TIDAK ramai remaja perempuan kini berminat untuk tahu apa dilakukan ibu di dapur, sebaliknya lebih rela menghabiskan masa menonton televisyen atau terpaku di depan komputer. Jika ada yang menolong pun kerana terpaksa, bukan disebabkan minat.
Bagaimanapun, ia bukan salah anak kerana ramai ibu kurang sabar melayan kerenah anak jika mereka turut sibuk di dapur kerana dianggap memperlahankan kerja memasak. Namun tanpa disedari, keengganan melayan kerenah anak menyebabkan mereka hilang minat untuk berkenalan dengan dapur anda.
Sebenarnya dapur boleh menjadi bilik darjah untuk pendidikan ilmu pemakanan yang menyeronokkan. Malah, pakar pemakanan berpendapat kesihatan keluarga bermula di dapur.
Anda boleh merangsang rasa ingin tahu serta mengajar mereka mengenai piramid makanan, kepentingan setiap kumpulan makanan dan kaedah memasak yang sihat.
Usah bimbang dapur jadi lebih berselerak dengan kehadiran pembantu kecil ini kerana anak yang diajak bersama menyediakan makanan lebih teruja untuk makan bersama keluarga, sekali gus menggalakkan tabiat pemakanan sihat.
Puji dan ucap terima kasih kepada anak. Anda mungkin tidak sedar pujian ringkas dan ucapan terima kasih membuatkan anak gembira, berasa dihargai dan lebih yakin.
Antara cara yang boleh lakukan untuk menarik minat anak membantu di dapur ialah:
* Tanyakan makanan yang mereka suka. Cadangkan beberapa menu tetapi biar anak buat keputusan.
* Mulakan dengan rasa dan bau kegemaran. Beri mereka peluang menghidu bahan
* Bawa anak sama ketika membeli bahan, tetapi jika ia ada bahan mentah yang boleh diperoleh dari taman kecil di rumah, itu lebih baik. Ia secara tidak langsung mengajar anak beberapa bahan masakan boleh ditanam sendiri.
* Terangkan peraturan dan keselamatan di dapur serta penjelasan di sebalik setiap peraturan. Contohnya, jika guna pisau, pegang menghala ke luar (menjauhi badan) supaya tidak terkena anggota badan jika terlepas atau 'terlajak' apabila memotong sesuatu.
Contoh lain, sentiasa ingatkan anak untuk mengelap tangan hingga kering sebelum memetik suis periuk nasi bagi mengelak renjatan elektrik. Selain itu, beritahu semua wayar peralatan elektrik perlu diletak di atas kabinet dan jauh daripada jangkauan anak lebih kecil.
* Pastikan semua orang mencuci tangan sebelum mula memasak. Tangan juga perlu dicuci selepas mengendalikan bahan mentah dan sebelum menceduk makanan yang dimasak ke dalam pinggan. Ini penting bagi mengelak masalah keracunan makanan akibat jangkitan bakteria.
* Pakai apron dan ikat rambut. Cari apron comel kerana ia boleh membuatkan anak berasa gembira dan lebih berminat untuk meneroka ilmu pemakanan.
* Baca resipi bersama dan terangkan setiap langkah yang perlu dilakukan. Beri mereka peluang melakukan langkah mudah seperti memecahkan telur, menimbang tepung atau gula. Ia secara tidak langsung mengajar mereka untuk membaca kiraan timbang.
* Ambil masa, dan jangan tergopoh-gopoh. Kerja secara tergopoh-gapah biasanya tidak menyeronokkan dan boleh mendatangkan bahaya.
* Terangkan juga khasiat yang terkandung dalam bahan masakan dan kesan jika satu-satu jenis makanan diambil secara berlebihan.
* Beri peluang mereka rasa makanan yang dimasak dan nikmati keharuman baunya.
* Simpan semua bahan masakan dengan cara betul. Jika perlu disimpan dalam peti sejuk, pastikan ia dimasukkan di dalam bekas bertutup. Beritahu anak, makanan perlu disimpan dalam bekas berasingan dan bertutup bagi mengelak jangkitan bersilang.
Malah menyimpan makanan dalam bebas bertutup membuatkan ia tahan lebih lama.
* Bersihkan dapur selepas memasak. Pastikan anda guna tuala berbeza untuk mengelap permukaan dapur, mengeringkan pinggan dan tangan. Ini kerana tuala dapur adalah 'rumah' paling digemari pelbagai jenis bakteria untuk membiak kerana ia lembap dan hangat.
1 comment:
chik na dari darjah 6 dah dilatih mama supaya rajin di dapur ;-)
Post a Comment