USIA perkahwinan yang semakin bertambah sering membuatkan hubungan seolah-olah tidak lagi berlandaskan rasa cinta.
Cinta bagaikan semakin pudar kerana melalui rutin hari yang kadangkala menjenuhkan.
Seiring dengan waktu, perkahwinan turut melalui pertelingkahan atau pergeseran. Begitu juga dengan perkahwinan yang sudah lama dibina dan pasangan sudah beranak-pinak.
Menjaga api cinta terus menyala dalam perkahwinan kebanyakannya lebih berkaitan dengan bagaimana pasangan bijak membahagi waktu, berusaha melakukan komunikasi sebaik mungkin dan saling menunjukkan penghargaan kepada pasangan.
Renungkan beberapa cara yang boleh dimanfaatkan untuk menyemarakkan rasa cinta supaya terus berkekalan:
* Masak makanan ringan kesukaan pasangan. Kemudian sajikan ketika dia sedang melakukan sesuatu misalnya membasuh kereta atau membelek akhbar.
* Telefon pasangan dan katakan dia tidak perlu memasak untuk makan malam kerana anda akan membelikannya makanan kesukaan.
* Berikan perhatian lebih kepada pasangan ketika dia jatuh sakit. Sekadar menemaninya atau tawarkan apa saja yang boleh anda lakukan tentu sangat bererti buatnya.
Apatah lagi jika anda dapat mengawal anak-anak dan membiarkan rehatnya tidak diganggu. Menayangkan filem atau drama kesukaannya ketika dia berehat selama tempoh sakitnya itu, anda tentu lebih dihargai.
* Aktiviti di dapur ternyata boleh meningkatkan hubungan anda dan pasangan. Pilih satu resipi kegemaran keluarga lalu masak bersama biarpun hanya memasak lempeng kesukaannya.
Lebih elok jika anak tidak turut sama di dapur.
* Setiap orang menyukai kejutan. Salah satu cara adalah dengan mengirimkan e-mel atau pesanan ringkas di telefon bimbit usikan manja buat pasangan.
* Lakukan aktiviti harian yang biasanya menjadi agenda rutin pasangan. Misalnya, menyapu rumah, membersihkan meja makan, kemudian menyiram tanaman.
* Jika anda mempunyai kebiasaan berjalan berdua dengan pasangan dan makan di restoran kegemaran, biarkan kali ini pasangan yang menentukan semuanya.
Biarkan dia memilih lokasi, menentukan menu serta waktu untuk meninggalkan restoran. Kali ini, jadilah pengikut setia saja.
* Jangan lupa untuk selalu `berdua-duaan' meskipun anda berdua sudah puluhan tahun berumah tangga. Banyak hal yang boleh dilakukan berdua-duaan seperti waktu bercinta dulu.
Antara yang paling mudah adalah jalan berdua ke mana-mana lokasi pun. Lakukan ini paling kurang sebulan sekali.
Pilih waktu pagi atau petang misalnya pada hari minggu. Kunjungi taman atau pusat beli-belah.
Tidak perlu melakukan aktiviti yang berat, cukup berjalan berdua sambil saling berpegangan tangan. Pilihlah topik yang ringan dan berbicara dari hati ke hati.
* Jika sudah memiliki anak, ambil satu minggu dalam setahun untuk pergi berdua-duaan saja dengan pasangan ke luar kota atau menginap di hotel tertentu.
Tinggalkan anak-anak bersama pengasuh atau ahli keluarga lain. Selama seminggu, tidak perlu memikirkan urusan anak dan rumah. Satu-satunya yang ada di benak anda adalah pasangan.
* Bawalah buku kegemaran yang sering dibaca berdua ketika hendak tidur. Bacalah bersama-sama dengan nada kuat mahupun romantis.
Tidak perlu dihabiskan satu buku itu, cukup beberapa halaman dan lakukan ini setiap malam sehingga ke muka surat akhir.
* Menonton filem seharian di rumah juga menjadi aktiviti yang semakin merapatkan hubungan dengan pasangan. Pilih filem kesukaan dan siapkan makanan ringan lalu habiskan hari berkenaan dengan hanya berdua-duaan saja di depan layar televisyen.
* Jangan ragu untuk memuji pasangan, bahkan ketika anda sedang berada di majlis tertentu sama ada di depan teman atau jiran, betapa enak sup buatan pasangan.
Jangan lupa, beri pasangan kucupan setiap kali hendak meninggalkan rumah. Nyatakan rasa sayang anda padanya setiap hari!
1 comment:
salam hanah, betul cinta bukan untuk orang muda saja tapi juga untuk yang dah tua2 ni..barulah bahagia rumahtangga..
Post a Comment