Tuesday, April 20, 2010

Petanda hubungan bakal berakhir

SETELAH menjalin hubungan sekian lama, tiba-tiba ikatan dilanda badai.

Sama ada si dia mula menunjukkan tanda curang atau berlaku sesuatu di luar jangkaan lalu hubungan menjadi tegang dan berakhir dengan perpisahan.

Berikut adalah panduan untuk membantu anda mengesan lebih awal bibit perpisahan sebelum anda berasa terlalu terluka:

* Antara tanda hubungan bakal berakhir apabila anda berdua sering bergaduh disebabkan perkara remeh-temeh.

Pergaduhan sekali-sekala tiada masalah, tetapi jika kerap berlaku, ia petanda bahaya. Menjadikan hal sekecil semut menjadi sebesar gajah bermakna ada perkara yang anda berdua takut untuk hadapi.

Adakah ketakutan untuk berterus-terang mengenai perpisahan membuatkan anda berdua masih bersama? Adakah pasangan anda kelihatan seperti menjauhi atau mengelak daripada anda?

Perbuatan menjauhkan diri biasanya berlaku jika seseorang itu berasa tidak selesa dengan perkara yang kurang disenanginya.

Jika pasangan anda ada ciri untuk menjauhkan diri, anda patut berasa risau. Contoh paling mudah adalah dia sukar dihubungi melalui telefon.

Dia juga seronok melakukan aktiviti tertentu seorang diri sedangkan dulu, ia sangat menyeronokkan untuk anda berdua melakukannya.

* Satu perkara paling menyakitkan adalah membuat keputusan untuk meninggalkan pasangan mereka.

Memang mengguris perasaan apabila si dia menyatakan tidak boleh menyayangi anda lagi sedangkan anda sudah memberikan segala-galanya kepada si dia.

Selepas berfikir panjang, anda sedar bahawa anda sudah lama menangguh untuk membuat keputusan muktamad dan mengambil tindakan wajar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dia.

* Apabila sedar anda tidak selesa, sepakat atau sehaluan dengan dia, ini masa untuk berpisah.

Anda harus menyukai dia seperti mana anda mencintai dia. Memang cinta adalah segalanya, tetapi cinta saja tidak cukup sebagai alasan untuk terus bersama.

Cinta tanpa kesefahaman tidak akan dapat membantu jika anda menghadapi masalah dengannya. Anda tentu lebih bahagia bersama orang yang anda cinta dan selesa untuk hidup bersamanya.

* Anda rasakan tiada keserasian. Jika anda dan pasangan sedar tiada tarikan seksual yang boleh mengikat anda berdua, maka anda dan pasangan harus membebaskan diri masing-masing untuk mencari pasangan yang boleh memberi anda keperluan ini.

Sebelum itu, haruslah sedaya upaya untuk membetulkan keadaan terlebih dulu bagi mengelak keputusan terburu-buru dan menyesal di kemudian hari.

Percayalah bahawa setiap situasi ada pengajarannya, begitu juga anda dan pasangan. Sudah tiba masa untuk anda meneruskan perjalanan apabila sebelah pihak dalam sebuah hubungan sudah berubah dan mempunyai haluan berbeza daripada segi kehidupan dan matlamatnya.

* Si dia mempunyai masalah yang dia sendiri tidak mahu selesaikan. Ia mungkin membabitkan masalah besar.

Jika pasangan memilih untuk tidak melakukan apa-apa terhadap masalah ini atau lebih teruk tidak mengaku bersalah, maka anda tiada alasan kukuh untuk tidak mengakhiri hubungan ini.

* Si dia menolak untuk bekerjasama membaik pulih hubungan. Situasi ini paling menyedihkan.

Jika si dia memang tidak aktif ataupun memang tiada niat langsung untuk memulihkan kembali hubungan biarpun dia ada konflik dalaman, anda harus sedar bahawa tiada kesepakatan dalam hubungan ini.

Selain itu, jika anda dan pasangan sudah tidak sehaluan, tetapi anda masih ada perasaan sayang padanya, ketahuilah setelah bersama yang baru kelak, anda pasti akan merasa lebih bahagia dan nikmat lebih daripada apa yang anda rasai sekarang.

Inilah hukum alam yang patut disedari. Psikologi manusia sentiasa menginginkan yang terbaik dan lebih baik daripada yang lalu.

* Cinta memang boleh membunuh. Cinta boleh membuat kita hidup dalam kesedihan.

Namun, kita berhak untuk menerima kebahagiaan daripada orang yang benar-benar menyayangi diri kita seadanya, justeru luahkan perasaan.

No comments: