PENGCAHAYAAN selalu dilupakan apabila membina laman sedangkan ia adalah satu aspek yang perlu diberikan perhatian. Mengapa tidak, laman sepatutnya bukan sekadar berfungsi pada waktu siang malah malam.
Selain itu, aspek pencahayaan diperlukan bagi menghiasi laman kediaman jika hari gelap ketika hujan, mengindahkan serta mewujudkan suasana lebih hidup pada waktu malam serta dapat dimanfaatkan penghuni kediaman.
Pencahayaan juga menjadi alat keselamatan yang penting terutama sebagai langkah berjagajaga menghadapi serangan serangga dan binatang berbisa seperti ular dan penyengat. Melalui pencahayaan juga, penghuni dapat mengesan kehadiran orang yang tidak diingini seperti pencuri atau penjenayah.
Terbaru di pasaran, Tiara Bali Concept memperkenalkan produk lampu hiasan dwifungsi iaitu menjadi penerang laman dan hiasan laman unik diperbuat daripada damar yang diimport dari Bali dikenali sebagai lampu Symphonia.
Lampu hiasan damar itu boleh didapati dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna menampilkan motif seni masyarakat pribumi Australia yang unik dan jarang ditemui di rantau ini.
Kebanyakan corak yang dihasilkan adalah motif alam semula jadi seperti bulu burung merak, ombak, cengkerang kura-kura, corak kulit binatang, bunga-bungaan dan tumbuhan.
Reka bentuk yang dihasilkan tidak hanya konservatif seperti bulat dan bujur, ia juga menampilkan rekaan moden yang kontemporari serta boleh disesuai untuk laman konsep tradisi sehingga moden.
Bagi reka bentuk konservatif ia boleh disesuaikan dan diletakkan untuk laman konsep Bali dan Nusantara. Malah, lampu Symphonia boleh menjadi penghias balkoni, ruang tempat letak kereta atau wakaf serta pergola di laman kediaman.
Cahaya yang dilimpahkan daripada lampu damar ini tidak terlalu terang dan sangat sesuai menghasilkan suasana tenang, damai dan romantik untuk laman kediaman.
Memandangkan lampu Symphonia adalah produk terbaru di pasaran, pencahayaan menggunakan lampu ini pastinya nampak unik serta dapat memikat sesiapa saja yang memandangnya.
Kadar harga bagi lampu ini mencecah RM300 bergantung kepada mengikut saiz dan reka bentuk dan dijangka menjadi barang pilihan untuk seni hiasan laman konsep moden dan kontemporari.
Penjagaan untuk lampu ini juga mudah kerana hanya memerlukan kain basah untuk membuang habuk dan kotoran yang melekat tanpa perlu menggunakan cecair pembersih khas atau sabun pencuci.
Pencahayaan laman
Lampu limpah
* Jenis lampu dan pencahayaan yang terang untuk dijadikan sebagai sumber cahaya bagi memfokus sesuatu binaan atau titik tumpu seperti arca atau kolam yang mempunyai air pancut. Biasa digunakan bagi mendapatkan pencahayaan menyeluruh dalam taman. Namun, posisi jenis lampu perlu diteliti kerana kekuatan cahaya yang dipancarkan juga akan mewujudkan rasa ketidakselesaan apabila berada di taman.
Lampu kesan bayangan
* Ada pelbagai jenis di pasaran dan sangat popular di kebanyakan taman. Jenis ini biasanya digunakan untuk mendapatkan kesan bayangan terutama jika dipancarkan kepada pokok dari bawah atau dipasang pada dahan pokok besar (pokok jenis teduhan). Dengan kepelbagaian warna, anda boleh mendapatkan kesan khas berbeza pada waktu malam untuk pencahayaan di taman dengan mudah.
Lampu latar
* Berbeza dari segi posisi apabila dipasang, fungsinya seakan sama dengan jenis uplighting. Namun, masih mempunyai kelebihannya sendiri.
Biasanya jenis pencahayaan ini lebih menarik lagi bila digandingkan dengan dinding tumpu. Kedudukan lampu yang dipasang sedikit ke belakang terutama pada jenis pokok buluh atau palma kesan bayangan tumbuhan ini dapat dipantulkan.
Info
Damar
* Damar adalah sejenis minyak semula jadi yang boleh didapati dengan banyaknya daripada pokok berkayu keras tumbuh di kawasan hutan hujan tropika, terutama daripada spesies Dipterocarpaceae seperti cengal, gaharu dan keruing.
* Selain Malaysia, pengeluaran damar secara komersial dilakukan Indonesia, Amerika Syarikat dan China.
* Damar dikeluarkan secara tradisional iaitu dengan menetak ataupun menoreh batang atau dahan pokok dan minyak akan meleleh keluar dan mengambil masa lebih kurang sebulan untuk membeku.
* Damar mempunyai aroma tertentu dan baunya juga berbeza antara satu spesies dengan yang lain.
* Di kalangan masyarakat Orang Asli, damar digunakan untuk jamung dan menampal perahu bocor. Ia juga digunakan sebagai aditif dalam industri pembuatan plastik, barnis, perusahaan batik dan sebagai ramuan ubat tradisional.
* Hasil ekstrak beberapa damar terpilih seperti damar meranti sarang punai, damar meranti kepung, damar kempas dan resin dicampur beberapa pelarut sudah diuji akan tahap keberkesanannya sebagai antikulat bagi tujuh jenis kulat yang biasanya hidup di atas permukaan dinding bangunan.
* Penyelidik berpendapat sebagai pengeluar lumayan hasil damar dari hutan hujan tropika di Malaysia, kaedah menggunakan ekstrak damar amat sesuai dilakukan bagi mengatasi masalah serangan kulat di bangunan kerajaan dan awam di negara ini.
1 comment:
Thanks..nice info la..
sy pikir nak wak tajuk ni la untuk projek akhir sy..cm menarik jek.. ape masalah dier ek?? imean kburukan penggunaan ni..mesti ada baik buruk kan..
xcually, tgh pening nk cari tjuk untuk projek ni..huhu..
Post a Comment