TANAMAN kekal subur dan menghijau jika rutin penjagaan serta penyelenggaraan diberi perhatian.
Penggunaan baja dan jadual siraman yang sesuai antara langkah terbaik memastikan tanaman sentiasa segar.
Baja kompos berasaskan tulang ikan dan kulit udang dikatakan sesuai untuk menyuburkan bunga ros.
Langkahnya mudah dengan hanya menumbuk bahan kompos berkenaan hingga lumat sebelum dikeringkan.
Bagaimanapun, pastikan ia benar-benar kering bagi mengelakkan kewujudan perosak yang membahayakan bunga ros tadi.
Seterusnya anda hanya perlu menaburkan baja kompos itu sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Sungkup atau gemburkan baja kompos yang ditabur pada permukaan tanah bagi membantu mikro organisma tanah menyerap penyerapan bahan berkenaan.
Uniknya, tanah yang sudah digemburkan adalah baik untuk pertumbuhan akar dan membantu meningkatkan tumbesaran tanaman.
Pertumbuhan pucuk dan tunas lebih sihat dan subur dapat dihasilkan sepenuhnya dengan penggunaan baja kompos itu.
Di samping itu, air cucian beras bukan sekadar berupaya menghilangkan bau hanyir ikan, tetapi sesuai juga dijadikan bahan siraman pokok bunga.
Tentunya ia membantu menggalakkan ros di taman anda berbunga lebat dan menyerlahkan variasi warna menarik.
Air basuhan ikan yang disiram pada tanaman pula berupaya menyuburkan tanaman.
Ini kerana unsur dan kandungan dalam organ ikan itu memberi kesan positif kepada tanaman.
Tidak ketinggalan air rendaman kulit bawang sama ada bawang putih atau bawang merah boleh dimanfaatkan kegunaannya.
Ia dikatakan dapat menghasilkan pucuk baru dan bunga subur dengan langkah mudah iaitu direndam semalaman dalam air.
Air itu kemudian disiram pada tanaman tanpa membuang kulit bawang pada keesokan hari dan amalkan petua itu lebih kerap supaya tanaman kembali sihat dan segar.
Serbuk kopi dan teh pula jangan dibuang, sebaliknya ia dikatakan membantu menyuburkan tanaman anda.
Caranya mudah dengan hanya menaburkan ia di sekeliling pangkal pokok dan tanpa mengambil masa lama, hasil membanggakan dapat dilihat.
Malah, serbuk kayu antara bahan semula jadi yang boleh dimanfaatkan sebagai baja tanaman.
Campurkan bersama tanah dan gaul hingga rata barulah ditanam di sekeliling tanaman anda serta jangan lupa rutin siraman.
Semua petua di atas sesuai untuk tanaman dalam pasu atau ditanam atas tanah.
No comments:
Post a Comment