa dibelenggu masalah kewangan.

Tabung

Sebelum merancang bercuti, mula menabung dengan mengasingkan duit ke tabung khas.

Pakej promosi

Apabila memilih bercuti di luar negara, pilih negara yang mengadakan promosi atau diskaun. Tanya ejen pelancongan berhampiran. Menjelang musim sejuk, negara di Eropah giat mengadakan promosi.

Perancangan yang teliti

Tentukan dengan betul negara, kota atau tempat peranginan yang sesuai sepanjang tempoh percutian anda.

Buatlah pendaftaran di tempat yang akan anda kunjungi. Untuk menjimatkan tenaga, perbelanjaan dan masa, rancang mengunjungi lokasi menarik berhampiran dalam sehari.

Melalui perancangan itu, anda boleh mengetahui jenis pengangkutan ke lokasi pilihan dan bayaran.

Dana harian

Buat bajet harian selama bercuti termasuk kos penginapan, makan, kenderaan di tempat yang dituju dan ole-ole yang akan dibeli untuk diri sendiri atau keluarga.

Bila bersama si kecil

Periksa terlebih dulu apakah tempat yang akan dikunjungi menyediakan makanan atau kelengkapan si kecil. Jika ada, elak membawa makanan berlebihan kerana ia akan memberatkan beg.

Sediakan peta

Sesampai di destinasi, jangan lupa membeli peta. Ini memudahkan anda melihat senarai pengangkutan yang boleh digunakan sepanjang di sana.

Naik teksi

Bila bercuti beramai-ramai, menaiki teksi lebih murah berbanding bas atau kereta. Justeru, bajet untuk pengangkutan dapat dijimatkan.

 Manfaatkan sarapan

Manfaatkan sarapan secara percuma di hotel dan makanlah sampai kenyang terutama ketika bercuti di Eropah. Ini kerana, harga makanan di sana mahal.

Ole-ole murah

Internet menyediakan maklumat berbelanja murah. Di Melbourne, Australia misalnya, membeli ole-oleh di Victoria Market lebih murah daripada pusat beli-belah.

Ole-ole seperlunya

Bagi mengelak membeli ole-ole dalam jumlah berlebihan, catatkan semua nama ahli keluarga atau rakan. Catatkan barang yang dibelikan supaya orang yang sama tidak mendapat cenderahati yang banyak.

Sediakan duit kecemasan

Simpan 20 peratus daripada perbelanjaan bercuti untuk perkara kecemasan. Contohnya, bayaran kepada lebihan berat bagasi, membeli ole-ole dengan jumlah atau harga yang lebih mahal daripada anggaran.

Tunai lebih baik

Walau apa pun, cuba gunakan wang tunai untuk membayar perbelanjaan terutama apabila bercuti di luar negara. Anda akan dikenakan caj perkhidmatan atau bunga yang tinggi menggunakan kad kredit.

No comments: