Tuesday, August 3, 2010

Makan dalam tempoh 24 jam


"BUAH-BUAHAN yang dibeli perlu dimakan secepat mungkin ketika ia masih segar kerana jika disimpan lama, kandungan vitamin akan berkurangan.

"Jadi, seeloknya, makan buah-buahan yang dibeli dalam tempoh 24 jam kerana ketika itu, kualiti buah berada pada tahap terbaik," kata pakar pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing.

Menurut Tan, buah-buahan perlu diambil sekurang-kurangnya tiga kali dalam sehari dalam kuantiti yang bersesuaian.

Katanya, rakyat di negara ini bertuah kerana selain lambakan buah tempatan, buah-buahan luar negara juga mudah didapati di pasar raya dengan harga berpatutan.

Buah-buahan tempatan atau dari luar negara mempunyai kebaikan khasiat yang sama dan jauh lebih elok dimakan begitu saja berbanding menikmatinya secara perahan jus.

"Buah-buahan elok dimakan ketika masih segar dan bukannya selepas dua atau tiga hari ia berada di dalam peti sejuk.

"Jika buah-buahan disimpan lebih daripada dua hari, ia tidak digalakkan untuk dimakan kerana kandungan vitamin dikhuatiri sudah berkurangan dan kemungkinan besar turut dijangkiti bakteria.

"Amalan menikmati buah-buahan dengan perasa sampingan seperti asam juga perlu dihentikan kerana perasa berkenaan bukan saja mengandungi kandungan yang diragui, tetapi turut menjejaskan kandungan vitamin buah itu sendiri," katanya ketika ditemui di rangkaian kedai buah-buahan MBG di Tropicana City Mall, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Untuk mendapatkan berat badan yang ideal, ramai wanita sanggup mengikat perut dan hanya menikmati buah-buahan tertentu saja pada setiap hari tanpa mengetahui keburukan amalan berkenaan.

Menurutnya, amalan itu perlu dihentikan kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi pada tubuh berikutan tidak mendapat bekalan nutrisi yang diperlukan.

Dia tidak menggalakkan pengambilan buah tertentu saja kerana sepatutnya pengambilannya perlu dipelbagai memandangkan setiap jenis buah mempunyai kandungan vitamin yang berbeza.

Katanya, ramai yang tidak tahu buah-buahan tempatan seperti jambu batu dan betik sebenarnya mempunyai kandungan vitamin C yang jauh lebih tinggi berbanding oren.

"Kumpulan beri pula seperti ceri merah dan putih serta beri biru sememangnya sudah dikenali sebagai antara buah yang kaya dengan antioksidan.

"Selain itu, buah delima juga kaya dengan vitamin dan ia dapat membantu melancarkan perjalanan darah pada arteri.

"Harus diingat amalan mengambil buah saja tanpa melakukan senaman tidak dapat membantu untuk mendapatkan berat badan impian kerana semua mineral yang diambil akan bertukar kepada lemak sekiranya tidak bersenam," katanya.

Menjelang Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, Tan turut menyarankan masyarakat Islam supaya tidak lupa mengambil buah-buahan ketika bersahur.

Menurutnya, buah-buahan bermusim yang manis seperti kurma, prun dan plum boleh membantu membekalkan tenaga kepada badan dan apa yang lebih penting, ia juga kaya dengan mineral serta vitamin.

Kurma dapat memberi tenaga kepada mereka yang berpuasa sekiranya diambil ketika bersahur dan berbuka kerana ia mengandungi zat besi, vitamin A, vitamin C serta niasin.

"Jumlahnya tidak perlu banyak iaitu tiga biji ketika berbuka dan tiga biji sewaktu sahur, sudah mencukupi.

"Tetapi, jangan bersahur dengan buah itu saja kerana badan kita tidak boleh bertahan tanpa makanan seperti nasi, roti atau oat. Sebaiknya, seimbangkan pengambilan antara makanan utama dan buah-buahan.

"Apa yang paling penting, jangan terus tidur selepas bersahur kerana badan tidak dapat membakar kalori makanan berkenaan dan menyebabkan ia disimpan sebagai lemak," katanya.

Info

* Jambu batu adalah buah yang paling berkhasiat bagi membekalkan vitamin dan mineral kepada tubuh manusia. Ia juga dianggap antara ejen terbaik dalam membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah manusia dan amat bagus sekiranya dimakan setiap hari.

* Kajian turut mendapati betik boleh menurunkan paras kolesterol sebanyak 19.2 peratus sekiranya diambil secara rutin dalam jangka waktu empat minggu. Buah betik yang sudah dibuang biji dan kulitnya perlu diambil sebanyak 400 gram sehari.

* Pisang emas juga dapat membantu mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Pisang emas boleh diambil sebanyak empat hingga lima biji sehari dalam tempoh empat minggu.

* Bagaimanapun, pisang emas masih tidak dapat menandingi jambu batu yang disifatkan sebagai buah yang paling bagus diikuti dengan nanas, tembikai, belimbing dan betik.

* Delima kaya dengan pelbagai vitamin iaitu sodium, riboflavin, tiamin, niacin, vitamin C, kalsium dan fosforus.

* Mangga juga kaya dengan vitamin C, antioksidan serta sangat baik untuk penjagaan gusi dan gigi.

No comments: