Thursday, April 22, 2010

Tahap klorin tinggi mudahkan ikan mati

AKUARIUM yang sudah diisi air pasti membangkitkan perasaan tanggungjawab terhadap pemiliknya untuk memasukkan pelbagai spesies ikan peliharaan. Akuarium yang sudah diisi air sebaik-baiknya dibiarkan antara dua hingga tiga hari sebelum dimasukkan ikan selain dihias dengan aksesori.

Lebih lama air dibiar dan didedahkan maka itu lebih baik kerana dapat mengurangkan tahap klorin. Langkah itu juga dapat membantu bahan yang terdapat dalam air sebati sekaligus mengelakkan ikan mati. Tempoh itu juga boleh dijadikan masa untuk meletakkan tumbuhan hidup yang boleh dijadikan hiasan dalam akuarium.

Selepas tumbuhan berada dalam akuarium stabil, anda boleh melihat sama ada tumbuhan itu mendapat cahaya yang cukup atau sebaliknya. Sekiranya bekalan cahaya mencukupi, tumbuhan berkenaan akan hidup secara normal. Untuk mengelakkan akuarium menjadi tidak teratur, tumbuhan plastik boleh digunakan dengan melekatkan pada dinding.

Kebanyakan peminat ikan akuarium cenderung memasukkan pelbagai spesies pada satu masa. Apabila membeli ikan yang tidak begitu dikenali spesiesnya, lebih baik sekiranya anda terlebih dulu mengetahui habitat dan kelakuannya sama ada sesuai hidup dalam satu bekas dengan spesies lain.

Petua yang boleh diamalkan untuk menempatkan pelbagai spesies ikan dalam satu akuarium ialah dengan mengasingkan ikan baru dengan memisahkannya dalam sangkar kecil. Selang dua atau tiga hari, barulah ikan itu dilepaskan bergaul dengan spesies lain.

Ikan yang membiak bukan melalui proses eraman telur adalah ikan yang mempunyai jangka hayat panjang dan mudah untuk membiak. Ada sesetengah spesies akan memakan anaknya sendiri ketika masih kecil. Kadang-kadang ibu ikan berkenaan membiarkan spesies lain memakan anaknya.

Lazimnya, ikan jantan kelihatan lebih cantik daripada betina. Jantina ikan boleh diketahui dengan melihat sirip saluran perkumuhan yang berada di bahagian bawah badan ikan yang bertentangan ekor atau sirip ekor. (Emailkan tips mengenai penjagaan akuarium kepada: helmi@nstp.com.my).