Saturday, May 29, 2010

Tekanan buat badan lemah

"SELURUH badan terasa sakit, macam tidak bertenaga. Sekarang bukan saja hendak pergi kerja, keluar makan bersama kawan-kawan pun malas, sudah tidak minat. Tidur malam selalu tidak lena. Ada kala kesakitan badan terasa agak melampau, sehingga mahu ambil cuti sakit. Mungkin inilah tanda-tanda penuaan," rungut seorang teman.

Rungutan teman itu membuatkan penulis teringat pada perbincangan mengenai kemurungan yang pernah disertai sedikit masa dulu. Empat pakar psikiatri berkongsi maklumat dan pengalaman merawat pesakit yang semuanya berkaitan kesakitan dan kemurungan.

Ada pesakit berjumpa dua atau tiga doktor dan membelanjakan berpuluh ribu ringgit untuk untuk mengatasi masalah kesakitan badan yang dialaminya tetapi semua rawatan tidak memberi kesan diharapkan sehinggalah dia dirujukkan kepada pakar psikiatri.

Malah ada pesakit menjadi mangsa penipuan pengamal perubatan alternatif tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan mendakwa boleh merawat seribu satu masalah kesihatan sedangkan mereka sebenarnya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Soalnya apa kaitan kesakitan badan dengan pakar psikiatri? Kajian mendapati banyak kesakitan badan yang tidak dapat diterangkan mempunyai kaitan rapat dengan kemurungan dan apa yang menyedihkan ialah kebanyakan pesakit tidak sedar masalah ini.

Kemurungan berlaku apabila keseimbangan bahan kimia otak terjejas. Sesetengah bahan kimia ini memainkan peranan penting dalam menentukan rasa sakit dan pakar perubatan percaya tahap dan jenis kesakitan akibat kemurungan ini berbeza antara individu.

Kesakitan yang anda alami bukanlah sekadar 'ada dalam kepala atau hanya mainan fikiran' tetapi ia benar-benar berlaku dan anda perlu mendapatkan rawatan untuk menghilangkan kesakitan berkenaan.

Masalah kemurungan yang biasanya dikaitkan dengan wanita turut berlaku pada lelaki. Malangnya bagi lelaki mengakui mereka mengalami tekanan masalah kesihatan mental dianggap perkara memalukan kerana budaya di seluruh dunia melihat lelaki sebagai individu kuat yang tidak seharusnya kalah terhadap tekanan.

Malah kanak-kanak juga boleh mengalami kemurungan. Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006 mendapati daripada 14,000 responden yang mengalami masalah kesihatan mental, 20 peratus adalah kanak-kanak, manakala 11 peratus pesakit dewasa.

Antara masalah kesihatan mental ialah tekanan berlebihan, kemurungan, sentiasa berasa was-was dan skizofrenia. Secara purata satu daripada 10 orang di Malaysia mempunyai masalah kesihatan mental dan di seluruh dunia dianggarkan 450 juta orang mengalami gangguan ini.

Daripada jumlah ini 120 juta dilanda kemurungan manakala 24 juta mengalami skizofrenia tetapi kebanyakannya tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.

Kemurungan yang tidak diberikan rawatan sewajarnya boleh menyebabkan seseorang bertindak agresif sehingga mencederakan diri sendiri termasuklah mempunyai fikiran untuk membunuh diri.

Kajian menunjukkan lebih ramai wanita yang cuba membunuh diri tetapi jumlah kematian (kejayaan) adalah empat kali lebih tinggi di kalangan lelaki.

Ini kerana lelaki biasanya menggunakan kaedah yang lebih nekad dan sukar untuk diselamatkan seperti gantung diri, terjun dari bangunan atau minum racun. Wanita menggunakan kaedah yang boleh diselamatkan (biasanya hanya mencederakan diri sendiri) dan kecenderungan mencederakan diri sendiri disifatkan sebagai 'jeritan senyap' meminta tolong dan bukannya mereka benar-benar mahu mati.

Sebenarnya sebelum sampai ke tahap ini, ada beberapa tanda fizikal akibat kemurungan yang perlu diperhatikan seperti:

* Sakit atau pening kepala - Ini antara tanda yang paling biasa dan kerap dialami kebanyakan orang. Jika sebelum ini anda memang mengalami migrain, kemurungan akan membuatkan sakit kepala anda bertambah teruk.

* Sakit belakang (pinggang) - Sakit pinggang juga akan bertambah buruk apabila anda mengalami kemurungan.

* Sakit otot dan sendi - Ia juga antara kesan tekanan yang tidak ditangani dengan baik dan akan menjadi lebih teruk jika anda murung.

* Sakit dada - Biasanya orang akan cepat mengambil tindakan jika mengalami sakit dada yang sering dikaitkan dengan masalah jantung. Bagaimanapun kemurungan juga boleh menyebabkan sakit dada.

* Masalah pencernaan - Anda mungkin berasa mual, mengalami cirit birit atau sembelit.

* Cepat berasa penat dan tidak bertenaga - Tidak kira berapa lama anda tidur, anda masih berasa penat dan apabila terjaga dari tidur pada waktu pagi, terpaksa melawan perasaan untuk bangun dari katil.

* Sukar tidur malam - Ini juga antara tanda biasa bagi individu murung. Anda mungkin kerap terjaga malam dan sukar untuk kembali melelapkan mata. Akibatnya anda akan berasa letih apabila bangun keesokan hari dan ia menyukarkan anda menumpukan perhatian ketika memandu atau kerja. Ada juga individu murung yang tidur lebih lama daripada biasa.

* Perubahan selera makan - sama ada tidak berselera atau terlebih selera. Jika anda hilang selera makan, berat badan akan turun. Sebaliknya ada juga individu yang 'mengidam' untuk makan pelbagai jenis makanan yang dirasakan boleh mententeramkan dan menenangkan hatinya yang akhirnya membuatkan berat badan bertambah.

Mungkin anda tidak mengalami semua gejala tetapi jika dirasakan sejak akhir-akhir ini anda sudah hilang minat terhadap aktiviti yang digemari, sering berasa tidak bersemangat, lebih suka menyendiri dan berasa diri tidak berguna; segeralah dapatkan rawatan. Jangan anggap gejala fizikal ini akan hilang sendiri, semakin lama anda biarkannya, ia semakin sukar untuk dirawati.

Jangan malu dengan tanggapan orang kerana mereka tidak tahu apa yang anda alami. Selain itu pelajari kaedah untuk menangani tekanan dengan baik supaya ia tidak terus menghantui fikiran sehingga boleh menjejaskan kesihatan mental anda.

No comments: