Saturday, April 24, 2010

Sebatian getah untuk pembuatan tayar baru

PERTAMBAHAN bilangan kenderaan dan pengguna kenderaan masa kini telah menyaksikan pasaran industri pengeluaran tayar juga semakin berkembang dengan pelbagai jenis atau jenama tayar baru telah berada di pasaran. Malah, terdapat juga segelintir pengeluar tayar yang menjalankan tanggungjawab sosialnya dalam memperjuang isu keselamatan berkaitan tayar.

Penjagaan tayar merupakan aspek yang perlu diberi perhatian khusus oleh pengguna kenderaan kerana ia merupakan salah satu komponen penting yang menghubungkan kenderaan dengan permukaan jalan.

Dalam keadaaan kita sentiasa menjaga atau menyelenggara tayar, pernahkan kita terfikir apakah bahan asas atau utama dalam proses pembuatan tayar baru? Kita sedia maklum tayar sememangnya diperbuat daripada getah, tetapi tahukan anda bahawa terdapat lagi bahan khusus yang digunakan dalam melengkapkan pembuatan tayar yang berkualiti dan selamat?

Tayar diperbuat daripada sebatian getah (rubber compound) yang dihasilkan melalui campuran dua unsur (bahan) atau lebih sama ada bentuk cecair atau pepejal diadunkan sebati sehinggalah menjadi getah sebatian yang menepati piawaian kualiti untuk melengkapkan proses pembuatan tayar baru.

Sebatian getah menjadikan bahagian-bahagian pada tayar lebih berkeupayaan untuk berfungsi iaitu:

* Bunga tayar berfungsi tahan lama daripada kehausan, cengkaman maksimum di atas jalan kering atau basah, pengendalian mudah dan sebagainya.

* Dinding tayar berupaya menghalang rintangan daripada ozon, cuaca dan rekahan atau keretakan.

* Lapisan dalam tayar memastikan supaya angin di dalam tayar tidak terkeluar atau mampu menampung tekanan angin.

Pembuatan setiap biji tayar baru memerlukan campuran sebatian getah yang tepat dan khusus iaitu:

Polimer (Polymer)

Campuran asas di dalam sebatian getah (tayar baru) iaitu getah asli dan getah tiruan.

Fillers (Reinforcement)

Agen penguat yang berfungsi memberi ketahanan terhadap struktur getah. Terdapat dua bahan utama fillers iaitu karbon hitam dan silika.

Karbon hitam dihasilkan melalui proses pembakaran minyak mentah dengan suhu yang tinggi. Berbentuk serbuk yang berbeza-beza saiz (partikel halusjkasar) mengikut kegunaan dan jenis tayar. Contohnya untuk kenderaan harian seperti kereta menggunakan karbon hitam yang berbeza saiznya berbanding kenderaan berat atau berkuasa tinggi seperti lori, bas dan sebagainya.

Silika dihasilkan daripada pasir. la mahal dan memiliki daya tahan atau kemampuan yang tinggi untuk getah tayar dan menjamin penggunaan tayar yang mesra alam. la juga menjamin penggunaan tayar yang mesra alam kerana mampu mengurangkan rintangan guling (gulingan tayar).

Maknanya, campuran silika yang banyak di dalam sebatian getah mampu mengurangkan tenaga untuk bergerak dan seterusnya mengurangkan pelepasan karbon monoksida iaitu asap yang keluar dari ekzos kenderaan.

Silika juga mampu mengurangkan kehausan bunga tayar yang mana lambakan tayar tidak terpakai atau terbuang dapat diminimumkan, seterusnya menjamin penggunaan tayar yang bersifat mesra alam.

Minyak

Membantu melancarkan proses pengadunan getah, filler dan sebagainya serta melembutkan getah agar campuran senang diproses.

Bahan-bahan kimia

a. Sistem penstabil (Stabilizer) Berfungsi memanjangkan jangka hayat tayar dan menghalang daripada menerima kesan keretakan pada dinding tayar oleh cuaca, sinaran matahari dan pancaran ozon. Sistem penstabil terdiri daripada tiga jenis bahan iaitu antioxidants, antiozonants dan lilin (waxes).

b. Sistem vulcanization Sistem pemasakan getah bertujuan menukar getah yang lembut menjadi keras dan berkeupayaan tinggi terhadap rintangan.

Berdasarkan anggaran kasar, kandungan bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan sebiji tayar baru yang berkualiti dan selamat ialah getah asli dan sintetik (43%), karbon hitam (27%), benang keluli (10%), bahan- bahan kimia (10%), fabrik benang (5%) dan minyak (5%).

Oleh itu, dengan paparan info berguna ini diharapkan pembaca khususnya pengguna kenderaan lebih peka terhadap isu keselamatan membabitkan tayar dan dapat menambahkan ilmu berkaitan dunia automotif. Ingatlah, keselamatan kenderaan anda bermula daripada tayar. - Majalah Auto Touch

No comments: