"DATUK saya sekarang berumur 85 tahun dan sudah merokok sejak bujang, tetapi masih sihat, tidak kena pun penyakit yang macam puan katakan!" Ini antara ayat 'wajib' yang diterima Pengarah Institut Respiratori (IPR), Datin Dr Aziah Mahayiddin setiap kali beliau menyampaikan ceramah atau mengadakan kempen kesedaran mengenai penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).
Malah ini jugalah diucapkan pesakit COPD selama 13 tahun, Shahrome Zainal Abidin, 69, mengenai rakan-rakan perokok kerana hanya dia seorang yang 'terpilih' menghidap penyakit berkenaan sedangkan mereka sama-sama kuat merokok.
Memang bukan semua perokok akan mendapat penyakit COPD tetapi dua daripada lima perokok bakal menjalani kehidupan hari tua dalam keadaan menderita hingga hendak berjalan dalam rumah pun tercungap-cungap kerana sebahagian besar paru-paru mereka rosak akibat rokok.
Menghidap COPD bermakna saluran udara ke paru-paru anda separa tersumbat yang akan membuatkan anda sukar bernafas. Ia adalah penyakit kronik yang mengambil masa bertahun-tahun untuk terjadi dan biasanya COPD ditemui pada pesakit berumur 60 tahun. Bagaimanapun kebanyakan kes membabitkan pesakit tua ini adalah kes yang sudah teruk atau agak teruk.
Menurut Pakar Perunding Perubatan Dada ini, COPD sebenarnya sudah bermula pada usia lebih muda seawal 40 tahun kerana penyakit ini terbentuk secara perlahan-lahan tanpa menunjukkan gejala jelas kecuali batuk.
Malangnya perokok dan sesetengah doktor menganggap batuk adalah perkara biasa kerana merokok tetapi ia sebenarnya boleh menjadi petanda penting kepada COPD terutama bagi individu yang berumur 40 tahun ke atas.
Cuba anda kira berapa lama anda (atau pasangan) sudah merokok? Adakah sejak di bangku sekolah atau ketika mula bekerja? Kesibukan kerja dan membina keluarga membuatkan ramai antara kita tidak sedar masa berlalu dengan pantas. Mungkin ramai perokok tidak sangka mereka sudah merokok berbelas atau berpuluh tahun lamanya.
Walaupun ada banyak faktor yang boleh menyebabkan COPD tetapi punca utama penyakit ini ialah merokok. Asap rokok boleh menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan yang lama kelamaan akan merosakkan paru-paru.
Ada juga yang menganggap gejala cepat penat untuk melakukan tugasan harian termasuklah naik tangga adalah perkara biasa dan sebahagian daripada proses penuaan. Ini anggapan yang salah kerana cepat penat itu tidak termasuk dalam proses penuaan. Malah bagi individu yang sihat dan kerap bersenam, mereka boleh bergerak cergas dan aktif melebihi orang lebih muda.
Jumlah sebenar pesakit COPD di negara kita tidak diketahui dengan tepat tetapi dianggarkan seramai 470,000 orang. Namun jumlahnya mungkin lebih tinggi kerana pesakit yang dirujukkan ke hospital hanya membabitkan kes yang sudah teruk.
"Apa yang lebih membimbangkan ialah peningkatan jumlah perokok setiap tahun. Ini termasuklah perokok wanita walaupun peratusannya lebih rendah. Memang kebanyakan kes COPD yang dirawat di IPR atau hospital kerajaan membabitkan pesakit lelaki tetapi ada juga wanita menghidap penyakit ini.
"Bagi perokok wanita, risiko untuk menghidap COPD adalah lebih tinggi kerana secara amnya paru-paru wanita lebih lemah berbanding lelaki. Maknanya wanita boleh mendapat COPD walaupun tempoh merokok lebih pendek daripada rakan perokok lelaki. Di negara kita jumlah pesakit wanita umumnya sangat kecil dan mereka mendapatkan rawatan di hospital swasta, ramai malu jika masalah mereka diketahui.
"Ada pesakit bertanya, bagaimana mereka boleh mendapat COPD sedangkan sudah berhenti merokok. Ya, salur pernafasan pada paru-paru yang tersumbat separa ini tidak boleh dikembalikan seperti asal dan sehingga kini tiada ubat dapat memulihkan paru-paru yang rosak.
"Bekas perokok masih boleh mendapat COPD kerana ia adalah penyakit yang terbentuk secara perlahan-lahan sepanjang tempoh mereka merokok dan mungkin sudah ada sebelum mereka berhenti. Mereka mungkin baru berhenti selama satu atau dua tahun selepas berbelas tahun merokok," katanya.
Gejala COPD
Antara gejala utama ialah batuk yang berpanjangan dan batuk itu pula mengandungi kahak. Ini menyebabkan pernafasan pesakit COPD mempunyai bunyi berdehem seperti pesakit asma. Faktor inilah juga yang membuatkan ada doktor tersalah anggap menyangkakan pesakit menghidap asma.
Walaupun dua-dua penyakit ini membabitkan saluran pernafasan yang sempit dan berkongsi beberapa gejala hampir sama tetapi ia sebenarnya berbeza. Antara gejala COPD ialah:
* Batuk yang berpanjangan (tidak sembuh walaupun makan pelbagai jenis ubat batuk)
* Batuk berkahak
* Dada terasa sesak dan sempit
* Cepat penat dan bernafas tercungap-cungap. Keadaan menjadi lebih buruk apabila bersenam.
* Untuk kes COPD teruk, pesakit juga akan tercungap-cungap bernafas ketika melakukan kerja harian yang mudah seperti memasak, mengemas rumah atau menaiki tangga dalam rumah. Dalam keadaan ini pesakit memerlukan banyak tenaga hanya untuk bernafas.
Dr Aziah berkata, ramai orang keliru antara batuk COPD dengan asma. Pesakit asma juga alami batuk berkahak seperti pesakit COPD, tetapi kedua-dua penyakit ini ada banyak perbezaan.
Asma
* Saluran pernafasan sempit kerana ia sensitif terhadap alergen iaitu bahan-bahan yang boleh sebabkan keradangan seperti debunga, habuk, asap rokok. Salur pernafasan yang sempit ini akan kembali ke saiz asal dengan ubat.
* Batuk apabila mendapat serangan asma, biasanya pada waktu pagi dan akan beransur kurang dengan ubat.
* Sesak nafas (nafas menjadi pendek dan cepat) ketika serangan yang boleh berlarutan selama beberapa minit, jam atau hari tetapi ia beransur baik dengan ubat.
* Gejala dialami dari kecil
COPD
* Saluran pernafasan sempit akibat asap rokok dan ia tidak akan kembali ke saiz asal.
* Batuk bermula pada waktu pagi dan berlarutan sepanjang hari. Batuk tidak hilang walaupun mengambil ubat.
* Batuk dan sesak nafas dalam kebanyakan hari.
* Gejala biasanya pada orang dewasa melebihi 40 tahun yang merokok dan bertambah teruk apabila berumur 60 tahun.
Diagnosis dan rawatan
Untuk mengelakkan kesilapan dalam diagnosis, Dr Aziah berkata, antara soalan pertama yang perlu ditanya oleh doktor apabila menerima pesakit begini ialah "Adakah anda merokok?"
Jika pesakit mengaku, buat ujian pernafasan menggunakan spirometer atau rujuk pesakit ke hospital berdekatan yang mempunyai alat ini.
Ujian ini adalah untuk menguji fungsi paru-paru. Ia berfungsi untuk mengukur kebolehan paru-paru menerima, menahan dan menggunakan udara; mengetahui sama ada paru-paru mengalami halangan pada saluran udara; menentukan tahap penyakit paru-paru dan memantau keberkesanan rawatan yang diterima pesakit.
Pesakit hanya perlu menarik nafas panjang dan menghembuskan nafas ke dalam spirometer sekuat mungkin. Spirometer ini akan mengukur jumlah dan kelajuan udara yang dikeluarkan daripada paru-paru.
Daripada sini, tahap COPD akan ditentukan iaitu:
* 70 peratus udara (pernafasan) dihembuskan - COPD peringkat awal
* 50 peratus udara dihembuskan - COPD peringkat sederhana
* 30 peratus udara dihembuskan - COPD peringkat teruk
Untuk mengetahui sama ada anda menghampiri COPD atau tidak, jawab soalan di bawah:
1. Adakah anda kerap batuk dalam kebanyakan hari?
2. Adakah batuk anda berkahak?
3. Adakah anda cepat penat dan tercungap-cungap ketika melakukan sesuatu berbanding rakan seusia?
4. Adakah anda berumur 40 tahun ke atas?
5. Adakah anda perokok atau bekas perokok?
Jika anda mempunyai tiga atau lebih jawapan 'Ya,' berjumpalah dengan doktor untuk bertanya sama ada anda mengalami COPD dan mintalah doktor anda jalankan ujian pernafasan bagi mengesahkannya. Jika COPD dikesan awal, ada banyak kaedah yang boleh diambil untuk mencegah kerosakan terus pada paru-paru anda.
"Masalah yang kita hadapi sekarang ialah kebanyakan pesakit hanya datang ke hospital apabila sudah tidak tahan dengan gejala dihadapi terutama batuk teruk dan cepat mengah. Biasanya kes yang kita terima adalah kes serius dan sukar diubati. Kumpulan yang paru-parunya rosak sedikit tidak datang berjumpa doktor kerana mereka masih boleh bernafas dengan baik," katanya.
Rawatan utama untuk COPD ialah berhenti merokok. Bagaimanapun ia bukanlah perkara senang, malah di kalangan pesakit COPD sendiri masih gagal menghentikan tabiat berkenaan walaupun kerap dimasukkan ke hospital akibat penyakit.
Menurut Shahrome yang disahkan menghidap COPD sejak 1997, COPD adalah penyakit yang mahal; bukan dari segi rawatan saja tetapi ia juga meragut kehidupan hari tuanya. Dianggarkan setiap kali berjumpa doktor, kos rawatannya mencecah RM500. Itu belum masuk kos tinggal di hospital.
Dia yang mula menghisap rokok sejak darjah dua mengakui seksanya hidup sebagai pesakit COPD. Untuk bercakap pun dia terpaksa menggunakan banyak tenaga apatah lagi mahu berjalan-jalan. Apabila berada di kawasan awam, dia akan berfikir banyak kali adakah dia mampu untuk berjalan dari tempat duduknya ke hadapan walaupun jaraknya sangat dekat; bimbang tidak sampai akibat kepenatan.
"Hospital (IPR) dah jadi macam rumah kedua. Setakat April tahun ini, sudah empat kali saya ditahan di hospital. Ada juga pesakit lain yang memang tinggal di hospital dan rumah sebagai tempat persinggahan saja. Mujurlah saya tidak begitu dan tidak perlu menggunakan tangki oksigen. Jika tidak, kos rawatan tentu lebih mahal," katanya.
Kata Dr Aziah, COPD membuatkan kualiti hidup pesakit terjejas. Selain tidak dapat bergerak aktif, mereka juga sentiasa mempunyai rasa kurang yakin dengan kebolehan diri untuk berjalan khususnya apabila berada di tempat awam.
Selain itu mereka juga bimbang jika mendapat jangkitan pernafasan; walaupun selesema biasa. Pada orang sihat, jangkitan virus selesema hanya menyebabkan ketidakselesaan tetapi bagi pesakit COPD ia boleh membawa kemudaratan sehingga perlu dimasukkan ke hospital.
Bagi mereka yang aktif dan kerap bersenam, keadaan anda mungkin lebih baik. Kajian menunjukkan perokok yang bersenam secara tetap (sekurang-kurangnya 30 minit, tiga hingga lima kali seminggu) mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk mendapat COPD berbanding perokok yang tidak bersenam. Namun cara terbaik untuk mencegah COPD ialah berhenti merokok.
Justeru itu, bagi yang masih di peringkat awal sebagai perokok, hentikanlah segera tabiat berkenaan. IPR kini juga menjalankan kempen kesedaran dan kajian untuk mengetahui jumlah pesakit COPD di Malaysia.
Kajian ini dijalankan di lima daerah di Selangor yang dianggap boleh menggambarkan penduduk negara kita iaitu di Sabak Bernam, Petaling Jaya, Subang, Kajang dan Klang. IPR mensasarkan mendapat 1,000 responden untuk disaring. Setakat ini kajian baru dijalankan di Sabak Bernam sebagai kelompok Melayu luar bandar.
Bagi anda yang merokok dan berumur 40 tahun ke atas, dialu-alukan untuk menyertai kajian ini dan sila hubungi IPR di talian 4023 2469 bagi mendapatkan keterangan tarikh aktiviti yang akan diadakan di tempat anda.
No comments:
Post a Comment