My Followers

Makanan seimbang di bulan puasa


RAMADAN adalah bulan penting dalam kalendar Islam yang menuntut umatnya menunaikan rukun Islam ketiga itu untuk menahan lapar dan dahaga dengan berpuasa.

Bagi golongan pelajar kemungkinan bulan ini memberi sedikit cabaran kerana mereka perlu belajar dalam keadaan lapar dan dahaga apatah lagi jika sedang menduduki peperiksaan atau ujian bulanan.

Mungkin ramai yang akan menggunakan alasan tubuh lemah kerana kurang makan sehingga menurunnya produktiviti kerja seharian. Mereka akan memberikan pelbagai alasan kerana tidak larat.

Justeru itu, tip dan panduan minggu ini akan memberikan beberapa cara untuk pelajar menghadapi bulan ini dengan lebih bersedia tanpa rasa lesu dan mengantuk.

Pakar Pemakanan, Norlida Alias, berkata pengambilan makanan seimbang dapat menghindarkan badan anda menjadi lemah.

Anda harus bijak memilih makanan ketika sahur dan juga berbuka supaya tetap sihat sentiasa segar.

Berikut ini beberapa panduan khusus ketika sahur dan berbuka puasa supaya tubuh kita tetap sihat dan segar selama sebulan.

Semasa sahur:

* Jangan lupa selalu makan makanan berkhasiat ketika sahur atau berbuka puasa. Walaupun menu sederhana, yang penting mengandung lima unsur gizi lengkap seperti protein, lemak, karbohidrat, vitamin, dan mineral.

* Banyakkan mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh kita memerlukan waktu lebih lama untuk mencerna makanan yang banyak mengandungi serat.

* Usahakan untuk mencegah dehidrasi tubuh dengan banyak minum air putih pada malam hari kerana kita memerlukan tenaga yang banyak pada waktu siang.

* Kurangkan makanan berlemak atau terlalu tinggi karbohidrat kerana ia akan membuatkan anda rasa mengantuk ketika belajar.

* Ambil vitamin A, B, dan C tetapi jika anda sudah makan buah berwarna kuning atau merah, sayur berwarna hijau tua, kekacang, kurma maka anda tidak perlu khuatir kekurangan zat itu.

* Bagi penderita gastrik, makanan yang perlu dihindarkan ialah ketam, mi, daging berlemak, ikan dan daging yang diawetkan, sayuran mentah, sayuran berserat, minuman yang mengandungi soda dan perencah (cuka, lada, asam).

* Elakkan terus tidur selepas bersahur kerana tubuh memerlukan waktu untuk mencerna makanan.


Ketika berbuka:

* Elakkan minum air sejuk atau ais tetapi minumlah air panas atau suam bagi mengelakkan perut anda kembung terutama pesakit gastrik.

* Makan makanan manis dan berserat seperti kurma, sumber terbaik untuk menambah tenaga dan kemudian beristirehat kira-kira setengah jam sebelum mengambil hidangan berbuka untuk memberikan keseimbangan terlebih dulu pada pencernaan kita.

* Elakkan makan berlebihan dan mengambil makanan yang masam.

* Berbuka puasa hendaklah dilakukan secara bertahap dan tidak terburu-buru supaya sistem pencernaan anda tidak terkejut.

* Banyakkan pengambilan sayur, buah, dan daging tanpa lemak.

* Selepas berbuka puasa jangan terus tidur. Tubuh memerlukan waktu untuk mencerna makanan.

Panduan mengelak nafas berbau

Berpuasa akan menyebabkan mulut anda berbau kerana kita tidak makan atau minum ketika waktu siang. Oleh itu terdapat beberapa panduan untuk mengelakkan bau nafas.

* Kurangkan pengambilan makanan seperti petai, bawang putih dan bawang mentah ketika sahur.

* Selesai makan sahur, minum air putih pada jumlah yang banyak.

* Menggosok gigi dan lidah selepas makan sahur dan menjelang tidur.

* Berkumur dengan larutan khusus (antiseptik) untuk menghilangkan bau mulut.

1 comment:

IdzaLia said...

semoga dpt menjalani ibadat puasa dgn sebaiknya ye..
Salam Ramadhan..^__^