Thursday, April 22, 2010

Pelengkap dapur

DAPUR adalah ruang yang sibuk dengan segala aktiviti menyediakan pelbagai keperluan. Justeru, ruang dapur yang baru seharusnya dirancang sebaik mungkin untuk memastikan kewujudannya benar-benar dimanfaatkan, bukan saja bagi tujuan menyediakan makanan, tetapi juga bagi penyimpanan peralatan keperluannya agar tidak semak dipandang mata.

Perlu diingat, keperluan dan pilihan si bujang dan pasangan berkerjaya berbeza dengan keluarga yang mempunyai anak dan binatang peliharaan. Andai ada ahli keluarga adalah golongan kelainan upaya, maka keperluan itu perlu diambil kira. Begitu juga bagi mereka mempunyai anak kecil, bolehlah menyediakan sofa dan kerusi untuk menonton televisyen supaya anakanak ini dapat diawasi. Tetapi ini juga bergantung sama ada ruang yang ada itu mengizinkan aktiviti sedemikian.

Ruang Penyimpanan

Ruang ini boleh dibahagi kepada dua iaitu ruang penyimpanan secara bina kekal dan ruang penyimpanan mudah alih.

* Kabinet Penyimpanan Kekal

Ruang penyimpanan secara bina kekal adalah ruang penyimpan yang dibuat secara kekal pada struktur dan dinding bangunan. Ruang penyimpanan ini tidak boleh dialih atau digerakkan dari satu tempat ke tempat lain.

Ruang penyimpanan ini boleh menempatkan apa juga jenis barangan dan berat. Bagi aspek ketinggian dan lebar kedalamannya, ruang penyimpanan ini akan disesuaikan dengan kehendak dan reka bentuk yang diperlukan.

* Kabinet Penyimpanan Mudah Alih

Ruang ini merangkumi rak perabot yang dibina bagi meletak barangan sama ada secara terbuka atau tertutup. Kelebihan kabinet penyimpanan mudah alih adalah kedudukan kabinet itu tidak kekal dan boleh diubah kedudukan mengikut keperluan. Reka bentuknya yang pelbagai dan boleh disesuaikan pelbagai jenis ruang. Manakala ruang penyimpanan tertutup pula sesuai untuk bangunan yang tidak mahu dilihat dan kemungkinan barangan tersebut jarang digunakan. Apa yang menarik mengenai ruang penyimpan tertutup adalah barangannya disusun kemas dan tidak dilihat. Bagaimana ia disusun tidak menjadi masalah kerana yang pasti keadaan luaran ruang penyimpan menjadi kemas dan teratur.

Jenis Ruang Penyimpanan

Ruang penyimpanan boleh direka dalam pelbagai bentuk dan saiz. Apa yang penting, jenis barangan yang hendak disimpan dan bagaimana ia perlu disimpan supaya ada keseimbangan antara keperluan dan kesempurnaan untuk mudah alih.

Pastikan ukuran asas barangan yang hendak disimpan dapat memenuhi ruang penyimpanan Jika tidak, akan berlaku masalah kerana ruang penyimpanan tidak dapat menampung saiz barangan. Oleh itu pastikan saiz minimum keluasan sesuatu ruang penyimpanan diketahui.

Ruang penyimpanan juga mestilah mudah digunakan. Ketinggian sesuatu rak mesti disesuaikan dengan ketinggian standard pengguna dan ia mestilah mudah dicapai dan dilihat. Bagi paras melebihi ketinggian, ruang penyimpanan sesuai untuk barang yang jarang digunakan dan ringan.

Saiz rak yang besar dan dalam tidak berguna jika ketinggian melebihi paras pandangan mata. Ini menyukarkan pengguna mengetahui apakah barang yang disimpan. Bagi mengatasi masalah itu, pengguna perlu menggunakan tangga atau bangku untuk melihat dan mengambil barang simpanan.

Kabinet Dapur

Keperluan dapur yang sempurna bukan saja menampilkan reka bentuk kabinet dan ruang penyimpanan yang menarik dan kemas tetapi juga susun atur dan peralatan yang digunakan bersistematik, mesra pengguna dan selamat. Oleh itu ruang penyimpanan yang dirancang sangat penting untuk menyimpan segala perkakas seperti pinggan mangkuk dan bahan memasak nampak sempurna, tersusun kemas, menarik dan tersusun.

Pembinaan dan rekaannya memerlukan ketelitian, kepakaran, kreativiti dan kebijaksanaan kerana ia membabitkan belanja yang bukan sedikit. Sebab itulah, ruang dapur yang baik perlu dirancang, dibina dan diselenggara sebaik mungkin bagi memenuhi fungsi sebenar. Bermula daripada soal pinggan mangkuk, perkakas, peralatan dan soal ruang penyimpanan, semuanya memerlukan perhatian rapi.

Bagi suri rumah yang tahu keperluan dapur yang sempurna sudah pasti akan memilih perkakas dapur yang sesuai serta boleh disimpan dalam ruang penyimpanan yang sempurna. Hanya dengan cara itu suri rumah akan menghargai ruang dapur seperti ruang lain di dalam rumah, yang perlu kelihatan menarik dan bersih.

Ruang Penyimpanan Dapur

Antara ruang utama yang diperlukan di ruang dapur adalah rak pinggan mangkuk, rak barang keperluan dapur dan peti sejuk. Ruang penyimpanan yang disebut ini sangat mustahak disediakan dalam merancang pembentukan ruang dapur. Ketika ini tidak ramai menggunakan almari penyimpan lauk yang berasingan, sebaliknya ruang penyimpanan disediakan berserta kabinet siap dipasang terutama mereka yang mempunyai kawasan sempit.

Dengan pendekatan begini ruang penyimpanan akan kelihatan lebih kemas dan teratur. Oleh itu, kebanyakan kediaman, sama ada sederhana atau mewah turut melengkapkan ruang dapur dengan kabinet siap dipasang secara kekal. Cara ini lebih menjimatkan dan dapat memaksimumkan penggunaan ruang terutama pada rumah kediaman sederhana.

Kabinet dapur moden juga menyediakan pelbagai rak besi yang boleh dipusing atau ditarik apabila pintu kabinet dapur dibuka untuk memudahkan pengambilan barang. Idea menyediakan ruang penyimpanan jenis ini adalah langkah bijak kerana barangan yang diperlukan boleh diambil tanpa perlu menghulurkan tangan jauh ke dalam ruang penyimpanan.

Bagi yang mahukan kesempurnaan mintalah khidmat rundingan bantuan pakar yang tahu keperluan dan ukuran asas dapur dan ruang penyimpanan yang anda perlukan tetapi sebelum berjumpa dengan pereka bentuk kabinet dapur, kenal pasti keperluan yang dikehendaki kerana anda saja yang tahu apa yang anda perlukan. Selepas berbincang dengan pereka bentuk kabinet dapur barulah kita boleh membuat anggaran peruntukan kos kerana mereka boleh menyediakan anggaran kos yang bersesuaian dengan bajet dan keperluan anda.

Kejayaan membentuk dan menguruskan kabinet dapur yang sempurna akan memudahkan tugas di dapur, di samping memberi kepuasan secukupnya, terutama mereka yang banyak menghabiskan waktu di sini seperti suri rumah yang terpaksa menggunakannya setiap hari.

Tip

Susunan barangan kabinet dapur

* Barangan/peralatan yang jarang digunakan perlu diletakkan di bahagian atas atau rak yang melebihi paras ketinggian penghuni kediaman.

* Simpan barangan perlu atau kerap digunakan di rak mudah dicapai.

* Letakkan pinggan mangkuk kaca di ruang bawah yang mudah diambil.

* Rancang rapi ruang penyimpanan bagi kegunaan menyimpan segala perkakas seperti pinggan mangkuk dan bahan memasak supaya nampak sempurna, tersusun kemas, menarik dan tersusun.

2 comments:

Chik Na said...

baca artikel ni teringin lak nak ubahsuai dapur..

sharhanah said...

Itulah, sy pun tengah pening kepala nak susun atur dapur yg sesuai... al-maklumlah, keluasan dapur ciput jer.