"MAMA, kakak minta maaf kerana tertumpahkan susu."
"Mama, adik minta maaf kerana bergaduh dengan abang."
Alangkah bahagianya hati seorang ibu apabila mendengar dua ungkapan maaf di atas. Tambah pula apabila dilafazkan kanak-kanak seawal usia tiga tahun.
Melafazkan maaf atas kesalahan dilakukan memanglah sukar apatah lagi bagi kanak-kanak. Ini kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan itu satu kesalahan.
Sebenarnya mengakui kesalahan dan meminta maaf adalah perbuatan mulia sama ada di sisi Allah mahupun manusia.
Sifat meminta maaf dapat diterap kepada kanak-kanak apabila ibu bapa melatih mereka mengakui kesalahan sejak kecil. Antara panduan yang boleh dilakukan ibu bapa ialah:
* Memberikan contoh secara langsung.
Ibu bapa harus memberikan contoh terbaik kepada anak-anak bagaimana perkataan maaf boleh digunakan.
Misalnya, ibu secara tidak sengaja menumpahkan susu anak. Katakan pada anak, "Maaf ya sayang, mama tidak sengaja menumpahkan susu."
Begitu juga dengan kesalahan lain yang dilakukan. Dengan demikian diharapkan anak terbiasa melihat ibu bapa atau orang paling hampir dengannya mengucapkan kata maaf selepas melakukan kesalahan.
* Tunjukkan penyesalan menerusi bahasa tubuh.
Lakukan bahasa tubuh menerusi mata ketika mengucapkan kata maaf. Ini bagi menunjukkan tanda penyesalan anda sehingga anda boleh merasakan penyesalan itu.
Menggenggam tangan anak, memeluk erat atau mencium juga boleh dijadikan contoh ketika memohon maaf.
Namun katakan padanya, pelukan dan ciuman penyesalan hanya boleh diberikan kepada ibu bapa, kakak atau adik saja bukan rakan berlainan jantina. Untuk meminta maaf daripada rakan, cukup sekadar bersalaman saja.
Bahasa tubuh juga sangat berkesan bagi bayi yang belum lancar bercakap.
* Dorongan supaya bertanggungjawab.
Selain mengucapkan maaf, minta anak anda bertanggungjawab atas kesalahan dilakukannya.
Umpamanya, jika dia menyenggol rakannya sehingga terjatuh, minta dia melafazkan maaf kepada rakannya itu.
Jika kawannya terluka, minta si kecil memberikan tisu atau ubat luka. Ini sebagai sebahagian pembelajaran mengenai tanggungjawab atas kesalahan dilakukan mereka.
* Berikan pujian.
Setelah anak mengucapkan kata maaf, berikan pujian seperti, "Wah bijaknya anak mama, hebatnya kakak kerana sudah pandai meminta maaf."
Ini sekali gus sebagai menguatkan agar apa yang dilakukan anak anda adalah perkara baik dan harus dilakukan berulang-ulang.
* Jangan marah.
Paling penting, jangan marah apabila kali pertama anak melakukan kesalahan. Sebaiknya terangkan dengan penuh berhemah supaya dia tahu apa yang dilakukan itu adalah salah.
Kemudian, barulah minta supaya anak meminta maaf atas kesalahan dilakukan.
* Mulakan sekarang.
Mulakan budaya meminta maaf di dalam keluarga walau apa jua kesalahan dilakukan sama ada besar atau kecil.
Misalnya, adik meminta maaf kepada kakak, abang meminta maaf kepada adik atau kakak meminta maaf kepada ibu. Apabila anak-anak sudah terbiasa meminta maaf, mereka akan melakukannya kepada orang lain.
1 comment:
notami mmg setuju dgn ape yg d ktakan!
Post a Comment