Wednesday, July 28, 2010

Bantuan pakar atasi masalah kewangan

DALAM keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini, membuka ruang untuk kita memikirkan semula bebanan hutang yang perlu diuruskan. Tanpa perancangan dan pengurusan kewangan yang bijak pastinya memeningkan kepala.

Mendisiplinkan diri dalam segenap aspek perbelanjaan atau pengurusan kewangan adalah penting bagi mengelak daripada dibelenggu masalah kewangan.

Tidak cukup dengan masalah itu, kita dibebani pula dengan hutang keliling pinggang. Bayaran bulanan seperti pinjaman kereta, kad kredit dan rumah gagal dijelaskan mengikut waktu.

Jika berdepan masalah seperti itu ia adalah tanda anda memerlukan bantuan pakar perancangan bagi membantu menguruskan kewangan anda.

Adalah lebih baik jika mengetahui tanda awal yang menunjukkan anda tidak mempunyai perancangan kewangan yang baik.

Jika anda mempunyai tanda seperti dijelaskan di bawah, anda perlu mendapatkan bantuan pakar bagi menguruskan kewangan anda.


1. Selalu bertengkar dengan pasangan berhubung soal wang.

Jika anda sering bertengkar dengan pasangan mengenai soal ketiadaan atau kekurangan wang, ini adalah satu tanda bahawa anda sedang menghadapi kesulitan kewangan. Jika masalah kewangan ini tidak ditangani dengan bijak ia mungkin membawa kepada lain-lain masalah dalam rumah tangga termasuk perceraian.

2. Nisbah hutang lebih tinggi daripada pendapatan.

Peraturan wajib yang perlu diikuti adalah kita perlu mengehadkan semua tanggungjawab hutang kita hanya kepada kira-kira satu pertiga daripada pendapatan atau gaji bersih yang diterima setiap bulan.

Gaji bersih bermakna selepas ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cukai pendapatan, Perkeso dan sebagainya.

Ini bermakna jika gaji bersih anda sebulan adalah RM3,000, maka pembayaran semula pinjaman kereta, rumah dan lain lain pinjaman jika ada tidak boleh melebihi RM1,000 sebulan.

Ini bermakna mereka mempunyai kurang separuh daripada pendapatan yang boleh digunakan bagi perbelanjaan lain dan untuk perbelanjaan membesarkan anak.

Bagaimana pula dengan perbelanjaan untuk tujuan lain seperti melancong, hiburan, makan di luar dan lain-lainnya? Kemungkinan besar bagi perbelanjaan untuk perkara berkenaan mereka terpaksa berhutang terutama dengan menggunakan kad kredit atau pinjaman peribadi atau kedua-duanya sekali.

3. Menggunakan had kad kredit sehingga maksimum.

Jika anda mendapati baki kredit kad kredit anda semakin tinggi setiap bulan, ia adalah satu amaran bahaya. Jika perkara ini tidak diteliti, anda akan mencapai ke tahap maksimum kad kredit anda tidak lama lagi. Jika ini berlaku, kita akan mula mencari peluang untuk memohon kad kredit yang kedua dan ketiga yang seterusnya menyebabkan hutang kad kredit anda terus menggunung.


4. Hanya membayar bayaran minimum.

Satu lagi tanda yang menunjukkan anda menghadapi krisis kewangan adalah apabila hanya membayar jumlah minimum kad kredit. Baki kad kredit itu selalunya akan menyebabkan anda dikenakan caj faedah 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun.

5. Selalu menangguhkan pembayaran bil bulanan boleh menyebabkan hutang yang tertunggak.

Membayar bil lewat akan menyebabkan anda dikenakan caj penalti dan sebagainya. Ini akan menambahkan lagi beban kewangan anda.

6. Terlalu banyak berhutang dengan saudara atau rakan.

Satu petanda yang menunjukkan anda tidak mempunyai disiplin kewangan adalah apabila sanggup meminjam daripada orang lain terutama kawan atau saudara sendiri untuk membeli sesuatu barang yang sebelum ini akan membayar dengan tunai.

7. Tidak dapat tidur malam.

Ini adalah satu ujian untuk menunjukkan sama ada anda mengalami masalah kewangan atau tidak. Tanyakan diri sendiri adakah anda dapat tidur nyenyak setiap malam atau tidur terganggu kerana memikirkan hutang keliling pinggang.

Salah satu caranya adalah dengan berjumpa kaunselor kewangan atau mendapat khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

No comments: