Monday, July 12, 2010

Aksesori dinding



BINAAN dinding memainkan peranan yang amat penting bukan setakat pelindung kepada pandangan luar ke dalam dan pelindung dari segi keselamatan, tetapi berfungsi sebagai pembahagi ruang dalaman dan penghias ruang dalaman.

Binaan dinding dalam memberikan kesempurnaan bahan kemasan dan nilai estetika yang tinggi berbanding dinding luar. Selepas dinding disempurnakan kemasannya, perhatian harus diambil kira dari segi kesesuaian hiasan pada permukaannya kerana elemen dinding mudah dilihat, kerana kedudukannya pada pandangan aras mata berbanding lantai.

Fungsi utama aksesori dinding, selain mengisi kekosongan ruang, juga bertindak menseimbangkan suasana dalaman rumah dan komposisi elemen yang terdapat dalam ruang.

Komposisi ini perlu diseimbangkan supaya tidak dimonopoli oleh sesuatu elemen terutamanya pada hiasan lantai dan pilihan perabot.

Apabila sesuatu ruang dimonopoli oleh sesuatu elemen maka tumpuan sering diberikan kepada elemen berkenaan, maka ramai yang tidak begitu mengendahkan elemen lain terutama pada permukaan dinding.

Faktor sekeliling perlu diambil kira kerana sesuatu perhiasan perlu disesuaikan dengan elemen lain.

Antara faktor lain yang perlu dipertimbangkan adalah;

* Mengambil kira faktor kedudukan, kesesuaian permukaan dinding dengan persekitaran ruang.

* Pemilihan aksesori dinding yang berkeupayaan membangkitkan seri rekaan dalaman. Aksesori berkenaan seharusnya selari dengan konsep ruang dan bukannya sekadar hanya untuk mengadakan perhiasan.

Nilai aksesori pada dinding

Ruang dalaman akan menjadi kosong apabila tidak mempunyai aksesori atau bahan seni sebagai pelengkap ruang. Keadaan ruang dalaman ini boleh diibarat seperti persekitaran alam ini yang dipenuhi dengan bahan semula jadi yang indah dan cantik.

Bahan semula jadi inilah yang mewarnai dunia dengan warna dan kehidupan tumbuhan serta haiwan yang hidup subur secara semula jadi. Jika tiada kehidupan dan tumbuhan semula jadi ini persekitaran akan menjadi kosong dan kehidupan manusia tidak seindah dan menarik.

Oleh itu, aksesori boleh diibarat sebagai penyeri kepada ruang dalaman dan ia membawa satu dimensi kepada kehidupan ruang yang lebih bernyawa dan berinspirasi.

Aksesori boleh diklasifikasikan sebagai barang perhiasan yang lebih kecil daripada perabot, membantu menjadikan sesuatu ruang dalaman menjadi lebih menarik dan berfungsi dengan lebih baik.

Aksesori memainkan dua peranan penting dalam reka benuk dalaman iaitu:

* Memperkenalkan satu elemen kecil dalam rekaan reka bentuk dalaman ruang yang lebih menyeluruh dan komprehensif

* Memberi tanda peribadi atau mengenali diri sebagai pemilik tertentu. Aksesori boleh memperjelaskan minat seseorang dan koleksi yang mempunyai nilai sentimental atau nilai peribadi

Aksesori dinding boleh dikategorikan kepada dua bentuk hiasan utama iaitu:

Aksesori Berfungsi

Aksesori berfungsi ini dikhususkan kepada aksesori yang digunakan pemilik ruang. Fungsi lebih diutamakan dan digabung dengan nilai dekoratif. Namun, aksesori berfungsi ini mempunyai nilai estetika yang tinggi dan biasanya boleh digabungkan dalam tata hias reka bentuk dalaman secara keseluruhan. Contoh aksesori berfungsi yang bertindak juga sebagai bahan dekoratif seperti;

* Penggunaan cermin dalam ruang dalaman dapat melahirkan kesan visual kerana menimbulkan perasaan keluasan dalam ruang dan memberi pembalikan cahaya dalam ruang.

* Peralatan pinggan disusun dan dijadikan hiasan pada dinding. Pinggan ini biasanya menggambarkan seni corak yang menarik dan menggambarkan tempat bersejarah.

* Jam dinding digunakan sebagai satu bahan koleksi dalam rumah. Keunikan dan keaslian sesuatu reka bentuk jam yang antik menjadikan ia sebagai perhiasan dan bahan seni dekoratif yang berfungsi dalam rumah.

* Ada lampu dinding yang digunakan untuk menerangi ruang dan yang dijadikan sebagai bahan dekoratif. Lampu dekoratif biasanya dihias indah pada dinding.

* Selain untuk dibaca, susunan buku dalam ruang juga boleh dijadikan sebagai dekorasi dalam ruang. Bukubuku yang disusun pada rak perabot dinding sama ada di ruang tetamu, di ruang keluarga, di ruang makan, bilik tidur dan juga bilik air digunakan atau untuk melihat dan membaca. Aktiviti ini dapat memberi rangsangan dalam hubungan kekeluargaan dan melambang minat individu dan kerjaya masing-masing.

Aksesori Dekoratif

Aksesori dekoratif dan bahan seni dekoratif bukan saja sebagai pelengkap ruang tetapi bahan ini mempunyai nilai seni yang tinggi seperti bahan seni lukis.

Bahan dekoratif ini adalah seperti bahan tembikar, tembaga, bahan tekstil dan anyaman.

Ada bahan dekoratif ini digunakan untuk perhiasan sebagai tarikan dan disesuaikan dengan suasana ruang. Dengan erti kata lain peralatan seni dekoratif dapat menambah kecantikan ruang dan fungsi ruang.

Selain itu, aksesori jenis ini pula merangkumi objek koleksi yang mengamit memori pemiliknya atau juga koleksikoleksi antik persendiriannya. Aksesori jenis ini jelas menunjukkan nilai estetika yang tinggi dan hanya berfungsi sebagai barangan yang menjadi pilihan persendirian. Contoh aksesori dekoratif yang bertindak sebagai bahan seni seperti;

* Bahan seni lukis dan seni arca yang digunakan individu dalam ruang dalaman melambangkan pilihan dan pengalaman individu berkenaan yang ada cita rasa untuk memiliki karya seni itu. Tujuan individu untuk memperoleh adalah cara bagi mereka menghayati seni dan melambangkan minat mereka terhadap sesuatu bahan seni itu.

Selain itu, karya seni ini dapat menambah kecantikan ruang pemilik kediaman

* Foto keluarga yang diletakkan di dalam bingkai dan disusun di atas meja atau digantung pada dinding. Kesan memori dan kasih sayang yang dipaparkan pada gambar itu memberi gambaran keindahan hubungan keluarga dan memberi inspirasi kepada penghuni dan juga kepada tetamu dan pelawat yang datang melawat.

* Bahan tekstil juga penting sebagai hiasan dekoratif dan aksesori. Pilihannya mestilah harmoni dengan elemen reka bentuk yang lain. Bahan tekstil digunakan dalam bentuk bahan tenunan dan digantung pada dinding untuk hiasan. Selain tumbuhan semula jadi digunakan sebagai bahan hiasan terdapat juga objek bahan semula jadi daripada kulit binatang, tanduk binatang, kulit dari hidupan laut seperti kerang dijadikan barang hiasan.

* Koleksi antik senjata seperti keris, pedang dan pisau dijadikan hiasan pada dinding. Koleksi ini biasa mempunyai nilai sejarah dan dihasilkan dari bahan yang mahal.

Bagi pemilik kediaman yang memahami kesempurnaan ruang yang menarik akan menghias setiap dinding dengan tujuan untuk menceriakan ruang dan mewujudkan kelainan berbanding dinding yang dibiarkan kosong. Aksesori dinding ini boleh mengundang suasana mewah, santai atau tenang.

Malah, dapat menjadikan sesuatu ruang kelihatan 'hidup' dan menepati keperluan dalaman bangunan. Aksesori dinding juga secara tidak langsung boleh menggambarkan keperibadian dan minat penghuni.ND)

No comments: