Tuesday, July 27, 2010

Anak terlalu kurus

"SAYA mahu nasi sedikit saja, tidak boleh makan banyak, nanti gemuk," kata anak saudara lelaki yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Kebimbangan pada kegemukan bermula sejak dia berusia 10 tahun walaupun dia sebenarnya terlalu kurus sehingga tulang rusuknya boleh dikira dengan mudah.

Malah kerap kali ketika memakai baju di depan cermin, dia berbisik kepada adiknya mengatakan dia gemuk. Masalahnya, dia sukar menerima hakikat dia kurang berat badan walaupun doktor mengesahkannya.

Bagaimanapun, dia belum sampai ke tahap aneroxia nervosa (sentiasa menganggap diri sendiri sangat gemuk dan akan bersenam sekuat hati untuk membakar kalori daripada makanan yang diambil) atau bulimia (memuntahkan semula makanan yang dimakan); cuma dia sangat cerewet soal makan.

Jika kena pada seleranya, dia akan makan banyak tetapi peluang untuk melihatnya berselera begitu boleh dikira dengan jari.

Ramai ibu berdepan masalah anak mereka terlalu kurus dan cerewet makan yang boleh menyebabkan pertambahan tinggi dengan berat tidak seimbang.

Berdasarkan maklumat pendidikan daripada laman web Persatuan Nutrisi Malaysia, ketinggian dan berat kanak-kanak berumur dua tahun dan ke atas patut diukur secara berdiri dengan menggunakan papan ukur dan alat penimbang yang sesuai sekurang-kurangnya setiap enam bulan.

Sebaik-baiknya ukuran ini diambil pada waktu yang lebih kurang sama setiap kali. Namun ada cara lebih mudah iaitu melihat kepada berat anak berbanding umurnya.

Indeks Jisim Badan (BMI) kanak-kanak tidak sama dengan BMI orang dewasa kerana mereka masih dalam fasa pembesaran dan pertumbuhan. Untuk mengetahui sama ada anak anda mempunyai berat dan ketinggian normal, sila rujuk pada graf A.

Graf ini yang boleh dijadikan panduan untuk kanak-kanak dari dua hingga 20 tahun mempunyai dua lengkungan. Berat dan ketinggian normal mestilah berada di antara dua lengkungan. Jika berat anak melepasi lengkungan atas, ia menandakan anak anda terlebih berat (gemuk) dan jika kurang daripada lengkungan bawah, tandanya anak anda kurang berat (terlalu kurus).

Ada yang bertanya, tidakkah bagus mempunyai badan kurus apabila kajian membuktikan kegemukan adalah punca pelbagai penyakit? Hakikatnya, terlalu kurus juga tidak elok kerana ia turut mempunyai risiko kesihatan tersendiri.

Kajian mendapati individu terlalu kurus boleh mempunyai daya ketahanan badan yang lemah dan menyebabkan mereka mudah mendapat jangkitan; mengalami komplikasi pembedahan dan lambat sembuh jika sakit.

Selain itu jisim otot mereka lebih rendah dan keupayaan badan mengawal hormon dan melindungi tulang juga terjejas. Bagi remaja perempuan, mereka mungkin ada masalah kitaran haid.

Bagi ibu bapa yang ada anak terlalu kurus, sebaik-baiknya dapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan supaya mereka boleh merancang program pemakanan khusus untuk mengatasi masalah itu. Pada masa sama, panduan di bawah mungkin boleh membantu.

* Masak makanan kegemarannya. Jika dia tidak suka sayur, hiris halus atau kisar sayur untuk dicampurkan dalam masakan berkenaan

* Dengar keinginan selera anak. Sebaik-baiknya bincang dengan anak apa hidangan yang dia mahu makan (asalkan ia berkhasiat) dan minta bantuan anak untuk menyediakan makanan itu

* Sediakan hidangan seimbang yang mengandungi protein, karbohidrat dan lemak (lemak tidak tepu dan monotaktepu). Untuk anak yang terlalu kurus, pakar pemakanan menyarankan supaya hidangannya membabitkan karbohidrat (60 hingga 70 peratus), protein (10 hingga 15 peratus) dan sedikit lemak

* Galak anak makan makanan yang tinggi kandungan kalori, vitamin dan mineral

* Anda juga boleh menyediakan makanan berkalori tinggi tetapi berkhasiat seperti mencampurkan telur jika membuat kentang lenyek, masukkan ayam ke dalam sup atau keju ke dalam bubur nasi

* Galakkan anak minum susu. Beli perisa yang digemarinya

* Elak menyediakan minuman atau snek setengah jam sebelum waktu makan kerana ia menjejaskan selera anak dan membuatkan mereka tidak mahu makan

* Jus buah juga baik untuk menambah pengambilan kalori anak. Lebih baik jika anda dapat mencampur beberapa jenis buah (jus buah campur)

* Sediakan snek berkhasiat seperti kekacang, buah-buahan kering atau segar. Sesekali, anda boleh beri anak makan aiskrim yang bercampur buah-buahan dan kekacang

* Rangsang anak untuk makan yogurt. Ia bukan saja enak, tetapi juga kaya dengan probiotik untuk merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam usus

* Ajak anak untuk beriadah, sebaik-baiknya setiap hari. Aktiviti fizikal dan cergas juga boleh merangsang selera anak

* Pastikan anda sekeluarga makan bersama. Jadikan waktu makan bersama ini menyeronokkan dan antara cara yang boleh anda lakukan ialah bertanya mengenai peristiwa yang berlaku di sekolah

* Sesekali ubah selera dengan makan di luar atau membuat barbeku di halaman rumah. Ia juga akan merangsang anak untuk makan lebih banyak

* Kurangkan gangguan. Tutup televisyen ketika makan kerana keinginan menonton rancangan yang digemari akan membuat anak anda makan sedikit dan tergesa-gesa

* Pastikan rumah anda bebas daripada snek yang tidak berkhasiat. Ini termasuk gula-gula dan minuman berkarbonat. Kajian mendapati snek yang tidak berkhasiat ini boleh membuatkan mereka tidak berasa lapar terhadap makanan berkhasiat

* Pelbagaikan menu sarapan. Sarapan adalah sajian paling penting dalam kehidupan seseorang, termasuk kanak-kanak. Kanak-kanak yang bersarapan mempunyai daya tumpuan lebih baik di dalam bilik darjah

* Jadilah ibu yang kreatif dalam menyediakan makanan. Makanan yang cantik akan lebih mudah menarik selera anak. Tidak salah jika anda meniru cara hidangan di restoran atau hotel untuk menjadikan makanan yang biasa tampak menyelerakan.

No comments: