Wednesday, August 4, 2010

Nyah alga



KEHADIRAN alga menyebabkan taman air atau kolam serta pancuran air di laman kediaman nampak comot dan sup kacang hijau yang menjijikkan.

Selain menggunakan racun pemusnah yang boleh dibeli di kedai peralatan berkebun, sebenarnya kehadiran alga boleh dihapuskan dengan cara semula jadi atau biologi menggunakan haiwan dan tumbuhan air.

Beberapa ikan hiasan untuk kolam memakan alga sebagai sumber makanan mereka. Justeru, langkah meletakkan beberapa ekor ikan hiasan dapat membantu mengurangkan pembiakan alga seterusnya mencantikkan lagi kolam atau pancuran air.

Bagi memudahkan usaha menghapuskan alga di dalam kolam, dapatkan maklumat mengenai ikan yang sesuai daripada kedai ikan hiasan.

Berikut adalah beberapa ikan yang sesuai diletakkan di dalam kolam untuk mengawal pembiakan alga;

* Ikan keli

Ikan keli sangat dikenali sebagai hidupan air yang suka makan alga, lumut dan tumbuhan halus di dalam air. Ada banyak jenis ikan keli yang sesuai untuk kolam, namun yang paling sesuai untuk kolam hiasan adalah jenis yang mempunyai misai yang panjang. Namun, spesies ini sesuai untuk kolam yang bersaiz besar dan berpotensi mengganas serta memakan ikan lain yang lebih kecil apabila tiada alga yang boleh dimakannya lagi.

* Ikan emas

Haiwan ini sememangnya menjadi pilihan ramai untuk menghias kolam dan pancuran air di laman kediaman kerana rupanya yang cantik dan sering menarik perhatian ramai. Selain cantik, ikan emas sebenarnya sangat membantu mengurang dan menghapuskan alga dalam kolam.

Selain memiliki rupa dan warna yang cantik, ikan emas juga mudah diselenggara tanpa penjagaan yang rapi.

Ikan emas tergolong dalam kumpulan ikan kap yang suka makan lumut dan alga di kawasan sekeliling.

* Ikan koi atau kap

Seperti ikan emas, ikan koi atau kap menjadi pilihan utama untuk menghias kolam kerana rupanya yang cantik serta memiliki sisik yang berwarna warni.

Ikan ini juga tahan lasak dan paling mudah diselenggara dan hidup di dalam kolam.

Seperti ikan lain, ikan koi amat menggemari makan lumut dan alga yang melekat pada kolam. Selain menghapuskan alga, ikan koi juga dikenali sebagai spesies yang suka air bersih, jadi ikan ini sukakan persekitaran yang bersih dan menjadi pembersih kolam tanpa `bayaran'.

* Amfibia dan udang

Selain ikan, berudu dan udang juga suka makan alga. Namun, ramai yang mengelak menggunakan berudu kerana ia akan bertukar menjadi katak apabila matang. Jadi lebih baik menggunakan udang yang gemar makan lumut di dinding kolam serta celah batu.

Selain haiwan, ada beberapa tumbuhan yang sesuai dibiakkan bagi mengawal pembiakan alga. Ada beberapa kategori tumbuhan air iaitu; Tumbuhan cepat membiak cabomba, hygrophila polysperma and vallisneria.

Selain menjadi penghias kolam, haiwan berkenaan juga banyak digunakan bagi menghias akuarium. Malah, tumbuhan berkenaan cantik dan sangat menarik untuk menarik ikan bermain dan mencari makan dalam kolam.

* Tumbuhan mahal

Pakis Jawa atau Java fern dan Echinodorus. Rupanya sangat menarik dan cantik. Harganya mahal kerana ia sukar ditemui dan sukar dibiakkan.

* Tumbuhan tenggelam

Nomaphila stricta dan Hygrophila lacustris tumbuhan tenggelam dalam air. Ia lebih sesuai untuk akuarium dan dapat menggelak pembiakan alga serta siput.


* Jerami barli dan padi

Letakkan jerami padi dan barli di dalam jejaring kain untuk mengawal alga di dalam kolam dan akuarium. Jerami ini boleh dibeli dikedai haiwan peliharaan dan akuarium.

No comments: