Monday, April 26, 2010

Perosak enamel gigi

MAKANAN manis sering dipersalahkan menjadi punca pereputan dan kerosakan gigi. Perkara ini diakui sejak dulu lagi tetapi punca utama kerosakan gigi ialah tabiat pemakanan tidak baik dan kurang penekanan terhadap kesihatan mulut.

Pergilah berjumpa mana-mana doktor gigi, antara pesanan wajib yang diberi ialah memberus gigi selepas makan, terutama jika menikmati makanan manis. Bakteria membiak di celah gigi (terutama yang ada sisa makanan) dan boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penghakisan gusi.

Beliau menasihatkan memberus gigi (dan flos) sekurang-kurangnya dua kali sehari atau setiap kali selepas makan.

Penjagaan kesihatan mulut yang kurang baik bukan saja merosakkan gigi tetapi menyebabkan masalah gigi sensitif. Secara global, satu daripada tiga orang mengalami masalah gigi sensitif. Tinjauan ke atas 11,000 orang dewasa pada 2002 mendapati lebih ramai wanita mengalami masalah ini.

Berdasarkan tinjauan Penjagaan Kesihatan Mulut Kebangsaan Bagi Orang Dewasa Malaysia pada 2000, didapati 36 peratus penduduk negara ini, terutama berusia 20 hingga 40 tahun, ada masalah gigi sensitif dan kajian menunjukkan ia semakin meningkat di kalangan golongan muda.

Selain makanan manis, beberapa lagi perkara perlu anda ketahui untuk menjaga dan memanjangkan hayat harta yang tiada gantinya ini.

* Makanan masam - Ia memberi kesan buruk sama seperti makanan manis. Makanan masam yang mempunyai paras pH rendah (sama ada gula-gula, minuman ringan, jus buah, semua jenis asam dan jeruk) boleh `melembutkan' gigi.

Kandungan asid dalam makanan masam melarut atau menghakis lapisan enamel (lapisan luar gigi) dan lama kelamaan menyebabkan ia semakin nipis dan akhirnya mendedahkan lapisan dentin. Apabila ini berlaku, kita mengalami masalah gigi sensitif.

Tanpa penjagaan rapi, ia boleh berlarutan kepada masalah karies gigi (gigi reput dan berlubang). Kajian ke atas gula-gula masam mendapati ia mempunyai pH yang sangat rendah; hampir sama dengan asid bateri! Ia memberi kesan lebih buruk ke atas gigi kanak-kanak kerana lapisan enamel gigi mereka belum matang.

* Lapisan enamel gigi mudah pecah - Walaupun lapisan enamel sangat kuat, ia mudah rosak sama ada melalui hakisan asid (daripada makanan atau asid perut) atau pecah sedikit (serpih) jika menggigit makanan keras, termasuk air batu dan bertih jagung yang tidak kembang!

Masalah gigi serpih juga kerap dialami individu yang menindik lidah. Setiap kali bercakap, ia berlaga dengan gigi yang akhirnya membuatkan gigi retak. Selain itu jangan jadikan gigi sebagai playar untuk menggigit bahan bukan makanan.

Lapisan dentin juga boleh terdedah jika memberus gigi dengan kasar dan kuat atau jika gusi menyusut. Makanan atau minuman sejuk yang terkena lapisan dentin memberi rangsangan kepada akar gigi dan ini yang menyebabkan kesakitan.

* Kita boleh kehilangan gigi pada semua peringkat umur - Setiap orang dikurniakan dua set gigi iaitu gigi susu dan gigi kekal. Kehilangan gigi susu diganti dengan gigi kekal tetapi jika gigi kekal tanggal, ia tidak akan diganti. Ini sebabnya penjagaan gigi perlu dimula sejak kecil supaya tabiat baik ini berkekalan hingga akhir hayat.

Punca utama kehilangan gigi ialah penyakit gusi dan kerosakan gigi (gigi berlubang). Walaupun kini ada banyak kaedah untuk menggantikan gigi yang hilang, kosnya mahal. Cara paling murah untuk mendapat gigi sihat dan cantik ialah memberus dan flos gigi setiap hari serta berjumpa doktor gigi dua kali setahun.

* Gunakan ubat gigi berflourida - Ia penting untuk menjaga kesihatan gigi, namun ubat gigi mengandungi terlalu banyak flourida membuatkan permukaan gigi bertompok putih atau coklat. Kesan tompokan pada gigi ini sukar dihilangkan. Pada masa sama flourida berlebihan boleh menyebabkan gigi menjadi poros.

Masalah ini juga boleh berlaku pada kanak-kanak yang kerap menelan ubat gigi yang ada pelbagai perisa. Justeru, ajar anak berkumur dan beritahu mereka supaya tidak menelan ubat gigi walaupun rasanya sedap! Ini kerana kebanyakan kes flourida berlebihan yang dikesan di Amerika Syarikat berlaku pada kanak-kanak.

* Pendakap gigi juga boleh menyebabkan kaviti - Jika menggunakan pendakap gigi, beri perhatian lebih ketika memberus gigi supaya tiada makanan terlekat di celah pendakap. Makanan, bakteria dan asid yang terlekat pada pendakap secara perlahan-lahan 'memakan' enamel. Jika kurang penjagaan, lubang terbentuk pada bahagian yang memegang pendakap gigi berkenaan.

Selain memberus, flos dan menggunakan cecair kumur bagi membunuh bakteria dalam mulut, ada juga saranan mengambil sesetengah jenis makanan yang dikatakan boleh membantu meningkatkan kesihatan gigi.

Antara makanan itu ialah buah-buahan dan sayur-sayuran segar, makanan yang kurang kandungan garam dan gula, ikan, kekacang serta makanan kaya serat, termasuk oat dan roti mil penuh.

Walaupun buah-buahan kering juga ada banyak khasiat, ia biasanya mengandungi lebih banyak gula dan mudah melekat di celah gigi.

Buah-buahan segar (walaupun masam) kurang menimbulkan masalah kerana apabila kita mengunyah, ia merangsang penghasilan lebih banyak air liur yang mengandungi enzim emilase.

Air liur ini 'mencuci' serpihan makanan dan mengurangkan keasidan dalam mulut. Buah seperti epal dikenali sebagai berus gigi semula jadi kerana ia merangsang kesihatan gusi dan penghasilan air liur, sekali gus mengurangkan kemungkinan pengumpulan bakteria penyebab kaviti.

3 comments:

Izan said...

lusa ada appointment ngan doktor gigi... last jumpa doktor gigi masa kat msia dulu lbih kurang 4 thn lepas. boleh??? =(

sharhanah said...

4 tahun!!!! tuuu...diaaaa.... lama tuh izan, siap ler ngan doktor gigi...hihihihi

Anonymous said...

nak tanya.. apa kesannya pada gigi my son (umur 3 tahun+) cos semalam dia terjatuh dan giginya kat depan pecah sikit.. gigi ok tapi pda root gigi sperti berdarah.. risau sungguh la..

Thanks..