Tuesday, June 22, 2010

Gangguan sistem pencernaan


ANDA boleh selesai mengunyah sekeping roti dalam masa kurang dua minit. Bagaimanapun tubuh mengambil masa yang lebih lama untuk mencernakan makanan yang anda makan. Malah, tidak ramai yang tahu bahawa tubuh mengambil masa lebih 18 jam untuk membuang sisa makanan selepas anda menikmati hidangan tengah hari.

Kenyataan ini jelas menunjukkan sistem pencernaan atau penghadaman ini satu sistem yang rumit. Ia juga terdedah kepada pelbagai gangguan disebabkan penyakit, diet dan tekanan emosi.

Antara masalah pencernaan yang paling biasa ditemui ialah pedih ulu hati, radang usus dan hari ini, kian ramai rakyat Malaysia diserang barah usus.

Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia, Dr Tan Huck Joo, berkata pada 2006 dan 2007, penyakit yang berkaitan sistem pencernaan berada di tangga ketujuh sebagai penyebab utama kematian di hospital kerajaan.

Bagaimanapun pada 2008, walaupun masih berada di tangga ketujuh penyebab utama pesakit dimasukkan ke hospital kerajaan, namun ia menduduki tangga keenam punca utama kematian di hospital kerajaan.

"Barah gastrointestinal juga sangat signifikan di Malaysia. Barah usus adalah barah kedua tertinggi di Malaysia, merangkumi 11.9 peratus daripada semua kes barah yang dilaporkan. Ia paling kerap ditemui dalam kalangan lelaki dan menduduki tangga ketiga sebagai barah pembunuh dalam kalangan wanita," katanya.

Di seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 940,000 barah kolon dilaporkan setiap tahun dengan 500,000 daripadanya berakhir dengan kematian.

Masalah pada sistem pencernaan bukan satu tetapi ada pelbagai penyakit yang berkaitan sistem pencernaan. Antaranya;

* Masalah refluks

Masalah refluks gastroesofageal (GERD) dialami apabila salur makanan (esofagus) bahagian bawah (injap antara salur makanan dan perut) tidak tertutup dengan kemas.

Ini menyebabkan kandungan asid perut mengalir kembali ke esofagus. Simptom paling umum masalah ini ialah pedih ulu hati diikuti dengan batuk, suara serak, sendawa dan rasa masam di mulut.

GERD adalah masalah yang kronik dan dideritai sepanjang hayat jika tidak dirawat. Jika berlaku kecederaan pada lapisan esofagus, ia juga tanda masalah yang kronik. Apatah lagi kecederaan itu boleh berulang apabila rawatan dihentikan.

GERD boleh ditangani dengan perubahan gaya hidup. Mulakan dengan menjauhi makanan yang boleh memburukkan lagi masalah anda misalnya coklat, pudina, alkohol dan minuman berkafein. Jauhi juga makanan berlemak dan berhentilah merokok. Jika perubahan gaya hidup tidak membantu, GERD boleh ditangani dengan pembedahan.

* Sindrom usus terganggu atau radang usus (IBS)
 IBS adalah sejenis gangguan pada usus besar yang menyebabkan sakit perut, kekejangan atau kembung selain cirit birit dan sembelit. Ia gangguan umum dan ramai rakyat Malaysia mengalaminya setiap hari.

Punca utama IBS terjadi tidak diketahui. Bagaimanapun dipercayai saraf dan otot di usus yang terlalu sensitif menyebabkan ia tidak berfungsi seperti sepatutnya. Otot itu mungkin mengecut dengan banyak apabila kita makan menyebabkan berlaku kekejangan dan cirit birit.

Masalah ini juga mungkin berkait dengan faktor persekitaran dan genetik. Merawat IBS memerlukan anda berbincang dengan doktor. Ini disebabkan rawatan diberi berdasarkan gejala, darjah kronik masalah yang anda alami dan bagaimana IBS mempengaruhi kehidupan harian anda.

Perubahan diet dan gaya hidup antara kaedah rawatan tetapi ada juga mereka yang perlu mengambil ubat-ubatan. IBS dialami kira-kira 430,000 rakyat Malaysia. Di seluruh dunia pula kadarnya adalah seorang dalam setiap 10 orang.

* Ulser peptik

Ulser peptik ialah masalah pada liang kecil yang menembusi lapisan perut/duodenum. Gejalanya seperti rasa sakit seakan panas membara di kawasan antara pusat dan tulang dada, hilang selera makan, muntah darah dan najis berwarna hitam.

Satu punca masalah ini adalah penggunaan ubat antiradang bukan steroid seperti aspirin dan ibuprofen. Jangkitan bakteria helicobacter pylori juga antara punca ia terjadi.

* Barah usus

Boleh menyerang tanpa simptom awal. Justeru pemeriksaan berkala sangat digalakkan. Sesiapa saja boleh diserang barah usus terutama apabila usia meningkat. Ia paling banyak dikesan pada mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Walaupun punca sebenarnya tidak diketahui tetapi faktor usia, jantina, sejarah keluarga memainkan peranan penting. Selain itu diet yang tinggi kandungan lemak dan rendah serat, merokok dan gaya hidup yang tidak aktif meningkatkan risiko diserang barah usus. WHO menyenaraikan barah usus dan barah rektum (atau disebut juga sebagai barah kolorektal) sebagai punca kematian ke 20 paling utama di dunia pada 2004.

No comments: