Friday, April 23, 2010

Cipta hiburan ketika bercuti di rumah

SEPANJANG bergelar wanita berkerjaya dan memiliki permata hati, purata masa diluangkan bersama anak-anak amat terhad sekali. Jam tujuh pagi anak bergegas ke sekolah agama. Lagi tiga orang, saya hantar ke nurseri dan tadika, kadangkala tidak sempat bergurau-senda, saya kemudian bersendirian menuju ke pejabat.

Pulang ke rumah sekitar jam tujuh atau lapan malam, tanpa pembantu saya masih mampu menyediakan hidangan ringkas, makan bersama dan membelek kerja rumah, pada masa yang sama tangan dan kaki ligat mengemas apa yang patut. Dan jam 9.30 malam anak-anak saya selalunya sudah `layu'. Secara purata mungkin sekitar tiga jam saja saya dapat bersama anak-anak, lima hari dalam seminggu.

Sebagai ibu kadang kala kita merasakan terlalu rindukan anak-anak walaupun mereka berada di depan mata. Saya fikir situasi ini dialami oleh semua wanita dan seorang pakar kanak-kanak yang pernah saya temui menyatakan, sekiranya anak-anak sering tidak sihat seperti demam atau kesukaran bernafas, ia adalah `petanda' kanak-kanak berkenaan turut merasai tekanan akibat kesibukan ibu itu.

Saya fikir dalam hal ini ibu dan anak sebenarnya akur `tekanan' itu, tetapi lantaran tugas, perasaan itu selalunya dibuang jauh. Sungguhpun begitu, tidak bererti anak yang mempunyai ibu bekerja tidak mampu membesar secara sempurna seperti anak yang ibunya suri rumah sepenuh masa.

Sekiranya kita bijak memanfaatkan masa terhad itu dengan perkara berfaedah, saya fikir ia lebih berbaloi berbanding tidak melakukan apa-apa. Menghabiskan masa di luar rumah ketika hujung minggu adalah aktiviti wajib saya lakukan dan ia tidak memerlukan banyak belanja. Apabila anak-anak gembira dengan kegiatan berkenaan, umpamanya membeli-belah dan bersenam, saya lihat ia tidak memberikan masalah kepada ibu serta bapa melaksanakannya.

Bagaimanapun, sekiranya anda dan anak-anak cenderung berkumpul di rumah saja, berikut antara panduan yang boleh anda lakukan membina `keseronokan' di dalam rumah.

Memasak

* Mengajak si kecil turun ke dapur pasti menyeronokkan. Berilah anak tugasan mudah serta ringan umpama mencedok adunan tepung ke dalam bekas atau mengacau adunan supaya sebati. Anak-anak kecil memang gemar bermain dengan tepung dan telur. Kalau membuat cekodok pisang umpamanya berikan mereka semangkuk tepung supaya mereka mampu bereksperimen dengan bahan berkenaan. Anak-anak akan berasa dihargai apabila ramuan mereka dimasak dan dimakan selepas itu. Tetapi pastikan adunan dihasilkan anak-anak itu bersih. Anak yang sukar makan akan menjadi seronok makan apabila mengetahui mengenai `kesukaran' menghasilkan hidangan dan bersyukur dengan rezeki Allah kurniakan.

Menyanyi

* Daripada mendengar muzik di radio, apa kata anda dan suami bertindak sebagai pencipta lagu? Pasti lebih menyeronokkan sekiranya anda dan suami menyanyi sementara anak-anak menari. Sudah pasti ia kenangan hujung minggu yang tidak dapat dilupakan. Menurut pakar kanak-kanak, muzik membina kreativiti kanak-kanak dan anda pasti terkejut sekiranya minda mereka pantas membina menerusi aktiviti sebegini. Bagi orang Islam pula menyanyikan lagu mengalunkan kebesaran Nabi serta Allah adalah yang terbaik.

Berenang

* Ajaklah anak-anak untuk berenang bersama di rumah. Bagi anda yang memiliki kolam renang sendiri, tentu tidak perlu susah lagi. Bagi anda yang tidak memiliki kolam renang, tidak perlu risau kerana ada banyak jenis kolam plastik yang boleh dibeli dan dipasang pada hujung minggu. Mencipta kesan lebih hebat, ibu boleh meletakkan pelbagai mainan anak di sekitar kolam atau memasukkan bola berwarna-warni ke dalam kolam. Untuk merasai aura `percutian' mungkin anda boleh sediakan hidangan seperti barbeku bersama suami serta ahli keluarga lain, barulah seronok.

Berkebun

* Pastinya akan semakin mengasyikkan jika melihat anak-anak tertarik menikmati keindahan aneka bunga di pekarangan rumah anda. Daripada hanya memandangnya, lebih baik anda dan anak-anak berkebun. Tidak kiralah membuang rumput yang tidak diperlukan, mencantas dahan yang semakin panjang dan menabur baja. Sekiranya anak diberikan kepercayaan menyiram tanaman, pastinya akan membuat anak anda lebih bersemangat. Menerusi aktiviti sebegini, anda bukan saja boleh bersama-sama mencantikkan halaman, sebaliknya pada masa yang sama menyelitkan pengetahuan mengenai tumbuh-tumbuhan kepada si kecil sejak awal lagi, secara langsung ia membantu ibu bapa menyemai rasa kasih kepada makhluk Allah lain seperti tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Kata pepatah, sambil menyelam minum air.

Berkhemah

* Berkhemah tidak semestinya di hutan atau tempat berkhemah semata-mata. Di rumah juga boleh dilakukan, kalau anda memiliki khemah atau selimut khusus, cubalah ajak anak berkhemah di belakang rumah atau di halaman rumah. Ciptalah situasi seolah-olah anda sekeluarga sedang berkhemah di alam terbuka, seperti menyalakan api unggun, memasak atas unggun api, bernyanyi dengan iringan gitar dan sebagainya mengikut kemampuan anda.

2 comments:

Anonymous said...

salam hanah..bagi makcik masa berkualiti lebih berharga n dihargai oleh anak2 daripada banyak masa dihabiskan dengan mereka tapi tak ada pengisian yg menyeronokkan mereka.cucu makcik marissa bila anginnya rajin suka membantu didapur spt basuh pinggan (naik atas kerusi),menyapu dan mengmop lantai,lipat sendiri baju2 dia n adiknya.mereka juga suka berkhemah didalam rumah dibawah kipas (jenis tak tahan panas).seronok tenguk mereka bermain n mendengar perbualan mereka...menghiburkan..

sharhanah said...

Salam makcik... Wah, Marissa rajin... rasa kiut plak terbayangkan budak kecik panjat kerusi basuh pinggan☺..,betul kata makcik, pengisian yg menyeronokkan lebih bermakna daripada masa berlalu macam tu saja. Baru dikatakan masa berkualiti dgn org yg kita sayangi.