Saturday, April 24, 2010

Brokoli lawan barah

BROKOLI adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga kobis Brassicaceae yang bermaksud `bunga di atas kubis.'

Banyak digunakan dalam masakan masyarakat Eropah dan turut popular di kalangan penggemar sayuran di negara kita. Ia didapati mempunyai kelebihan untuk menangani barah.

Tumbuhan yang berasal dari Itali itu dikatakan memiliki unsur sebatian yang dapat membantu melawan bakteria yang dikenali sebagai Helicobacter pylori (H pylori) yang boleh menyebabkan ulser, gastritis dan barah perut.

Bukti terbaru itu ditemui hasil kajian penyelidik farmakologi klinikal, Profesor Dr Akinori Yanaka dari Fakulti Sains Farmasi, Universiti Sains, Tokyo, Jepun yang dibiayai Institut Penyelidikan Kanser Amerika (AICR), baru-baru ini.

Diterbitkan dalam jurnal penyelidikan AICR membabitkan pencegahan barah, kajian itu menunjukkan pesakit yang dijangkiti bakteria H pylori yang diberi makan dos harian mengandungi tunas atau pucuk brokoli berkesan membantu menghalang bakteria itu daripada terus merebak.

Pucuk atau tunas brokoli dan brokoli didapati kaya dengan sulforafan, sejenis sebatian yang sebelum ini dikenali penyelidik yang sama sebagai sejenis antibiotik yang berkesan terhadap H pylori.

Pucuk atau tunas itu mengeluarkan jumlah sulforafan yang sama banyak iaitu dua hingga tiga kali ganda seperti yang terkandung dalam sesuatu brokoli.

Dr Akinori juga berjaya membuktikan kelebihan pucuk atau tunas brokoli berbanding dos rumput alfalfa yang diberikan lapan minggu kepada pesakit yang mempunyai bakteria berkenaan.

"Selepas tempoh itu, kumpulan yang menerima dos tunas atau pucuk brokoli menunjukkan penurunan jumlah H pylori yang sangat ketara berbanding kumpulan yang diberi makan alfalfa yang tidak mempunyai sebarang perubahan," katanya.

Menurutnya, selepas dua bulan pesakit terbabit berhenti memakan dos brokoli, tanda menunjukkan jumlah bakteria berkenaan kembali seperti pada tahap sebelumnya.

Laporan yang sama juga menegaskan saintis terbabit berjaya membuktikan bahawa apabila tikus yang dijangkiti H pylori menghirup air yang dicampurkan tunas brokoli dalam tempoh lapan minggu, berlaku peningkatan yang jelas dalam aktiviti dua unsur sebatian yang melindungi sel daripada kerosakan oksidatif.

Jumlah H pylori dalam perut tikus yang menghirup air bercampur brokoli itu menjadi berkurangan, tetapi perubahan tidak berlaku ke atas tikus yang menghirup air biasa tanpa campuran brokoli.

Penyelidik itu merumuskan brokoli yang kaya dengan sulforafan menjanjikan masa depan yang lebih positif untuk melawan bakteria H pylori secara langsung atau tidak langsung bagi melindungi barah perut.

No comments: