Wednesday, July 7, 2010

Belajar secara bermain

APABILA anak berumur empat tahun, ramai ibu bapa merancang untuk menghantar anak mereka ke tadika kerana risau melihat anak bermain sepanjang hari di rumah, aktiviti yang dianggap kurang berfaedah dan tidak menyumbang kepada proses pembelajaran serta perkembangan minda si kecil.

Anggapan ini kurang tepat kerana ketika bermain, anak anda belajar banyak perkara yang tidak anda sedari. Ini termasuk rangsangan dalam otaknya, menyelaras fizikal (mata-pergerakan tangan) dan memori.

Malah, jika mereka bermain dengan adik-beradik lain, anak kecil ini secara tidak langsung akan belajar hubungan sosial yang merangkumi aspek bertolak ansur, berkongsi, bersabar dan mematuhi giliran - semuanya akan menggalakkan dia untuk berkomunikasi.

Pakar kanak-kanak berpendapat bermain adalah cara belajar paling digemari kanak-kanak. Mereka lebih serius 'belajar' ketika bermain dan lebih mudah menerima ilmu jika ia disampaikan dengan cara atau melalui aktiviti menyeronokkan, kata Pensyarah Psikologi Kolej Universiti Sunway, Elaine Yong.

Pembelajaran tidak harus diukur daripada sudut akademik saja kerana perkembangan sosial kanak-kanak juga sangat penting. Bermain (termasuk aktiviti melukis dan mewarna) adalah cara terbaik dan menyeronokkan untuk menyampaikan pendidikan tidak formal kepada kanak-kanak.

"Memang semua ibu bapa menyimpan harapan tinggi pada anak mereka sehingga kadangkala boleh membuatkan anak tertekan. Harapan ini perlu realistik, selaras dengan umur anak atau pencapaian normal bagi kanak-kanak sebaya dengan dia. Jangan beri terlalu banyak tekanan kerana ia boleh menyebabkan anak anda hilang minat untuk belajar.

"Tahap perkembangan mental kanak-kanak berbeza antara satu sama lain. Justeru, sebagai ibu bapa, anda perlu tahu kemampuan anak dan pada masa yang sama beri rangsangan sesuai bagi menggalakkan minat anak untuk belajar.

"Tidak kira sibuk mana pun anda, luangkan masa sekurang-kurangnya 20 minit untuk bermain bersama anak. Ketika ini beri tumpuan kepada aktiviti anak; dan sebaik-baiknya seorang ibu kepada seorang anak.

"Bermain bersama anak boleh membina hubungan erat antara anak dan ibu (bapa), kepercayaan dan keyakinan," katanya pada majlis pelancaran program EyeQ-Lympix anjuran Abbott Laboratories (M).

Pengurus Pemasaran Bahagian Pemakanan Pediatrik Abbott Nutrition, Goh Kay Yin, berkata lapan tahun pertama adalah tempoh penting dalam perkembangan mental kanak-kanak dan rangsangan untuk mereka bukan saja dalam bentuk fizikal, malah nutrien (pemakanan).

Kajian menunjukkan peningkatan pengambilan asid dokosaheksenoik (DHA) dan asid linolenik (AA) saja tidak mencukupi untuk membantu perkembangan mata dan otak.

Perkembangan otak kanak-kanak yang lengkap memerlukan gabungan lemak (omega 3 dan 6, fosfolipid); vitamin dan moneral seperti kolina, zat besi dan zink.

Katanya, ramai ibu bapa menggandakan pemberian DHA dan AA kepada anak mereka tanpa menyedari anak memerlukan semua zat untuk perkembangan menyeluruh.

"Ada ibu bapa takut hendak memberi anak makanan mengandungi lemak. Tidak perlu bimbang, asalkan semua makanan diambil secara seimbang. Tahukah anda, 60 peratus otak kita adalah lemak? Lemak sebenarnya penting, terutama untuk kanak-kanak. Namun pengambilan makanan perlu seimbang - mengandungi karbohidrat, protein, lemak, serat, vitamin dan garam galian supaya tidak timbul masalah obesiti," katanya.

Pada majlis berkenaan juga, buku Panduan Memupuk Perkembangan Mental Kanak-kanak dilancarkan. Buku ini boleh diperoleh secara percuma dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6233. Untuk keterangan lanjut, layari laman web www.abbottnutrition. com.my

Umur 18 hingga 24 bulan

Anak sudah boleh menyebut 50 patah perkataan, duduk dan memberi perhatian pada permainan (walaupun hanya lima minit), mencari mainan tersembunyi, menjawab soalan mudah, memberitahu apa yang dimahukan serta mengira (susunan tidak teratur). Ibu bapa boleh membantu dengan:

* Bacakan buku untuk anak setiap hari atau sebelum tidur malam; sebut perkataan satu persatu dengan jelas. Lebih menarik jika disertakan intonasi yang sesuai

* Beri penerangan gambar yang ada dalam buku berkenaan kepada anak

* Galakkan anak sebut semula perkataan yang anda sudah bacakan

* Beri peluang anak pilih bukunya

* Pastikan anda juga banyak membaca untuk memberi teladan kepada anak. Anak anda akan belajar untuk meniru tabiat berkenaan

* Belikan dia pensil dan pensil warna atau krayon yang boleh dicuci dengan air. Biar anak belajar memegang pensil dan menconteng. Apabila mahir, ajar bentuk yang mudah dilukis seperti garis lurus, bulatan, lonjong, segi tiga dan segi empat

* Permainan seperti tanah liat, penyepit baju, mainan blok boleh membantu merangsang sendi jari anak yang akan menguatkan tangan si kecil untuk menulis. Bagi yang mempunyai anak kurang upaya, anda boleh masakkan kanji (campur tepung ubi dengan air dan masak hingga pekat).

Anda boleh bahagikan kepada beberapa bekas dan letakkan pewarna. Bermain dengan kanji juga boleh menguatkan sendi jari anak anda

* Sebut nombor pada si kecil, contohnya bilangan butang di bajunya

* Untuk galakkan anak bercakap, apabila berada di persekitaran baru (di luar rumah) tanya soalan mudah seperti 'ini apa?'

* Apabila ibu atau ayah telefon, beri peluang anak untuk berbual dengannya

* Bercakap dengan anak, bukan memberi arahan kepadanya

Umur dua hingga tiga tahun

Anak anda boleh memberitahu namanya sendiri apabila ditanya; mematuhi arahan mudah; menamakan tiga hingga enam anggota badan; menyebut kira-kira 100 patah perkataan; bercakap dalam ayat mengandungi tiga atau empat perkataan dan mula bertanya soalan mudah. Apa yang anda boleh lakukan ialah:

* Belikan bahan bacaan yang sesuai untuknya

* Dengar anak anda membaca buku ceritanya

* Tunjukkan contoh baik dengan kerap membaca di depan anak

* Galakkan anak membaca dengan kuat (untuk memperbaiki sebutan dan menambah kemahiran menguasai perkataan)

* Minta anak terangkan makna gambar yang ada dalam buku cerita

* Minta anak sebut objek atau benda di rumah (satu atau dua setiap hari)

* Soal anak selepas dia membaca buku cerita untuk menguji kefahamannya

* Jika dia boleh menulis, ajar anak menulis namanya. Anda boleh menulis bersama-sama anak untuk merangsang minatnya

* Jika dia pandai melukis, lekatkan lukisan terpilih di pintu peti sejuk untuk menggembirakannya

* Ajar anak melukis bentuk lebih sukar seperti bintang, tangga dan segi lima

* Belikan buku conteng untuk anak (bagi mengelak dia menconteng di dinding)

* Masa ini anak anda juga boleh diajar untuk mengenali huruf. Boleh belikan dia buku huruf dan temani anak untuk meniru huruf di dalamnya

* Apabila anda membaca akhbar atau majalah, tunjukkan huruf yang ada pada ejaan namanya. Anda juga boleh menjadikan akhbar dan majalah untuk menguji anak anda dengan memintanya menyebut huruf pada tajuk berita atau rencana

* Untuk menggalakkan koordinasi tangan dan mata, galakkan anak meniru bentuk, sama ada secara melukis atau menggunakan tanah liat

* Buat aktiviti membabitkan kiraan (sebut nombor pendaftaran kenderaan di depan contohnya) atau mula ajar anak mengenal waktu (jam)

Umur tiga hingga empat tahun

Pada umur ini anak anda mempunyai tumpuan lebih panjang ketika melakukan satu-satu kerja (15 hingga 30 minit); mengenal warna; bercakap dengan jelas; masih boleh mematuhi arahan yang diberi lima minit lalu; mula bertanya 'siapa itu?', 'kenapa kena buat begini', 'kenapa tidak boleh', 'mengapa begitu atau begini' dan pelbagai soalan yang mungkin anda tidak tahu jawapannya; mengenal bentuk; bercakap sendirian bila bermain dan pandai mengira.

Apa yang anda boleh lakukan untuk merangsang perkembangan mental anak? Banyak. Antaranya:

* Beli majalah untuk kanak-kanak. Anak anda boleh membaca tetapi secara perlahan-lahan. Jangan marah anak kerana ia perkara normal

* Beri peluang anak menggunakan komputer (pastikan anda sentiasa ada bersama mereka)

* Cabar minda anak dengan perkataan baru setiap minggu

* Ajak anak untuk sama-sama menyelesaikan teka silang kata

* Apabila anak anda membaca buku cerita, minta dia berhenti seketika untuk bertanya soalan mengenai apa yang dibaca. Tanya soalan lain selepas dia habis membaca untuk menguji kefahamannya. Jika anak anda membaca terlalu cepat, minta dia ulang kerana dia mungkin tidak faham apa yang dibacanya

* Jika anak anda menulis terlalu perlahan, bersabarlah. Tunjukkan cara betul memegang pensil. Jika anak anda kidal, bantunya dengan membelikan pemegang pensil khas bagi memudahkannya menulis. Anda boleh mendapatkan bantuan atau panduan daripada individu kidal dewasa

* Minta anak tulis senarai barang yang hendak dibeli

* Lekat hasil tulisan anak di pintu peti sejuk, walaupun tulisannya sangat comot!

* Ajar anak mengira duit; melalui aktiviti jual beli olok-olok di rumah (tetapi menggunakan duit betul)

* Minta anak tunjuk angka melalui tulisan. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan jam mainan

* Pada umur ini, anak anda sudah boleh menghafal. Anda boleh minta dia mengulang semula perkataan yang anda sebut. Jika dia lupa, berikan petunjuk

* Ketika ini minat terhadap rancangan televisyen bertambah tetapi anda perlu bertegas untuk mengehadkan waktu menonton. Beri kelonggaran untuk rancangan tertentu saja

* Selitkan unsur pendidikan dalam semua aktiviti keluarga, termasuk ketika membeli-belah, memasak, berjalan-jalan di taman atau ketika waktu makan.

No comments: