Tuesday, February 2, 2010

Pening kronik


GEJALA pening kerap berlaku tidak kira berapa umur kita. Jika pening anda hanya sebentar dan pulih selepas pengambilan ubat, anda bernasib baik kerana ia bukan kesakitan serius. Jika pening anda menjadi kronik dan sukar dikawal dengan ubat penahan sakit atau anti migrain, itu maknanya anda perlu mengambil perhatian serius kerana diagnosis doktor mungkin tersasar.

Anda perlu berjumpa doktor yang lebih arif untuk penilaian semula. Anda perlu berjumpa dengan pakar sakit kronik. Mengikut sukatan pelajaran doktor, pening boleh disebabkan beberapa penyakit seperti sinusitis, migrain, sakit kepala kluster dan sakit kepala tekanan.

Pening yang disebabkan oleh sinusitis biasanya dirasai pada belakang kening dan juga pada tulang pipi. Biasanya bahagian ini sakit apabila dipicit di samping gejala sinusitis lain seperti selsema, hidung tersumbat dan demam.

Pening akibat migrain pula dirasai pada sebelah kepala dengan gejala perubahan dalam penglihatan. Biasanya sakit ini amat kuat dan mengambil beberapa hari untuk reda. Pesakit lebih suka menyendiri ketika pening.

Sakit kepala tekanan ialah pening yang selalunya berlaku apabila mengalami ketegangan emosi atau fikiran. Pening jenis ini biasanya dirasai berdenyut di dahi dan kadangkala hingga ke ubun kepala.

Pening jenis kluster pula biasanya dirasai pada bahagian mata , terutama di belakang dan di keliling mata. Pening ini mengambil berhari-hari untuk reda dan selalunya datang secara berkala (dapat dijangka).

Hari ini saya tidak mahu mengolah jenis-jenis pening di atas, tapi saya akan jelaskan jenis pening yang sering berlaku tapi jarang dapat dikesan ramai doktor. Jika anda mengalami pening yang kronik dan masih lagi gagal mendapat rawatan yang sesuai, anda perlu baca artikel ini hingga penghujungnya.

KES 1

Seorang wanita berumur 48 tahun mengalami gejala pening hampir lima tahun. Beliau pernah berjumpa doktor pakar swasta dan didiagnos sebagai penyakit migrain. Ubat migrain pada mulanya agak berkesan tapi sejak dua tahun lepas, sakitnya menjadi bertambah kuat dan tidak ada ubat makan yang dapat mengawalnya walaupun sudah mencuba pelbagai jenis.

Peningnya dirasakan berdenyut-denyut bermula dari belakang kepala naik ke ubun kepala. Tumpuannya terjejas dan beliau tidak dapat tidur malam dengan nyenyak. Kerjayanya sebagai peniaga kedai runcit juga terganggu. Lima bulan lepas beliau dimasukkan ke hospital swasta kerana tidak tahan menanggung sakit pening itu.

Disebabkan beliau juga mengadu kejang otot leher maka doktor pakar ortopedik mengarahkan MRI tulang servikal (tengkuk) dilakukan. Namun MRI tidak menunjukkan apa-apa penyakit yang dapat menjelaskan kesakitan berkenaan. Tiada pembedahan perlu dilakukan.

Disebabkan sakit yang amat sangat dan rentan pada rawatan suntikan, beliau dirujuk kepada pakar sakit kronik. Selepas pemeriksaan dijalankan beliau didapati mengalami penyakit artritis tulang facet pada tengkuknya.

Rawatannya ialah beberapa suntikan khas dilakukan pada sendi tengkoknya. Suntikan ini dilakukan dalam bilik bedah di bawah kawalan sinar X. Sakit tengkuk dan peningnya hilang serta-merta sejurus suntikan diberikan. Keesokan harinya beliau dibenarkan pulang.

Huraian kes:

Penyakit ini kerap berlaku di kalangan orang berumur disebabkan proses penuaan atau boleh juga berlaku pada orang muda jika pernah berlaku kecederaan tengkuk contohnya kemalangan jalan raya.

Gejala penyakit ini jelas iaitu pesakit akan mengalami dua atau tiga gejala lain; sakit tengkuk, sakit bahu dan pening di belakang kepala. Rasa sakit di tengkuk dan pening akan bertambah jika pesakit mendongak dan memusingkan kepala mereka ke belakang.

Semua gejala ini ada pada pesakit semasa pemeriksaan dilakukan. Ia mudah `dilihat' oleh pakar sakit kronik tetapi `susah' pada doktor lain yang berbeza bidang kepakarannya. Diagnosis yang tersasar menyebabkan rawatan yang diterima kebanyakan pesakit tidak tepat. Lebih menarik lagi hampir semua kesakitan ini dapat dikawal dengan mudah melalui kaedah suntikan ini.

KES 2

Seorang jururawat hospital berumur 35 tahun mengadu sakit bahu dan pening yang kronik hampir setahun lamanya. Pening dirasainya pada ubun kepala. Dia mengadu peningnya membuatkan dia seolah-olah hanyut dan kadangkala berdenyut, berasa seperti hendak pitam apabila mengubah posisi badan.

Gejala pening ini bukan disebabkan ubat, penyakit kencing manis atau darah tinggi tetapi dia pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu.

Beliau juga mengalami gejala kekejangan pada otot tengkuk dan bahunya. Pergerakan leher dan bahu kanannya terbatas kerana jika bergerak akan menambah kesakitan yang sedia ada. Tangan kanannya kadang-kadang dirasai seperti kebas dan kurang rasa. Ini menyebabkan fungsi sehariannya sebagai suri rumah dan jururawat terjejas teruk.

Beliau dirawat seorang doktor pakar, MRI tulang tengkuk sudah dilakukan tetapi tidak dapat mengenal pasti punca penyakit. Beliau kemudiannya dirujuk kepada pakar sakit kronik. Selepas diperiksa, beliau didapati mengalami penyakit artritis tulang tengkuk dan juga sindrom miofasia yang membabitkan otot leher dan bahunya. Dua otot leher yang terbabit dalam sindrom miofasia ini ialah otot trapezius dan sternomastoid.

Dia dirawat dengan ubat penahan sakit (celebrex) dan suntikan pada sendi facet tengkuknya sama seperti kes di atas. Suntikan rangsangan juga diberikan pada dua otot yang mengidap sindrom miofasia berkenaan di samping senaman regangan yang khusus untuk otot leher dan bahu yang terbabit. Semua gejala yang dihadapi termasuk pening, sakit tengkuk dan bahu beransur hilang dalam masa dua minggu selepas rawatan.

Huraian kes:

Penyakit facet artritis sendi tengkuk dalam kes ini nampaknya hampir sama dengan kes pertama. Tiga gejala utama ialah pesakit mengalami pening, sakit tengkuk dan sakit bahu. Tapi dalam kes kedua ini penyebab pening itu lebih daripada satu. Selain berpunca daripada sendi facet, ia juga disebabkan penyakit sindrom miofasia otot leher yang kerap juga memberi gejala pening kepala.

Sindrom miofasia adalah sejenis sakit otot kerangka yang berpunca daripada kekejangan otot yang kronik. Sebahagian ciri penyakit sindrom miofasia ini ialah sakitnya dirasai menjalar ke tempat lain dan kadangkala menyebabkan gejala pening, rasa hanyut, loya, sendawa dan pandangan yang kabur (sila rujuk artikel saya Harian Metro Ahad, 8 November 2009). Semua gejala pelik ini selalunya berkait dengan penyakit sindrom miofasia yang membabitkan otot pada leher. Dua otot leher yang kerap memberi gejala pening bila terbabit dalam sindrom miofasia ini ialah otot trapezius dan sternomastoid.

Otot trapezius yang terbabit dengan penyakit miofasia selalunya memberi kesakitan ketara pada pangkal leher bila otot ini dipicit. Sakit pada leher ini boleh dirasai menjalar naik ke ubun -ubun kepala dan memberi gejala pening.

Manakala otot sternomastoid pula terkenal dengan memberi gejala pelik sampingan seperti pening , hanyut, rasa mahu pitam, gelap mata dan sebagainya. Rawatan untuk pesakit kes kedua nampaknya pelbagai kerana penyebab peningnya lebih daripada satu. Kesilapan diagnosis klinikal akan menyebabkan rawatan yang tidak berkesan.

Pesakit resah kerana mereka akan cenderung untuk memikirkan kemungkinan penyakit yang lebih serius sedangkan penyakit artritis sendi facet dan sindrom miofasia ini kurang berbahaya (benigna) tetapi cukup untuk memberikan kesakitan ketara yang kronik dan menjejaskan fungsi harian. Apa yang lebih penting ialah kesakitan daripada artritis sendi facet dan sindrom miofasia ini boleh sembuh jika pesakit menerima rawatan yang sepatutnya.

Pening yang kronik, jangan diambil mudah!

10 comments:

dkama said...

dkama pening sbb banyak utang...PEACE...

Nurul,Brunei said...

Assalammualaikum,Terima kasih utk info ane :)I love your blog,simple but awesoMe !! :D

sharhanah said...

Waalaikumussalam... TQ Nurul,Brunei.

Unknown said...

salam
saya pening tiap kali selepas mkn...
nape yer?

mohd fadzeli said...

saya ada terasa sakit di u7bun-ubun kepala...terasa biji-biji je,,baru 2 hari saya mengalaminya,,,nak tido susah bila bahagian atas kepala terkena bantal....

amsama said...

Wow, terima kasih untuk segala information diatas. Ianya sangat berguna (=

Mom's Life Lace said...

Dah masuk 4 hari sya mngalami sakit tengkuk, bahu n pening yg berlarutan. Tidur juga terganggu n kurang selesa. Mkn panadol pon x hilang. Thanks for the info.

FIT CLONE said...

Saya mengalami pening selepas membaca artikel ini...

Anonymous said...
This comment has been removed by the author.
Painmed Healthcare said...

salam...
cbe singgah page http://sakitbelakang.blogspot.com/ & http://drnizarabduljalil.blogspot.com/...da rmai pesakit y menerima rwtn dgn dr nizar...99% pulih dr sakit y dialami...hrp dpt jmpe jln penyelesaian pas bc blog tsebut...