JIKA anda berpeluang, eloklah habiskan masa selama dua atau tiga jam berkunjung ke ladang ternakan burung unta (ostrich) di Jalan Pantai, Seremban untuk melihat tabiat burung itu yang sungguh unik.
Burung unta yang hidup di benua Afrika adalah sejenis burung dalam keluarga `ratite' iaitu yang tidak boleh terbang.
Jenis lain yang termasuk dalam keluarga ini ialah kasawari dan emus (Australia), kiwi (New Zealand) dan nandus (Amerika Selatan).
Tabiat burung unta ini agak aneh sedikit kerana ia suka mematuk apa saja terutama benda yang berkilat dan terang. Bagaimanapun, patukan burung ini tidak berbahaya.
Mengikut kajian, burung unta mematuk antara 2,000 hingga 5,000 kali sehari dan pada minggu pertama kelahiran, anaknya akan mematuk apa saja yang ditemuinya seperti plastik, paku, batu dan kunci.
Tidak hairanlah banyak anak burung unta mati tercekik kerana terpatuk benda keras.
Burung unta juga mampu berlari sehingga 70 kilometer sejam dalam jarak 3 atau 4 kilometer tanpa henti. Kalau berpeluang, anda mungkin dibenarkan menunggang burung ini.
Ia adalah satu-satunya burung `gergasi' yang masih kekal. Burung yang sudah matang boleh mencapai ketinggian sehingga 2.5 meter dan berat antara 100 hingga 150 kilogram seekor.
Burung unta betina yang berusia 20 bulan sudah dikira matang dan boleh menghasilkan telur antara 40 hingga 80 biji setahun selama 30 tahun.
Berat sebiji telurnya pula adalah antara 1,300 hingga 1,700 gram dan mampu menampung tekanan seberat 60 kilogram. Ini bermakna manusia boleh berdiri di atas telur burung itu.
Menurut Pengarah Urusan Syarikat Jelita Impian Sdn Bhd, S S Abraham, ladang yang dibina mengikut konsep pelancongan tani itu akan dilengkapkan dengan trek empat lorong untuk perlumbaan ostrich.
Setakat ini, syarikat berkenaan yang mengusahakan ladang seluas 8 hektar itu sudah mempunyai kira-kira 500 ekor burung unta itu dan 12 emus.
"Penternakan burung unta mungkin baru di negara ini, tetapi saya yakin ia mempunyai potensi untuk dimajukan," kata Abraham.
Burung unta juga mudah diternak kerana ia hanya memerlukan kawasan terbuka dan makan apa saja jenis rumput.
No comments:
Post a Comment