Baik, buruk pengubahsuaian ekzos pada kenderaan
BAGI mereka yang gemar melakukan pengubahsuaian pada sesebuah kenderaan, kebiasaannya antara komponen yang mula-mula diubahsuai ialah sistem ekzos. Seringkali di lebuh raya ada sahaja kenderaan yang menggunakan ekzos bersaiz besar diubahsuai memecut laju. Mungkin juga untuk menarik perhatian orang ramai agar memandang kereta mereka.
Dari sudut amalan asas kejuruteraan automatif, jurutera telah melakukan kajian yang tepat untuk menentukan ekzos yang bersesuaian dengan kenderaan iaitu merujuk kepada kapasiti enjin, tekanan di bahagian ekzos untuk diselaraskan dengan sistem penyenyap.
Ekzos boleh didenisikan sebagai sistem yang menyalurkan gas-gas terhasil daripada bahan bakar dalam enjin keluar melalui salur ekzos. Ekzos asal kenderaan kebiasaannya mempunyai dua silencer system (sistem alat penyenyap) dan satu alat pengesan gas beracun (catalytic converter) yang juga befungsi sebagai penyenyap satu dan dituruti dengan penyenyap dua dan penyenyap hujung.
Namun, kini ramai pengguna yang gemar untuk mengubahsuai ekzos mereka lebih-lebih lagi golongan muda-mudi mungkin kerana suka dengan bunyi kuat sesuai dengan jiwa muda mereka.
Jaslizam Jamil, 26, atau lebih mesra dengan panggilan Ijam telah mengubahsuai ekzos keretanya jenis Proton Wira 1.5 dan mengakui dia dapat merasakan baik buruk pengubahsuaian ekzos ini.
"Sudah lebih setahun saya ubahsuai ekzos dan kesannya kereta saya semakin pick up, berbeza semasa saya menggunakan ekzos asal dahulu.
"Bunyinya yang agak kuat bagi saya ia merupakan satu kepuasan lebih-Iebih lagi dengan kelajuan yang saya rasakan semakin meningkat," katanya.
Namun beliau juga mengakui sejak menggunakan ekzos yang diubahsuai penggunaan kadar petrol keretanya semakin meningkat daripada kadar yang biasa.
"Walaupun kadar penggunaan petrol semakin meningkat tapi kepuasan yang saya dapat lebih berbaloi,"ujarnya.
Ditanya samada sejak mengubahsuai ekzos, keretanya pernah mengalami kerosakan enjin, Ijam menakannya enjin kenderaannya terjejas cuma kadar pelepasan asap keretanya agak membimbangkan.
"Sejak menggunakan ekzos ini kereta saya tak pernah rosak dan enjin pun saya rasakan dalam keadaan stabil tetapi saya sentiasa memantau dalam jangka masa panjang samada ia menjejaskan prestasi enjin.
"Saya juga kerap menggunakan kereta ini untuk perjalanan jauh terutama kerja luar dan balik kampung di Jengka, Pahang tapi setakat ini tiada masalah dalam enjin" katanya.
"Cuma setakat ini masalah utama pengubahsuaian ekzos ini ialah kadar penggunaan petrol semakin meningkat," katanya a ditemuramah baru-baru ini.
Sebenarnya banyak lagi kesan sampingan yang perlu diketahui oleh pemilik kenderaan yang menukar ekzos sedia ada kepada yang lebih besar. Antaranya ialah pengubahsuaian ekzos juga boleh menyebabkan kehausan melampau pada injap ekzos ruang pembakaran.
Dakwaan sesetengan pihak yang mendakwa pengubahsuaian ekzos ini menjadikan enjin kenderaan semakin pick up adalah tidak boleh diterima sepenuhnya. Ekzos yang diubahsuai sebenarnya tidak memakai penebat haba iaitu satu alat pengesan dan menapis gas beracun (catalytic converter). la dibuang bagi mengurangkan beban pada kenderaan dan secara tidak langsung menambahkan kelajuan.
Namun, kesan ekzos yang diubahsuai tersebut turut akan menyebabkan peningkatkan kadar pengeluaran gas-gas pencemar dengan banyak seperti karbon monoksida, plumbum, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, hidro karbon dan partikel-partikel halus yang berbahaya. Risikonya kemungkinan ada kebocoran gas karbon monoksida masuk ke dalam ruang kabin dan boleh membahayakan nyawa.
Berbeza sekiranya anda tetap memakai ekzos asal yang mempunyai pengesan gas beracun dan penyenyap bunyi untuk menapis tekanan dan menghantar pulangan tekanan kepada ruangan pembakaran serta menapis gas yang terhasil.
Terdapat juga ekzos yang diubahsuai melintang di bawah tangki minyak. Secara tidak langsung Jika berlaku kemalangan kemungkinan besar ekzos tersebut akan menyentuh atau menolak tangki minyak.
Jurutera automatif telah bertungkus lumus untuk mengkaji kesesuaian ekzos mengikut jenis kenderaan bagi memastikan keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar selain mengelakkan berlakunya pencemaran bunyi berleluasa berlaku di jalan raya.
Selain itu, bahan-bahan buatan ekzos yang diubahsuai setakat ini tidak pernah mendapat manamana pengiktirafan ataupun kelulusan daripada mana-mana pihak berwajib.
Oleh itu undang-undang telah menetapkan bahawa bunyi ekzos yang dibenarkan bagi kereta ialah 85 desibel (db), manakala motosikal tidak melebihi 95 dB. Tidak berbaloi sekiranya anda puas dengan ekzos besar tetapi menanggung saman, membahayakan keselamatan serta menyara kos petrol yang tinggi. - Majalah Auto Touch.
No comments:
Post a Comment