Wednesday, April 28, 2010

Petanda air kencing

ADAKAH anda tahu berapa kerap anda buang air kecil setiap hari? Setiap kali buang air kecil, adakah anda memerhatikan ciri cecair yang dibuang itu daripada segi kuantiti, warna, bau dan kelajuan ketika ia keluar? Mungkin ada yang tidak pernah peduli.

Secara purata, kita buang air kecil enam hingga lapan kali sehari. Namun kekerapan buang air kecil juga tertakluk kepada jumlah dan jenis minuman diambil. Lebih banyak kita minum air (air masak), lebih kerap kita berulang ke tandas.

Malah, individu yang minum banyak kopi atau mengambil ubat tertentu seperti ubat untuk tekanan darah tinggi juga kerap kencing kerana ia mempunyai sifat diuretik - yang membuatkan anda sukar berenggang dengan tandas.

Pundi kencing bertindak sebagai tempat menyimpan air kencing dan boleh mengembang untuk menampung sehingga 350 hingga 550 militer air kencing. Kita biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 200 mililiter, tetapi kapasiti normal ialah sekitar 400 mililiter.

Yang tidak normal ialah jika anda kerap bangun malam untuk buang air kecil. Kerap buang air kecil pada siang adalah perkara baik kerana proses semula jadi untuk menyingkirkan sisa toksin dan bahan buangan daripada badan.

Mungkin ramai tidak sedar air kencing boleh mendedahkan banyak perkara termasuk tahap kesihatan.

Ujian air kencing digunakan sejak beratus tahun dulu sebagai satu cara memeriksa kesihatan kerana banyak bahan yang `berlegar' dalam aliran darah, termasuk bakteria, yis, berlebihan protein dan gula akan menamatkan perjalanan mereka dalam air kencing, kata Timbalan Pengerusi Jabatan Urologi Universiti Kansas, Dr Tomas Griebling.

Warna dan bau air kencing boleh menjadi petanda penting kepada tahap kesihatan anda. Ini sebabnya anda perlu memerhatikan sebarang perubahan pada air kencing anda sebelum menarik pam tandas!

* Warna - Air kencing mengandungi pigmen urokrom yang memberinya warna kuning. Warna ini berubah-ubah setiap hari daripada kuning gelap hinggalah kuning cair, bergantung kepada kepekatan air kencing kita. Air kencing yang gelap biasanya menandakan kita tidak minum cukup air. Badan kita memerlukan air secukupnya setiap hari untuk membolehkan ia berfungsi dengan cekap.

Apabila badan kekurangan air, ia mengekalkan jumlah cecair dalam badan dengan mengurangkan penghasilan air kencing. Ini sebabnya air kencing menjadi pekat dan berwarna gelap. Sebaliknya jika kita minum banyak air, lebih banyak air kencing dihasilkan dan warnanya menjadi lebih cerah dan cair.

Ada kala air kencing juga kelihatan seperti ada kilauan warna pelangi. Anda tidak perlu bimbang kerana sesetengah ubat boleh menukar warna air kencing menjadi sedikit hijau, biru atau jingga. Malah vitamin juga membuatkan air kencing menjadi lebih kuning.

* Bau - Air kencing kita memang ada bau tetapi biasanya ia tidak kuat. Jika air kencing anda mengeluarkan bau yang menusuk hidung, anda mungkin mengalami jangkitan atau ada masalah batu karang yang menyebabkan bau seperti gas ammonia. Pesakit kencing manis mungkin mendapati air kencing mereka berbau `manis' kerana kehadiran gula. Bagaimanapun, sesetengah makanan dan minuman juga boleh mengubah bau air kencing seperti asparagus.

Kekerapan ke tandas menjadi petanda penting kepada kesihatan. Kebanyakan orang buang air kecil enam hingga lapan kali sehari.

Kekerapan ini boleh berbeza antara individu; ia boleh antara empat hingga 10 kali sehari; selagi ia tidak mendatangkan masalah kepada individu berkenaan.

Namun ada beberapa perkara yang boleh menyebabkan anda kerap kencing walaupun kurang minum iaitu:

* Pundi kencing terlalu aktif

* Jangkitan saluran kencing

* Interstitial sistitis (keadaan yang sebabkan dinding pundi kencing alami keradangan)

* Kelenjar prostat membengkak

* Penyakit neurologi (termasuk strok dan Parkinson)

* Kencing manis

Masalah pembuangan air kencing boleh dielak dengan menjaga buah pinggang dan mengamalkan tabiat ke tandas yang baik. Caranya mudah iaitu memastikan anda minum air secukupnya setiap hari iaitu kira-kira lapan gelas; walaupun tidak berasa dahaga.

Pada peringkat awal, anda memang kerap ke tandas tetapi ia hanya untuk sementara waktu; sehingga badan dapat menyesuaikan diri dengan peningkatan jumlah air yang anda minum.

Bagaimanapun bagi anda yang ada masalah buah pinggang, dapatkan nasihat doktor mengenai jumlah air yang boleh diambil. Sebaliknya bagi individu yang mengalami batu karang atau gout, mereka perlu minum lebih banyak air untuk mengawal penyakit.

Jangan takut untuk minum banyak air kerana kajian menunjukkan ia boleh mengurangkan risiko 45 peratus kanser usus, kanser payu dara (79 peratus) dan kanser pundi kencing (50 peratus).

Air penting untuk melarutkan hasil sampingan metabolisme seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke buah pinggang.

No comments: