TENGKU Syed Hussain Al-Aidid mungkin tidak begitu dikenali seperti Kapten Francis Light yang tercatat dalam sejarah sebagai pengasas penempatan awal Inggeris di Pulau Pinang, akhir abad ke-18.
Namun, kekayaan yang dimiliki kerabat diraja Acheh itu begitu berpengaruh apabila beliau memainkan peranan penting memajukan negeri ini dengan membuka sebuah perkampungan Melayu terawal di Lebuh Acheh yang terletak di tengah-tengah bandar raya Georgetown pada 1792.
Malah, pedagang keturunan Arab itu turut mendirikan sebuah masjid, rumah kediaman, kedai, madrasah dan pejabat perdagangan. Beliau juga mewujudkan sebuah pusat pengajian agama Islam dan perdagangan antarabangsa yang terulung dan terawal di Pulau Pinang.
Pembinaan Masjid Melayu Lebuh Acheh pada 1808 yang kini berusia 188 tahun itu masih mengekalkan fungsinya sebagai tempat beribadat bagi masyarakat Islam di Georgetown serta turut menyumbang ke arah usaha perkembangan ekonomi negeri ini dengan kehadiran pedagang dari Kepulauan Tanah Melayu, Arab dan India Muslim.
Perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh juga menyaksikan pelbagai jenis perdagangan seperti rempah ratus, bazar pakaian, barangan kemas, percetakan kitab agama Islam, peti kapur barus, barangan tembaga, alat muzik, air wangi, alat jahitan, pengurusan haji dan kedai makanan.
Malah, selepas kematian Tengku Syed Hussain pada 1840, perkampungan itu terus berkembang maju sehingga akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Beliau disemadikan di sebuah makam yang terletak sebelah masjid yang dibina dengan gabungan tradisi masyarakat di perkampungan perintis itu.
Keunggulan perkampungan ini terserlah apabila dikenali sebagai `Jeddah Kedua' kerana di sini juga ratusan bakal haji dari Malaysia, Indonesia dan Thailand akan berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci Makkah ketika itu. Bakal haji menaiki kapal laut yang disewa dari syarikat swasta Inggeris, Mansfield & Co.
Di atas kesedaran untuk mengekalkan aspek sejarah, seni bina asli silam dan kegemilangan serta kebangkitan Islam di negeri ini dengan Masjid Melayu Lebuh Acheh sebagai mercu tandanya suatu ketika dahulu, beberapa pihak bergabung tenaga untuk merealisasikan matlamat kerajaan menerusi konsep pembangunan dan pemeliharaannya, bernilai kira-kira RM2 juta.
Konsep yang diketengahkan berasaskan usaha untuk mengembalikan imej dan suasana kegemilangan kawasan penempatan Melayu dan orang Islam yang terulung di Pulau Pinang melalui aktiviti pemuliharaan bangunan dan kawasan serta mempelbagaikan kegiatan ekonomi tempatan.
Pihak terbabit termasuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Unit Penyelarasaan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Muzium Negara dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Di Malaysia, pemeliharaan bandar belum diterima walaupun kesedaran terhadapnya timbul sejak awal 1980-an dan antara faktor yang menggagalkan usaha itu ialah kekurangan dan ketiadaan undang-undang khas untuk pemeliharaan bangunan dan kawasan.
Ketika ini, pengurusan masjid tertua di negeri ini dikendalikan Timbalan Pengerusi Badan Warisan Masjid Melayu Lebuh Acheh, Jaafar Rahim yang berpejabat di deretan rumah kedai yang terletak bersebelahan masjid berkenaan.
Struktur asal bangunan ini, termasuk ruang sembahyang utama berbentuk segi empat dan menara azan. Bagaimanapun, bagi menampung pertambahan bilangan masyarakat Islam yang bersembahyang di masjid ini terutama setiap Jumaat, pihak pengurusan masjid menambah ruang sembahyang dengan membina verandah.
Selain memiliki nilai sejarah, seni bina masjid ini juga unik hasil kombinasi Moorish (seni bina berasal dari utara India), Cina dan Klasikal.
Jelas dilihat daripada reka bentuk arca atau gerbang, tiang, dinding pemisah, menara, bumbung, elemen tingkap dan pintu serta ukiran lepa di bahagian atas dinding.
Gabungan tiga jenis seni bina ini memberi reka bentuk bangunan yang berbeza berbanding kebanyakan reka bentuk masjid di negara ini yang menggunakan bahan seperti batu-bata, kayu, bumbung asbestos dan metal decking, simen, marmar, lepa atau plaster dan batu.
Dinding masjid yang kebanyakannya terkopek, berlumut, warna cat luntur dan kesan pencemaran udara, diperbuat daripada batu-bata yang ditutupi lapisan lepa atau plaster sebelum dicat dengan kapur atau limewash.
Bumbung asalnya pula diperbuat daripada genting tanah liat, tetapi diganti dengan kepingan asbestos, manakala siling di bahagian sembahyang utama dan beberapa kawasan verandah diperbuat daripada kayu.
Selain itu, ada butiran abstrak naga di puncak dan pepenjuru bumbung (som bumbung) yang berasal dari seni bina China, yang menjelaskan perhubungan baik antara masyarakat Islam dan Cina di sekitar Lebuh Acheh.
Keseluruhan masjid dibina mengikut tiga jenis bentuk bumbung, iaitu bumbung utama berbentuk segi empat, bumbung rata dan bumbung logam baru.
Sementara itu, makam di sebelah masjid adalah tempat persemadian Tengku Syed Hussain Al-Aidid dan ahli keluarganya, kebanyakannya menggunakan batu nisan sama bentuknya dengan batu nisan di Sumatera dan Kepulauan Riau, Indonesia.
No comments:
Post a Comment